Wednesday, 15 May 2013

Asal Usul Melayu


Bila disebut perkataan ‘Melayu’, terus tergambar dalam benak fikiran bahawa orang Melayu berkulit gelap atau sawo matang, tubuh badan bersaiz sederhana dan berambut hitam. Gambaran yang hampir sama juga pernah diceritakan oleh Frank Swettenham dalam bukunya “The Real Malay” yang menggambarkan lelaki Melayu adalah rendah, berambut hitam lurus, berkulit cokelat gelap serta mempunyai bentuk hidung dan bibir yang besar. Namun asal-usul bangsa Melayu masih lagi dibincangkan dan dari mana datangnya perkataan Melayu juga masih belum dapat disahkan oleh sejarawan secara tepat.
Asal-usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu. Secara amnya terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu. Teori mereka menyatakan bahawa yang pertama bangsa Melayu berasal dari Yunnan ( Teori Yunnan ), dan  yang kedua bangsa Melayu berasal dari Nusantara ( Teori Nusantara ). Selain itu juga ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti berikut:
1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Palembang, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Sejarah Asal Usul Bangsa Melayu dalam buku Sejarah Melayu disebut bahawa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir disekitar Bukit Seguntang dekat Palembang. Seguntang merupakan tempat kemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka adalah asal dari keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Hal ini dicatat oleh Tun Seri Lanang pengarang buku Sejarah Melayu dalam Bab III seperti berikut :
            “Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Syulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.” (Sejarah Melayu : 20)
Penulisan oleh Tun Seri Lanang dalam buku Sejarah Melayu telah menguatkan lagi pendapat bahawa asal usul Melayu itu diambil daripada nama sebatang sungai yang dikenali sebagai sungai Melayu. Sungai Melayu ini terletak berhampiran Bukit Seguntang, Palembang, Sumatera. Kenyataan mengenai Bukit Seguntang merupakan tempat kemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu turut ditulis oleh pengarang Sejarah Melayu adalah seperti berikut :
            “ Maka syahut orang muda-muda tiga orang itu, “Adapun kami ini bukan daripada bangsa jin dan peri. Bahawa kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Nis{i}ab kami daripada Raja Nusyirwan, raja masyrik maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihissalam. Nama kami Mancitram seorang, Paladutani seorang, Nila Tanam seorang.”
 ( Sejarah Melayu : 21)


Diceritakan bahawa kemunculan tiga orang raja ini telah bertemu dengan Uwan Empuk dan Uwan Malini yang mendiami Bukit Seguntang dan pekerjaanya menanam padi huma di lereng bukit. Kemunculan tiga orang raja ini telah menjadikan padi yang ditanam oleh mereka bertukar berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa. Kenyataan yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang adalah seperti berikut :

            “ Maka dilihatnya tanah nagarah bukit itu menjadi emas. Pada suatu ceritera datang sekarang pun tanah nagarah  bukit itu seperti warna emas rupanya. Maka dilihanya oleh Uwan Empuk dan Uwan Malini di atas tanah itu menjadi emas itu tiga orang manusyia muda-muda, terlalu baik parasnya. Ketiganya memakai pakaian kerajaan dan memakai mahkota bertatahkan ratna mutu manikam. Ketiganya duduk di atas gajah putih. Maka Uwan Empuk dan Uwan Malini pun khairan tercengang, syahadan dengan ta’jubnya melihat rupa orang muda terlalu amat baik parasnya dan sikapnya, syahdan pakaiannya pun terlalu amat indah-indah. Maka pada hatinya, ‘Sebab orang muda tiga orang ini geran(an) padi kita berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa dan tanah bukit itu pun menjadi emas” (Sejarah Melayu : 21)

Sejarah Melayu merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang merupakan sumber untuk mendapatkan maklumat mengenai ke-Melayu-an. Disusun sekitar tahun 1612 berdasarkan catatan-catatan yang lebih awal. Sejarah Melayu ada menyebut bahawa anggota kerajaan Melaka berasal dari keturunan Melayu di daerah Palembang. Hal ini seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan iaitu Yang Dipertuan Ali Alam syah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir. Tun Seri Lanang menulis dalam buku sejarah Melayu tentang kerajaan Palembang dan Raja di Minangkabau yang berasal daripada tiga orang raja berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain ini. Tun Seri Lanang menulis seperti berikut :
“ Sebermula dihikayatkan oleh orang yang empunya hikayat ini bahawa negeri Palembang itu Palembang yang ada sekarang {ini} inilah; dahulu negeri itu terlalu besyar, sebuah negeri di tanah Andalas tiada sepertinya.
Setelah Raja Palembang yang bernama Demang Lebar Daun itu menengar khabar Uwan Empuk dan Uwan Malini mendapat anak raja turun dari keinderaan maka Demang Lebar Daun pun datang ke rumah Uwan Empuk dan Uwan Malini mendapatkan rajai itu. Maka oleh Demang Lebar Daun ketiga anak raja itu dibawanya kembali ke negerinya. Maka mashurlah pada segala negeri bahawa anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain turun dari Bukit Seguntang (Maha)meru, sekarang ada di negeri Palembang. Maka segala raja-raja daripada segala pihak negeri pun datanglah mengadap raja itu. Maka anak raja yang tuha sekali itu dijemput oleh orang Andalas, maka dirajakannya di Minangkabau. Adapun gelar baginda di atas kerajaan Sang Seperba. Kemudian dari itu maka datang orang Tanjung Pura. Maka (di) jemputnya anak raja yang tengah itu, dirajakannya di Tanjung Pura. Gelar baginda di atas kerajaan Sang Maniaka. Yang bongsu tinggal di Palembang pada Demang Lebar Daun. Maka oleh Demang Lebar Daun anak raja yang bongsu itu dira(ja)kannya di Palembang. Adapun gelar baginda di atas kerajaan Sang Uratama. Maka Demang Lebar Daun turun menjadi mangkubumi.”        (Sejarah Melayu : 22)

Begitulah bagaimana asalnya  keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Diceritakan oleh Tun Seri Lanang bahawa mereka ini keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang agung pada suatu masa dahulu. Oleh itu semua kerajaan dan rakyat mahukan mereka menjadi raja. Begitulah bagaimana asal usul raja Melayu diangkat sebagai raja yang agung lagi tinggi martabatnya oleh pengarang Sejarah Melayu. Kita juga dapat mengetahui bagaimana asal usul orang Melayu itu diperkatakan. Tun Seri Lanang dengan bijaknya telah menulis Buku Sejarah Melayu yang  kini merupakan satu karya agung di alam Melayu ini.

Friday, 10 May 2013

Etimologi “Melayu” dalam Sejarah Melayu/Sulalatus Salatin

Maksud Etimologi
Etimologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:402) bermaksud cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata. Sementara, Pusat Rujukan Persuratan Melayu pula menyatakan “etimologi” itu sebagai cabang ilmu bahasa mengenai asal-usul perkataan serta perubahan pada bentuk dan maknanya ataupun cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal-usul dan perkembangan sesuatu kata.
Etimologi “Melayu”
Perbincangan perkataan “Melayu” akan dilihat dari segi asal usul dan perkembangan perkataannya. Walau bagaimanapun, perkara utama yang harus ditekankan ialah perbincangan ini hanya meliputi kajian perkataaan tersebut terhadap karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sahaja. Justeru, dapat kita lihat bahawa sejauh mana perbincangan tentang asal usul perkataan “Melayu” itu sendiri dalam karya agung Sulalatus Salatin oleh Bendahara Tun Sri Lanang.
Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya yang tercipta dari titah raja:
“Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh seseorang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita  yang kemudian daripada kita dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, dan mudah-mudahan beroleh faedah  ia daripadanya.”
(Ismail Hussein:119:1988)

            Karya ini membincangkan tentang sejarah negeri Melaka, asal-usul raja-raja Melayu dan pembukaan negeri-negeri Melayu, corak kebudayaan Melayu tradisi, kepolitikan, sosial dan ekonomi Kerajaan Melayu Melaka pada masa itu, serta beberapa cerita yang berbentuk mitos dan dongeng yang tujuannya sebagai pengajaran kepada raja-raja Melayu seterusnya. Oleh itu, dapat gambarkan tentang perbincangan dalam karya Tun Sri Lanang, yakni beliau hanya banyak menyentuh tentang kehidupan raja-raja dan golongan istana, atau pendapat sarjana lain mengatakan bahawa Tun Sri Lanang menuliskan karya ini dengan sifat mengagung-agungkan raja-raja Melayu pada ketika itu.
            Namun, terdapat satu petikan pembukaan dalam bab III versi Muhammad Haji Salleh (1997:20) berbentuk;
            “Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Sulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.”
(Sulalatu Salatin, 1997:20)
Walaupun Tun Sri Lanang sendiri tidak mengatakan bahawa perkataan “Melayu” itu asalnya dari nama sebatang sungai, sebaliknya hanya sekadar ingin mengatakan terdapat sebatang sungai disana yang terdapat di Andalas, Palembang. Namun, secara tidak langsung beliau telah memberikan gambaran kepada masyarakat pada masa kini tentang keberadaan nama atau perkataan “Melayu” itu serta usia perkataan tersebut walaupun tidak secara terperinci.
            Hal ini dapat kita katakan bahawa tiada perbincangan langsung tentang asal-usul perkataan “Melayu” dalam karya Tun Sri Lanang. Beliau hanya menekankan cerita-cerita mengenai kehidupan raja-raja Melayu pada ketika itu serta hal-hal seperti yang dinyatakan tadi.

Saturday, 4 May 2013

Tarif Melayu dalam Sulalatus Salatin




Pengenalan
Sulalatul salatin sebuah rekod berbentuk hikayat yang mencatatkan salasilah keturunan raja-raja Melayu dan peristiwa yang mengambil tempat dalam lingkungan karabat diraja serta istana. Ditanjau dari sudut salasilah raja-raja, hikayat ini boleh dianggap sebagai sebuah dokumetasi. Hal ini demkian kerana salasilah raja-raja diberikan dariasal usul yang tidak mungkin dijangkau oleh kajian biasa. Keturunan raja-raja Melayu dikesan daripada keturunan Raja Iskandar Dzurkarnain dari Mukadunia.  Selain itu, hikayat ini bukan sahaja memberikan gambaran terperinci keturunan diraja tetapi juga segala peristiwa yang beraitan dengan raja dan istana. Ini termasuklah pertabalan seseorang raja, gelaran mereka, perkawinan golongan diraja, iangan putera putri yang lahir, negeri-negeri.


 Nilai Budaya Dan Adat Istiadat

Melayu itu dapat dilihat dengan budaya dan adatnya. Tanpa nilai budaya dan adat maka hilang ciri-ciri kemelayuan.masyarakat Melayu. Menurut Kathiresan.D keseluruhan Sulalatus Salatin berpusat pada keagungan raja-raja Melayu Melaka dan golongan yang berkaitan dengan hal istana. Karya ini juga mencerminkan pelbagai sistem nilai dan unsur budaya yang menguasai kehidupan masyarakat Melayu pada masa itu khususnya yang berkaitan dengan istana. Ini termasuklah pantang larang diraja, protokol yang teribat semasa menerima bingkisan dan utusan dari luar negeri, kaedah menghadap raja, pakaian yang ditentukan ketika menghadap raja, pakaian yang ditentukan ketika menghadap, upacara keberangkatan raja, upacara peminangan diraja dan sebagainya.
           Selain itu, antara pantang larang diraja ialah penggunaan sesetengah jenis warna. Ketetapan ini diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah, yakni pemerintah Melaka yang ke-4. Baginda menetapkan warna kuning sebagai warna diraja dan tidak boleh digunakan oleh rakyat biasa. Baginda juga menetapkan kaedah pembinaan rumah dan perahu. Rakyat dilarang membuat rumah yang mempunyai manjung tergantung. Ini mungkin untuk membezakan rumah-rumah tersebut dengan seni bina istana. Tambahan lagi, tedapat juga larangan yang berkaitan dengan pemakaian barang-barang emas. Rakyat dilarang memakai emas tidak kira berapa kaya sekalipun pemiliknya. Emas tersebut hanya boleh dipakai sekiranya dianugerahkan oleh baginda sultan. Sekiranya telah dianugerahkan sekali, pemilik boleh memakainya selama-lamanya.
           Terdapat juga larangan dan peraturan khusus yang berkaitan dengan pakaian ketika menghadap raja. Seseorang yang ingin menghadap raja harus berkain pancung, bersebai dan berkeris di hadapan. Tanpa kelengkapan sedemikian mereka tidak akan dibenarkan masuk menghadap (Sulalatus Salatin, hal 75). Sulalatus Salatin memberi gambaran terperinci tentang susunan kedudukan para pembesar dan rakyat ketika menghadap raja. Semasa menghadap raja di balairung, Bendahara selaku ketua pentadbiran, penghulu dan bendahari akan duduk di seri balai. Anak-anak raja pula duduk di kiri kanan balai. Para hulubalang pula akan berdiri di hadapan balai dengan memikul pedang (Sulalatus Salatin, hal 75). Sementara itu segala perkakas diraja seperti ketur, kendi dan kipas juga diatur mengikut ketetapan tertentu. Pedang kerajaan pua dipikul sama ada oleh Seri Bija Diraja atau laksamana sendiri.
     Kerajaan Melaka juga menetapkan adat istiadatnya yang tersendiri dalam memeberikan gelaran kepada seseorang. Sekiranya seseorang itu dianugerahkan gelaran “Seri”, dia akan dijemput oleh orang besar-besar. Bagi gelaran-gelaran yang kecil pula dijemput oleh orang-orang yang lebih rendah pangkatnya. Jika anugerah yang dikurniakan itu besar,  maka dia akan diarak dengan kuda atau hanya berjalan sahaja. Mereka juga akan diiringi dengan payung, gendang dan serunai . (Sulalatus Salatin, hal 76)
Begitulah juga dengan alat penganugerahan persalinan kepada seseorang. Bentuk persalinan ditetapkan berdasarkan kedudukan dan pangkat penerimanya. Persalinan yang paling lengkap diperuntukkan bagi Bendahara. Ini diikuti anak-anak raja dan menteri. Kemudian barulah para hulubalang. Adat menjemput dan menghantar pulang gologan yang akan menerima persalinan ini juga telah ditetapkan. (Sulalatus Salatin, hal 77)
           Di samping itu, terdapat juga adat bagi menerima utusan atau bingkisan dari luar negeri. Ia bergantung kepada kebesaran kerajaan yang menghantar utusan tersebut dan hubungannya dengan Melaka. Sekiranya utusan tersebut datang dari Pasai atau Haru , ia akan dijemput dengan penuh istiadat dan segala alat kerajaan seperti gendang, serunai , nafiri dan diarak dengan payung putih dan gajah. Hal ini demikian kerana raja daripada kedua-dua buah negeri ini sama darjatnya dengan raja Melaka (Sulalatus Salatin, hal 76). Sekiranya utusan tersebut datang dari negeri-negeri lain, penghormatannya dikurangkan sedikit. Ia hanya diiringi dengan gendang dan serunai sahaja.
          Sulalatus Salastin juga memberi gambaran yang jelas tentang adat yang terlibat ketika mengiringi raja. Sebagai contoh, apabila raja berangkat pada hari Raya baginda akan menaiki usungan. Penghulu Bendahari akan memegang kepaala usungan di sebelah kanan manakala Laksamana pula memegang bahagian kirinya. Semua menteri yang mengiringi baginda akan memegang usung tersebut pada bahagian belakang. Rombongan tersebut akan didahului para hulubalang yang memegang lembing, diikuti betara yang memegang pedang kerajaan dan diikuti alat-alat bunyian seperti gong dan gendang. Sekiranya baginda menaiki gaja pula, Temenggung akan berada di bahagian buntutnya. Betara pula akan memikul pedang kerajaan. (Sulalatus Salatin, hal 77-78)
Kebanyakan adat istiadat dan pantang larang tersebut meupakan protokal yang terlibat dalam hubungan raja dengan rakyat serta raja dengan pemerintah. Tujuaan ketetapan atau protokol ini adalah  untuk memastikan martabat dan memberikan identiti yang tersendiri kepada golongan diraja, Protokol ini juga berfungsi untuk membezakan darjat dan kedudukan golongan yang memerintah daripada yang diperintah.

 Pengaruh Ajaran Islam

Seperti yang kita tahu masyarakat Melayu sinonim dengan ajaran Islam. Seorang Melayu itu mestilah beragama Islam. Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimitoskan dengan tujuan untuk mengagungkan Islam dan menunjukkan keistimewaan raja itu sendiri. Penceritaannya memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula dari Istana Melaka dan terus berkembang dalam kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Raja Kecil Besar atau Sultan Muhammad Syah. Gelaran sultan digunakan setelah Raja Melaka memeluk Islam. Unsur-unsur islam juga dapat dilihat daripada penyebutan dan penonjolan tokoh-tokoh ulama-ulama Islam. Antaranya ialah Iskandar Zul-Karnian, yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka yang bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja-raja Melaka.
         Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh ahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah, tokoh-tokoh nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Khidir. Sulalatus Salatin menceritakan pernikahan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul- Bariyah disempurnakan oleh Nabi Khidir. Mas kahwinnya sebanyak 300 ribu dinar emas (cetera 2). Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (Timur Tengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam yang berpusat di Istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan. Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di Istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan. Unsur Islam dalam Sulatus Salatin juga terlihat dalam perjalanan adat-istiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. Ia meliputi hal-hal seperti upacara akad nikah kahwin, dan perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Korban. Selain itu, gambaran Islam juga dapat dilihat melalui adat berkhatan.
       Tambahan lagi, unsur islam dalam Sulalatus Salatin juga ketara melalui penyebutan tentang kewujudan karya-karya Kesusasteraan Islam di Melaka contohnya Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh seperti Peringgi.(Sulalatus Salatin hal 268-269). Sualatus Salatin juga menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana digambarkan sebagai pusat pengajian Ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan sebagai Pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar Tasawuf dan Sultan Mahmud turut belajar lmu agama. Oleh yang demikian jelaslah bahawa ajaran Islam dan masyarakat Melayu tidak dapat dipisahkan. Agama Islam sebagai cara hidup dalam masyarakat Melayu meliputi semua aspek termasuklah perundangan dan adat istadat.

Friday, 12 April 2013

BAB VII

Bab VII : Hang Jebat Kesiangan di istana.
Hang Jebat telah mengamuk di dalam istana raja. Ini menyebabkan Sultan dan permaisuri terpaksa melarikan diri. Bila tiada seorangpun hulubalang yang dapat membunuh Hang Jebat itu, raja mula terkenangkan Hang Tuah. Bila keadaan mengizinkan, Seri Nara Diraja pun menyembah dan memberitahu bahawa Hang Tuah masih hidup di Hulu Melaka. Lalu Hang Tuah disuruh ambilkan. Dia diampuni dan disuruh membuang arang di muka raja.

Pertarungan Hang Tuah – Hang Jebat.
Hang Tuah dengan segera ke istana bertikam dengan Hang Jebat. Dua tiga kali kerisnya terlekat di dinding dan tiang. Dibenarkan oleh Hang Jebat untuk dicabut semula. Sekali keris Hang Jebat terlekat, terus dia ditikam oleh Hang Tuah. Dengan tikaman kedua, Hang Jebatpun meninggal dunia. Mayat Hang Jebat dibuang ke laut. Anak isterinya diumbut. Rumahnya juga dibuang ke laut. Istana tempat Hang Jebat mati itu tidak lagi mahu diduduki. Istana baru minta diperbuatkan. Istana baru sangat hebat. Mempunyai 17 ruang dengan 40 buanh pintu berukir. Istana dinamakan orang “Mahligai Hawa Nafsu”. Pangkat laksamana dikembalikan semula kepada laksamana. Dia didudukkan sama taraf dengan Seri Bija Diraja dan dibenarkan memikul pedang kerajaan. Seri Bija Diraja pula diberikan daerah Sening Ujung.

Istana Sultan Mansur Syah terbakar.
Dengan takdir Allah taala, istana yang baru siap itu telah terbakar. Bagaimanapun banyak harta dapat diselamatkan. Akibat peristiwa ini, ramai pula orang-orang muda yang menerima anugerah raja kerana menyelamatkan harta raja. Sebuah istana baru pula diminta siapkan dalam masa sebulan. Bendahara telah membahagikan kerja-kerja membina istana ini kepada pembesar-pembesar jajahannya. Dengan itu istana baru berjaya disiapkan. Bahkan lebih baik dari istana yang terbakar itu.

Ramalan Bendahara Paduka Raja.
Seri Nara Diraja telah jatuh sakit. Dia memanggil Paduka Raja memintakan Paduka Raja menguruskan anak-anaknya yang masih kecil. Lagipun mereka itu adalah anak-anak saudara Paduka Raja sendiri. Emas sebanyak 5 buah candu peti diminta bahagi-bahagikan antara mereka. Anak-anak SND itupun pindahlah ke rumah Paduka Raja. Pada Satu waktu subuh, Bendahara telah melihat ada cahaya yang terpancar dari kepala Tun Mutahir ke langit. Bendahara meramalkan bahawa Tun Mutahir akan dapat menjadi orang besar. Bahkan lebih dari dirinya tetapi kebesaran itu tidak kekal lama.

Bila Tun Tahir dan Tun Mutahir besar, mereka telah meminta emas yang ditinggalkan oleh ayahnya. Bendahara tidak memberinya. Sebaliknya mereka diberikan 10 tahil emas untuk dibuat berniaga. Setelah cukup setahun, kedua mereka itu datang untuk membayar hutang. Ini membuktikan yang mereka mampu menguruskan harta. Lalu emas itu dan semua emas yang disimpan diberikan kepada mereka. Tun Tahir telah dilantik menjadi Bendahari menggantikan bapanya dan bergelar Seri Nara Diraja, Tun Mutahir dijadikan Temenggung dan bergelar Ser Maharaja. Tun Abdullah pula diberi gelar Seri Nara Wangsa.

Akibat tiada menyembah ke Melaka.
Pemerintah Kampar yang bernama Maharaja Jaya tidak menyembah ke Melaka. Jadi Sultan Mansurpun menitahkan satu angkatan pergi menyerang ke Kampar dengan diketuai oleh Seri Nara Diraja. Dibantu oleh Khoja Baba. Mereka telah berjaya mengalahkan Kampar. Maharaja Jaya dan mangkubuminya yang bernama Tun Demang telah terbunuh. Negeri Kampar diserahkan kepada Seri Nara Diraja dan dia telah melantik seorang adipatinya ke sana.

Sesudah Kampar, Siak pula.
Pemerintah Negeri Siak bernama Maharaja Parameswara juga tidak mahu menyembah ke Melaka. Sultan Mansur memerintahkan Seri Udana untuk menyerang Siak bersama angkatannya. Mereka telah berjaya membunh Maharaja Parameswara. Anaknya yang bernama Megat Kudu dan Tun Jana Pakibul ditawan dan di bawa balik ke Melaka. Megat Kudu telah dikahwinkan oleh Sultan Mansur dengan puterinya yang bernama Raja Mahadewi. Dia dirajakan semula di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun Jana dilantik sebagai Mangkubuminya.

Ditolak bumi Melaka.
Raja Muhammad yang bakal menggantikan ayahnya Sultan Mansur telah menyebabkan Tun Besar, anak Paduka Raja meninggal dunia. Anak-anak buah Paduka Raja mahu menderhaka untuk membalas dendam. Bendahara menentang hasrat tersebut tetapi bersumpah tidak mahu berajakan Raja Muhamad. Akibatnya Sultan Mansur telah menghantar Raja Muhammad untuk beraja di Pahang. Bergelar Sultan Muhammad Syah. Raja Muhammad telah berkahwin dengan Mengindera Puteri, cucu Sultan Iskandar, Sultan Kelantan. Mendapat tiga orang anak iaitu Raja Ahmad, Raja Jamil dan Raja Mahmud.

Juara Catur.
Ialah Tun Bahara, orang pasai yang datang ke Melaka. Tiada siapa yang dapat menandinginya. Bermain tanpa berfikir, sambil bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka. Cuma yang dapat sedikit menandinginya ialah Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.

Disuruh merompak ke Ujung Tanah.
Raja di negeri Meluluki, Makasar bernama Keraeng Majiko beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh saudara. Anak dari puteri yang tua bernama Semerluki. Apabila dewasa, Semerluki telah berahikan emak saudaranya yang bongsu. Ayahnya mengetahui hasrat Semerluki itu dan menyuruhnya pergi merompak ke Ujung Tanah (wilayah Melaka) untuk mendapatkan perempuan-perempuan yang cantik. Jadi Semerluki telah pergi merompak ke pulau Jawa, wilayah taklukan Siam, Melaka dan juga Pasai. Di Melaka dia ditentang oleh angkatan Laksamana Hang Tuah dan di Pasai oleh Orang Kaya Kenayan. Jawa dan Siam berjaya dialahkannya tetapi dia gagal di Melaka dan juga Pasai.

Kitab Duri’l Mazlum.
Maulana Abu Ishak adalah seorang ulama tasawuf di Mekah. Beliau mengarang kitab Duri’l Mazlum. Beliau telah menyuruh anak muridnya yang bernama Maulana Abu Bakar supaya menyebarkan isi kitab itu ke Melaka. Di Melaka, Maulana Abu Bakar dimuliakan oleh Sultan Mansur yang turut berguru dengannya. Kadi Melaka iaitu Kadi Yusuf pada mulanya tidak mahu berguru dengan Maulana Abu Bakar tetapi selepas dia terpandangkan maulana itu yang dipenuhi cahaya seperti sumbu dian, maka diapun turut berguru sama. Malah dia telah meletak jawatan kadi dan digantikan anaknya Kadi Munawar. Orang-orang Melaka dan Pasai pada masa itu sangat minat untuk belajar ilmu agama. Kitab Duri’l Mazlum dapat diberikan makna (terjemahan) oleh Makhdum Patakan, orang Pasai. Sultan Mansur juga pernah bertanyakan kemusykilan agama kepada Makhdum Mua di Pasai itu.Tentang kekal atau tidaknya penghuni Syurga dan Neraka.

Wednesday, 10 April 2013

BAB VI

Bab vi : Malang membawa tuah.
Anak raja Tanjung Pura telah hanyut ke pantai Begawan dan diselamatkan oleh seorang penyadap. Namanya Raden Perlan Langu. Dia diberi nama gelaran Ki Mas Jaya. Si penyadap selalu menyatakan bahawa Ki Mas Jaya bakal berkahwin dengan Puteri Galoh Awi Kesuma, puteri Ratu Majapahit. Ki Mas Jaya pula menyatakan akan mengangkat si Penyadap menjadi Patih Gajah Mada. Kebetulannya Awi Kesuma telah besar dan Patih Gajah Mada sendiri ada mendengar bisikan dari rakyatnya yang dia sendiri akan mengahwini puteri tersebut. Lalu Patih Gajah Mada mencadangkan supaya Awi Kesuma berkahwin. Untuk itu segala rakyat diminta berkumpul untuk Awi Kesuma sendiri memilih bakal suaminya.


Bakal ratu Majapahit.
Setelah Awi Kesuma memandang Ki Mas Jaya iapun berkenan lalu mereka dikahwinkan. Ki Mas Jaya diangkat menjadi betara Majapahit. Si Penyadap pula menuntut Betara Majapahit menunaikan janji untuk mengangkatnya menjadi Patih Gajah Mada. Ki Mas jaya membuka rahsia dirinya yang dia anak raja Tanjung Pura dan tuntutan si penyadap. Atas cadangan Patih Gajah Mada, si penyadap telah dijadikan ketua para penyadap dan diberi gelar Patih Adi Kara. Didudukkan sama taraf dengan PGM. Berita tentang Ki Mas Jaya sebagai anak raja Tanjung Pura telah kedengaran kepada ayahandanya. Utusan telah dihantar dan mereka sangat gembira melihat Raden Perlan Langu masih hidup dan menjadi Betara Majapahit pula. Hasil perkahwinan Ki Mas Jaya dengan Raden Awi kesuma lahirlah Raden Galuh cendera Kirana yang amat masyhur kecantikannya itu. Telah ramai anak raja yang datang meminang tetapi tidak diterima oleh Betara Majapahit itu.


Menjalin muhibah Melaka-Majapahit.
Sultan Mansur Syah juga turut jatuh berahi pada Raden Galuh Cendera Kira itu. Satu rombongan untuk meminang ke sana segera bertolak. Bendahara Paduka raja ditugaskan mentadbir negara. Dia ke sana dengan diiringi oleh 40 orang “Perawangan” dan semua “Hanghang” yang sembilan orang itu yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah telah beroleh gelaran Laksamana dari Sultan yang mengenang jasanya membunuh seorang orang tua Jawa yang mengamuk di Melaka. Hang Tuah sebelum itu telah berjaya membunuh 74 orang, orang mengamuk di Melaka.

Sultan Mansur Syah juga diiringi oleh raja-raja dari Inderagiri (Sultan Nara Singa), Tungkal (Raja Merlang), Jambi (Adipati Sira Sela Sida), Palembang (Demang Mangku Raja) dan dari Lingga (Maharaja Isak). Rombongan SMS telah sampai ke Majapahit. Pada masa itu RajaTanjung Pura dan Kediri ada mengadap. Betara Majapahit telah menganugerahkan 40 bilah keris kepada rombongan. Keris yang diberikan kepada raja Kediri dan Tanjung Pura dapat dicuri semula. Keris yang diberikan kepada Raja Melaka tidak dapat. Ini menunjukkan raja Melaka lebih cerdik dari raja-raja yang lain.

Telatah budak-budak Raja Melaka.
Di Majapahit, Hang Tuah telah mencabar Tun Bijaya Sura menunjukkan kebolehannya. Tun Bijaya Sura telah menari di hadapan Betara Majapahit. Digertaknya anjing yang ada dibalai itu, terkejut ketakutan dan terus lari ke hutan. Dia juga bermain “Sapu-sapu rengit”. Dalam permainan itu dia dan pembantunya dapat duduk dan melunjurkan kaki ke arah Betara Majaphit. Kelakuannya itu dapat dikesan oleh Betara Majapahit sebagai mahu membalas perbuatannya yang menambatkan anjing di hadapan raja Melaka, seolah raja Melaka itu menyembah anjing tersebut.

Tun Bijaya Sura pula mencabar Hang Tuah naik menceroboh ke balai larangan Betara Majapahit. Hang Tuah dan kawan-kawannya telah naik ke balai tersebut lalu segera ditombak orang. Beratus tombak dilempar tetapi habis semuanya diparang oleh Hang Tuah. Setelah diketahui oleh Betara Majapahit, dibiarkan sahaja oleh baginda. Mata tombak yang beratus-ratus berkas itu diberikannya pula kepada Hang Tuah. Kehebatan Hang Tuah telah menjadikan dirinya kegilaan kepada perempuan-perempuan di tanah Majapahit itu. Sehinggakan terdapat pantun dibuat orang untuk menggambarkan kehebatan Hang Tuah tersebut. Tun Bijaya Sura telah diminta oleh Betara Majapahit menunjukkan tariannya lagi. Dia telah menarikan “berkeliling gelagat”. Dalam permainan ini dia telah mengayunkan sapu tangan yang dipinjamnya dari Raja Melaka. Habis muka para penjawat Majapahit itu disapunya. Mereka hendak marah tidak dapat kerana Tun Bijaya Sura bermain itu dititahkan oleh Betara Majapahit sendiri.

Untuk memperkenakan Tun Bijaya Sura, Betara Majapahit telah memberikan persalinan cara Jawa iaitu dengan berkeris di belakang. Disuruhnya seorang pencuri mencuri semula keris itu dari Tun Bijaya Sura ketika beliau sedang asyik melihat orang menyabung. Bila TBS menyedari kerisnya dicuri, dia pula mencuri keris dalam puan Betara majapahit. BM sengaja menunjukkan keris yang dicari dari TBS dengan berpura-pura untuk menunjukkan keelokannya. TBS pula menunjukkan keris yang dicurinya. Jadi sedarlah BM yang kerisnya sendiri juga telah dicuri oleh TBS. Jadi keris itu dikembalikan kepada TBS dan keris kedua itu dihadiahkan kepada TBS juga. Setelah genap kerja berjaga-jaga selama 40 hari 40 malam, maka Sultan Mansur pun dikahwinkan dengan Raden Galoh Cendera Kirana.

Memohon jajahan sebelum kembali.
Sebelum kembali ke Melaka, Tun Bijaya Sura disuruh Raja Melaka mintakan daerah Inderagiri. Hang Tuah meminta daerah Siantan. Hasil perkahwinan SMS dengan RGCK, lahirlah Raden Di Kelang. Hasil perkahwinan dengan anak Seri Nara Diraja mendapat dua anak iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendana. Dari perkahwinannya dengan saudara Paduka Raja yang bongsu, lahir pula Raja Hussein.

Hang Tuah dihukum bunuh.
Satu ketika kuda Sultan Mansur Syah jatuh ke dalam telaga tahi. Beratus-ratus orang yang melihat peristiwa itu. Seorangpun tidak mahu turun. Lalu Hang Tuah Terjun kedalam telaga dan menambat kuda dengan tali. Barulah kuda dapat ditarik naik ke atas. Hang Tuah telah dituduh bermukah dengan seorang dayang istana. Sultan telah menyuruh Seri Nara Diraja menjalankan hukum bunuh. Bagaimanapun Seri Nara Diraja tidak menjalankan hukum itu sebaliknya Hang Tuah telah dihantarkan ke dusunnya di hulu Melaka. Dipasungkan.

Perhubungan dengan negeri China.
Raja benua China telah menghantar utusan ke Melaka untuk menjalinkan hubungan persahabatan. Dihantarkan juga hadiah seperti kain-kain sutera dan juga sebuah pilau yang sarat dengan jarum. Jarum itu menunjukkan ramainya rakyat China. Sebagai balasan Tun Perpatih Putih, adik bendahara Paduka Raja dihantar pula ke China. Dia membawa sagu rendang sarat sekapal. Ragu rendang itu kononnya diambil sebiji seorang dari rakyat Melaka lalu digelek-gelek. Raja China kagum dengan kebesaran negeri Melaka, lalu berkenan untuk menjadikan raja Melaka sebagai menantunya.

Untuk melihat Raja China, Tun Perpatih meminta dihidangkan sayur kangkung yang dipotong panjang-panjang. Untuk makan dibimbit hujung kangkung itu ke atas. Jadi dapatlah mereka melihat Raja China yang berada di atas kerusi dalam mulut naga pada mungkur kacanya. Raja China meminta Sultan Mansur datang ke China bagi dikahwinkan dengan puterinya. TPP menyatakan Sultan tidak dapat datang kerana ada permusuhan. Jadi baginda bersetuju supaya puterinya itu dihantarkan ke Melaka.

Puteri Raja China ke Melaka.
Raja China menghantarkan puterinya bernama Hang Liu ke Melaka. Puteri itu bersama 500 dayang dan 500 pengiring lelaki telah diislamkan oleh Raja Melaka. Puteri itu dikahwininya. Mereka disuruh diam di Bukit China. Bila Laksamana Lak Di Po ingin kembali ke negeri China, Menteri Jana Putera dan Tun Telanai pula disuruh pergi ke negeri China. Dalam perjalanan mereka terbias ke Brunai kerana ribut. Raja Brunai juga berkirim sembah ke Melaka.

Kedal kerana tulah.
Selepas 2 hari menerima sembah raja Melaka, raja China telah didatangi penyakit kedal anjing. Seluruh tubuhnya telah menjadi gatal-gatal. Beratus-ratus tabib cuba mengubati tetapi gagal. Sehinggalah seorang tabib tua mengatakan penyakit itu berpunca dari menerima sembah raja Melaka. Utusan pun dihantar ke Melaka memohonkan air basuh kaki dari Raja Melaka. Bila air itu diminum dan dibuat basuh muka. Penyakit kedal itupun hilang. Dengan sebab itu Raja China bersumpah tidak lagi mahu disembah oleh Raja Melaka. Begitu juga dengan keturunannya takut terkena tulah.

Monday, 8 April 2013

BAB V

Bab V : Bakat kepimpinan Tun Perak.
Raja Negeri Siam atau negeri Syahrun Nuwi iaitu Paduka Bubunya mahukan negeri Melaka menyembah kepadanya. Sultan Muzaffar Syah enggan menyembah. Jadi paduka Bubunya menitahkan panglimanya yang bernama Awi Chakri menyerang Melaka. Tun Perak telah membawa tenteranya untuk mempertahankan Melaka bersama-sama orang perempuan masing-masing. Pengikutnya tidak puas hati dan mengadu kepada raja. Tun Perak menyatakan bahawa orangnya akan berperang dengan lebih bersungguh-sungguh dari orang lain kerana mahu menjaga keselamatan isteri mereka masing-masing di samping berperang untuk raja. Sultan berpuas hati dengan jawapan tersebut dan telah melantik Tun Perak menjadi bentara di istana. Tidak lama kemudian dilantik pula menjadi menteri bergelar Paduka Raja.

Satu cara mengelakkan pecah belah.
Setelah Tun Perak menjadi menteri, orang-orang Melaka berpecah dua. Keadaan ini merunsingkan Sultan Muzaffar Syah. Untuk merapatkan hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, Sultan telah menceraikan Tun Kudu untuk dikahwini oleh Seri Nara Diraja. Tun Kudu ialah anak Bendahara Seri Wak Raja iaitu kakak Paduka Raja Tun Perak. Dengan itu SND telah melepaskan jawatan Bendahara untuk diberikan kepada PR. Tun Perak dikatakan sama taraf dengan Patih Aria Gajah Mada di Pajapahit dan Orang Kaya Senayan di Pasai.

Langgaran Siam dipatahkan.
Angkatan Siam telah datang menyerang Melaka sekali lagi, diketuai oleh Awi Dicu. Paduka Raja diarahkan menghalang angkatan Siam bersama Seri Bija Diraja Tun Hamzah atau Datuk Bongkok. Angkatan mereka bertemu di Batu Pahat. Anak SBD iaitu Tun Omar disuruh menjadi suluh. Semasa dia menyiasat kapal-kapal Siam itu dua tiga buah perahu telah dikalahkannya.

Pada waktu malam, Bendahara Paduka Raja telah menyuluh dipasangkan api pada pohon-pohon bakau, nyireh, tumu dan api-api ditepi pantai. Angkatan Awi Dicu tersalah anggap yang angkatan Melaka terlalu ramai. Kerana gerun merekapun cabut lari. Melihat itu angkatan Melaka telah mengejar angkatan Siam hingga ke Singapura. Sultan Muzaffar Syah sangat gembira. Raja Siam iaitu Paduka Bubunya sangat marah. Dia sendiri bercadang akan menyerang Melaka. Mendengar itu Cau Panden anaknya menghalang dan berjanji akan menyerang Melaka. Perkhabaran Cau Panden akan menyerang Melaka itu terdengar ke Melaka. Seorang Arab yang dikenali sebagai Tuan Saidi Arab telah memanah Cau Panden itu dari Melaka yang menyebabkannya terbunuh.


Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama Puteri Bakal. Baginda memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija Diraja menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang berada di bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.

Raja Indera Pura Ditawan.
Maharaja Dewa Sura berjaya ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa balik ke Melaka. Atas jasanya Seri Bija Diraja dinobatkan di Pahang oleh Sultan Mansur. Puteri Onang Sari dikahwini oleh Sultan Mansur dan mendapat dua anak iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad.

Hubungan muhibbah Melaka – Sulawesi.
Sultan Mansur Syah mahu hubungan dengan Makasar dipereratkan. Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja telah diutuskan untuk ke sana. Mereka berjaya mengadap raja di Goa dan baginda sangat suka hati untuk bermuafakat dengan Melaka. Apabila mereka mahu kembali ke Melaka, raja Goa telah berusaha mendapatkan seorang budak untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur.

Dari Mana Hang Tuah berasal.
Raja di Goa telah berjaya mendapatkan anak Raja Bajung yang bernama Daeng Mempawah untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur Syah. Budak ini berumur 12 tahun dan diberikan nama Hang Tuah oleh sultan. Dia seorang yang berani dan telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk. Di Melaka pada masa itu terdapat 9 orang “Perhangan” iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin.

Maharaja Dewa Sura dibebaskan.
Gajah Sultan Mansur Syah yang dibawa Kemanci telah terlepas dan lari ke hutan. Panglima gajah iaitu Seri Rama telah gagal mencarinya semula. Maharaja Dewa Sura telah dicadangkan untuk menangkap gajah itu. Tapi baginda mensyaratkan supaya dia dibebaskan dahulu. Sultan Mansur bersetuju dan beliau telah berjaya menangkap gajah itu semula. Sekalian anak-anak muda di Melaka disuruh belajar ilmu gajah dengan MDS itu. Seri Nara Diraja yang beristerikan Tun Kudu telah berjaya mendapat 3 orang anak iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan Tun Mutahir. Bila Tun Kudu mati, SND kahwin lain dan mendapat 2 orang lagi anak iaitu Tun Bongsu dan Tun Sadah.

Hubungan berbaik-baik Melaka-Siam.
Sultan Mansur Syah ingin hubungan dengan Siam dipulihkan. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera telah diutuskan ke sana. Mereka telah berjaya mengadap Paduka Bubunya dan mengangkat martabat dan menjaga maruah raja Melaka. Sultan Mansur diberikan makna sebagai raja yang dimenangkan akan Allah taala daripada segala seteru. Bila ditanya kenapa Melaka tidak dapat dikalahkan oleh Siam, Tun Telanai telah menyuruh Suir, seorang tua yang untut tetapi belakangnya tidak lut dtikam oleh lembing. Sekalian orang Melaka dikatakan seperti Suir itu, iaitu tidak lut ditikam dengan lembing. Paduka Bubunya telah percaya dengan tipu helah itu.

Paduka Bubunya juga telah menyuruh angkatan Melaka membantu Siam menewaskan musuhnya dalam satu peperangan di sana. Mereka diminta berperang dengan pasukan yang kuat. Kebetulan di arah kiblat. Menteri Jana Putera telah mengatakan orang Islam tidak boleh berperang mengadap kiblat kerana itu adalah arah untuk sembahyang. Tipu helah itu dipercayai oleh Raja Siam. Mereka disuruh berperang ke hala matahari terbit dan berjaya dalam perang tersebut. Paduka Bubunya telah memberi hadiah kepada semua ahli rombongan dari Melaka itu. Tun Telanai diberikan seorang puteri bernama Onang Minaling Lang. Dari perkahwinan itu melahirkan Tun Ali Haru.