Friday, 31 May 2013

BAB VIII

Bab VIII : Raja Cempa dan zuriatnya.
Raja Campa telah memperolehi seorang budak dari mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Dia dikahwinkan dengan Pau Bania. Pau Gama dari keturunanannya telah datang mengadap ke Majapahit. Dia dikahwinkan dengan Raden Galuh Ajeng. Anaknya dinamakan Raja Jakanak. Pada masa Pau Cin memerintah telah berlaku perang antara Cempa dengan Kuci. Raja Kuci telah merasuah Penghulu Bendahari menyebabkan Cempa dapat dikalahkan. Dua orang anak raja Cempa iaitu Syah Indera Berma dan Syah Pau Ling telah pergi ke Melaka dan Aceh. Syah Indera Berma telah memeluk agama Islam. Dia dijadikan menteri di Melaka oleh Sultan Mansur Syah.

Gema peristiwa rampas kuasa di Pasai.
Pemerintah Pasai bernama Sultan Zainal Abidin. Saudaranya telah merampas kuasa. Dia lari ke Melaka. Sultan telah menyuruh Bendahara Paduka Raja, Seri Bija Diraja dan Laksamana serta 2 laksa tentera pergi merajakan semula Sultan Zainal Abidin. Setelah beberapa kali perang, Sultan Zainul Abidin berjaya ditabalkan semula. Dia enggan menyembah ke Melaka. Belumpun angkatan Melaka sampai ke Melaka , sultan itu berjaya dikalahkan semula. Laksamana cadangkan supaya angkata berpatah balik untuk merajakan semula Sultan Zainal abidin tetapi Bendahara enggan. Bila kembali ke Melaka, Bendahara telah dimurkai Sultan. Bila ditanya Sultan, Laksamana telah menyatakan keburukan Bendahara semasa di Pasai sedangkan bila Bendahara dipanggil, dia telah memuji-muji laksamana. Ini menyebabkan laksamana malu sendiri. Dia segera pergi ke rumah bendahara dan menyembah, meniarap di kaki bendahara.

Wasiat Sultan Mansur Syah.
Hasrat Sultan Mansur Syah mahu melantik Raden Kelang, anakanda baginda dengan Raden Galuh Cendera Kirana menggantikannya, Malangnya Raden Kelang mati terbunuh oleh orang mengamuk. Paduka Mimat, anakanda baginda dengan Puteri Hang Liu juga sudah meninggal. Saudaranya Paduka Seri Cina dirajakan di Jeram, hampir Langat. Bila SMS hampir meninggal dia mewasiatkan agar Raja Ahmad atau nama timangannya Raja Hussain dilantik menjadi sultan. Pesan baginda pada Raja Hussain ;
- Dunia tidak kekal, setiap yang hidup akan mati.
- Iman yang sempurna dan pekerti yang baik akan kekal disebut orang.
- Hendaklah adil.
- Jangan mengambil hak orang tanpa izin.
- Jangan lalai dari tugas (dihadap orang).
- Setiap kesukaran atau kesakitan hendaklah ditolong.
- Setiap yang teraniaya disiasat.
- Muafakat dengan menteri dan orang besar.
- Patuh pada wasiat supaya dapat berkat.

Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah.
Sultan Alauddin beristeri dua orang. Isteri pertama ada 2 anak iaitu Raja Menawar dan Raja Zainal. Isteri kedua ada 3 anak iaitu Raja Hitam, Raja Muhammad dan Raja Zainal. Dalam negeri banyak berlaku kes kecurian. Bagi mengatasi masalah, baginda sendiri telah keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, penjawat sirih santap baginda. Terjumpalah dengan 5 orang pencuri sedang mengusung peti. Diusirnya pencuri itu. Dia berjaya membunuh 2 orang dan Hang Isap membunuh seorang, 2 orang lagi berjaya melarikan diri. Setelah itu ia kembali ke istana.

Langkah membasmi pencuri.
Setelah Temenggung mendengar Sultan sendiri keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, dia mulai mengeraskan kawalan. Sesiapa yang dijumpai berjalan malam dibunuhnya. Membuatkan pencurian berjaya dibenteras. Sebuah balai dibina di simpang empat di tengah negeri. Seorang penghulu ditugaskan berkawal di situ. Sesiapa yang menjumpai harta orang hendaklah dipulangkan kalau tidak tangannya akan dikerat. Setiap barang yang dijumpai dihantarkan ke balai.

Akibat salam dibacakan sembah.
Maharaja Diraja, raja Haru telah mengutuskan Raja Pahlawan ke Pasai. Surat Maharaja Diraja yang berkirim salam dikatakan berkirim sembah oleh khatib yang bertugas. Bila teguran tidak diendahkan, Raja Pahlawan telah mengamuk. Ramai rakyat Pasai terbunuh. Raja Pahlawan dan rombongannya juga ramai terbunuh. Mulai kes itu, Haru bermusuhan dengan Pasai. Maharaja Diraja telah menyuruh pahlawannya yang bernama Seri Indera mengamuk dalam jajahan Pasai. Seri Indera terlanjur hingga ke jajahan Melaka. Sultan Alaudin telah menitahkan Paduka Tuan, Laksamana Hang Tuah dan Seri Bija Diraja menyekat amukan Haru. Orang Haru kalah dan mengundurkan diri.

Mia Ruzul dengan kambing randuk.
Mia Ruzul adalah seorang keling yang turut serta dalam angkatan perang Melaka. Dia telah ke darat untuk buang air besar. Terpandangkan seekor kambing disangkanya orang tua Haru yang mengintainya. Bila disergah kambing itu melawan, akibatnya Mia Ruzul lari lintang pukang. Bila disiasat ternyata hanyalah seekor kambing. Semua orang ketawa dan marahkan Miz Ruzul. Peperangan berlaku lagi antara orang Melaka dengan orang Haru di Pengkalan Dungun. Orang Haru telah minta diadakan perdamaian dan diterima oleh Paduka Tuan. Tidak lama selepas kembali ke Melaka, Seri Bija Diraja telah meninggal dunia dan dia digantikan oleh anaknya T un Kerunta. Juga bergelar Seri Bija Diraja. Seorang lagi anaknya bergelar Tun Bija Diraja.

Ketiganya sama gagah.
Raja Maluku telah lari ke Melaka bila negerinya dikalahkan oleh Kastilan. Dia sangat pandai bermain sepak raga. Ditimangnya 100 – 200 kali barulah diberikan kepada orang lain. Dia juga sangat gagah, Umbi pokok kelapa diparangnya hingga putus. Begitu juga Telanai Terengganu dan Sultan Alaudin. Telanai Terengganu melembing pokok kelapa tembus ke sebelah. Sultan Alaudin pula gagah memanah. Telanai Terengganu yang pergi mengadap ke Melaka tanpa memberitahu ke Pahang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Muhammad (Pahang). Baginda telah mengarahkan Seri Akar Diraja pergi membunuh Telanai Terengganu. Telanai Terengganu mati terbunuh, anak-anak cucunya habis lari ke Melaka. Sultan Melaka pada mulanya ingin menyerang Pahang tetapi atas nasihat Bendahara, Laksamana Hang Tuah sahaja dihantar ke sana.

Gema pembunuhan Telanai Terengganu.
Di Pahang, Hang Tuah telah menyuruh orangnya membunuh saudara sepupu Seri Akar Diraja. Bila orang yang membunuh itu ditangkap, Hang Tuah tidak membenarkan diambil sebarang tindakan kerana katanya, Seri Akar Diraja juga ada salahnya dengan Sultan Melaka iaitu membunuh Telanai Terengganu tanpa memberitahu ke Melaka. Sultan Muhammad mengatakan Telanai Terengganu dibunuh kerana katanya Telanai Terengganu biadab dengan mengatakan negeri Melaka itu terletak di bawah kelangkangannya.

Ringkasan isi kandungan Sulalatus Salatin

Buku ini mempunyai 15 bab. Dalam bab permulaan iaitu Bab 1 dan 2, ianya mengenai sejarah asal-usul raja-raja Melayu yang dikatakan berasal daripada Iskandar Zulkarnain. Bercampur dengan Puteri Syahrul Bariyah dari Benua Hindi dan Puteri Mahtabul Bahri yang berasal dari negeri Dika, sebuah negeri di dalam laut.

Nila Utama atau Seri Teri Buana telah kahwin dengan Raden Ratna Cendera Puri dari keturunan Raja Palembang telah mengasaskan kerajaan Singapura. Sejarah Singapura di zaman Seri Teri Buana, Paduka Seri Pikrama Wira, Seri Rakna Wikrama, Paduka Seri Maharaja dan berakhir di zaman Raja Iskandar Syah dibincangkan dalam 3 dan 4.,

Sejarah kerajaan Melaka dibincangan secara panjang lebar mulai bab ke 4 hinggalah bab ke 14. Ianya bermula di zaman Raja Iskandar Syah hinggalah ke zaman Sultan Mahmud, raja Melaka yang terakhir. Raja-raja Melaka termasuklah Raja Tengah dan Raja Kecil Besar yang telah memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan yang berikutnya ialah Sultan Abu Syahid, Muzaffar Syah, Mansur Syah, Alauddin Riayat Syah dan yang terakhir Sultan Mahmud Syah.

Sultan Mahmud pernah melantik Sultan Ahmad sebagai penggantinya tetapi ianya disuruh bunuh kerana sikap Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar-pembesar tua. Sultan Mahmud bercadang untuk melantik Raja Muzaffar sebagai Sultan tetapi digantikan oleh Raja Ali anak Tun fatimah. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah. Sultan Mahmud mangkat di Kampar.

Dalam bab 15 , Sejarah Melayu membincangkan tentang kerajaan Melayu di Johor terutama di zaman Sultan Alauddin, Sultan Muzaffar, Sultan Abdul Jalil, Sultan Jalla Abdul Jalil hinggalah ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah. Terutamanya tentang usaha mereka menguasai semula Melaka. Pada zaman Sultan Aladdin inilah Tun Seri Lanang dilantik menjadi Bendahara dan dititahkan menyusun buku Sulalatus Salatin ini.

Saturday, 25 May 2013

MENELUSURI UNSUR SEJARAH DALAM KARYA AGUNG TUN SRI LANANG ‘SULALATUS SALATIN’


1.0  TUN SRI LANANG
Sebelum mengupas dengan lebih lanjut dari segi unsur sejarah yang terkandung dalam karya seseorang, adakalanya lebih baik kita mengenali siapakah tokoh penulisnya. Beliau yang di angkat karyanya sebagai sebuah karya yang hebat, karya yang agung perlu kita kenali siapakah penulisnya karya Sejarah Melayu ini.
      Nama sebenar Tun Seri Lanang ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau dilahirkan di negeri Johor daripada keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor yang hidup pada akhir abad ke-16 dan hingga awal abad ke-17. Beliau anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad Temenggong Johor. Pengetahuannya dikatakan sangat luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor, demikianlah pengetahuan tersebut mendorong beliau menjadi seorang pengarang.
Ringkas mengenainya, pada masa Sultan Abdul Jalil (1570-1597T.M), Tun Sri Lanang telah diangkat oleh Sultan menjadi Bendahara Kerajaan Johor. Namun, setelah Sultan Abdul Jalil mangkat, Tun Sri Lanang hendak menabalkan Raja Abdullah tetapi baginda telah menolak atas alasan baginda tidak minat dalam bidang pemerintahan ini. Lalu ditabalnya Raja Mansur dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah (1597-1613T.M).
PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU LAMA, Dr.Ismail Hamid(1988:260-261) mengatakan bahawa pada tahun 1612 Masihi, Tun Sri Lanang yang bergelar Bendahara Paduka Raja telah diminta oleh Raja Abdullah untuk mengarang ‘Sejarah Melayu’.
Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh seseorang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita  yang kemudian daripada kita dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, dan mudah-mudahan beroleh faedah  ia daripadanya.”
(Ismail Hussein:119:1988)
Ketika Johor ditawan Acheh, Tun Sri Lanang telah dibawa ke negeri tersebut, dan disanalah beliau meneruskan kegiatan penulisannya sebagaimana yang diminta oleh Raja Abdullah supaya menuliskan Sejarah Melayu. Di samping itu juga beliau menemui Syekh Nuruddin al-Raniri serta sempat mempelajari ilmu agama bersamanya, sementara Syekh Nuruddin al-Raniri pula mempelajari bahasa Melayu dengannya. Syekh Nuruddin al-Raniri juga menyebutkan kegiatan Tun Sri Lanang ini dalam bukunya Bustan Al-Salatin fasal 12 bab II.
Pada umumnya, persoalan tentang pengarang buku Sejarah Melayu ini telah menimbulkan banyak kontroversi dalam kalangan para sarjana seperti Winstedt dan W.G. Shellabear. Awal kajian Winstedt yang menyelenggarakan naskhah Raffles berpendapat bahawa pada permulaannya, karya itu ditulis oleh Tun Bambang anak kepada Seri Akar Petani, akan tetapi dia membuat pembetulan mengenai pendapatnya itu, dengan mengatakan pula bahawa Raja Bongsu yang sebenar-benarnya menjadi pengarang Sejarah Melayu. Kenyataan itu diterima W.C. Shellabear,  Walau bagaimanapun, sarjana ini berpendapat pula Raja Bongsu yang disebutkan itu ialah gelaran bagi Sultan Abdullah Maayar Shah, dan bagindalah yang telah menitahkan kepada bendaharanya Tun Sri Lanang untuk menulis Sejarah Melayu. (Dr. Ismail Hamid,1988:196)


2.0 SUMBANGAN
Antara sumbangan besar yang dilakukan oleh Tun Sri Lanang dalam perkembangan kesusasteraan Melayu Tradisional ialah mengarang dan menyusun Sulalatus Salatin pada tahun 1612, iaitu atas perintah Raja Abdullah Maayah Shah berdasarkan naskah Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang bertindak memperbaiki naskah tersebut dan menyusun semula Sulalatus Salatin. Pelbagai perubahan dan penambahan dilakukan beliau sehingga lengkap Sulalatus Salatin menggambarkan sejarah orang Melayu dan pemerintahan Melayu terutama pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.
Tun Seri Lanang berusaha untuk mengangkat dan martabat kedudukan raja-raja Melaka pada ketika itu. Beliau merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara dan raja-raja Melayu sejak zaman Raja Iskandar pada abad ke-15 sehinggalah ke era pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah pada abad ke-17.
Tun Seri Lanang menghasilkan karya ini dalam bentuk yang sangat menarik. Beliau menggambarkan kebijaksanaannya, pengetahuannya yang luas serta kreatif dan estetik dalam kepengarangannya itu. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini telah menjadi perhatian dan rujukan sastera bagi orang Melayu sejak zaman berzaman. Tun Sri Lanang akhirnya meninggal dunia di Samalanga, Acheh pada 1659 Masihi.
3.0  SULALATUS SALATIN ATAU SEJARAH MELAYU
Sejarah Melayu merupakan sebuah karya sastera sejarah yang sangat terkenal sehingga terdapat benyak salinan dan versinya sehingga kini yang disimpan di perpustakaan di alam Melayu dan Eropah. Malah, beberapa buah naskhah daripada buku ini telah pun diterbitkan dan diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa seperti bahasa Inggeris, Perancis, Belanda, Cina dan sebagainya.
      Sejarah Melayu telah memberi gambaran tentang sejarah negeri Melaka pada abad ke-15. Melaka digambarkan sebagai sebuah negara kota pelabuhan yang terbesar di Alam Melayu pada ketika itu. Oleh sebab pelabuhan tersebut besar, peraturan dan undang-undang Melaka telah digubal demi menjaga ketenteraman dan keamanan negeri itu. Sejarah Melayu menyatakan undang-undang tersebut telah disusun semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1456 T.M).
      Sejarah Melayu juga menggambarkan tentang asal usul raja-raja Melayu dan pembukaan negeri-negeri Melayu seperti Pasai, Samudra, dan Melaka. Karangannya turut menyatakan tentang keagungan dan kebesaran pemerintahan Kesultanan Melaka dengan cara yang dipengaruhi oleh kemasukan agama Islam. Dalam bidang politik pula, Sejarah Melayu mengisahkan bahawa bagaimana perhubungan Melaka dengan negeri China. Melalui perhubungan inilah menyebabkan Siam tidak berani menganggu negeri Melaka. Di samping itu, Melaka juga menjalinkan hubungan baik dengan Majapahit.
      Selain itu, buku ini juga menitipkan corak kebudayaan Melayu tradisi dalam konteks sejarah kemasyarakatan bangsa Melayu, iaitu tentang keagungan golongan pemerintah dengan segala peraturan dan adat istiadat yang menarik seperti peraturan kedudukan para pembesar kerajaan yang diaturkan mengikut gelaran dan pangkat seseorang itu dalam Kerajaan Melaka.

      Menurut Sanusi  bin Samid, sejarah Melayu memberi gambaran tentang politik, sosial dan ekonomi kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Melayu menunjukkan struktur politik Melaka dimana sultan mentadbir dan memerintah ddengan kuasa mutlak ke atas rakyatnya. Baginda mempunyai beberapa orang pegawai diberi kuasa untuk mentadbir negeri seperti, Bendahara, Temenggong, Laksamana, Bendahari, dan Syahbandar (Zahrah Ibrahim 1986:70).
      Oleh kerana pengarang ini seorang cendekiawan yang menjawat jawatan sebagai Bendahara di negeri Johor, sememangnya banyak unsur-unsur pengajaran telah dimasukkan dalam buku ini iaitu dengan tujuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada raja-raja Melayu. Penyampaian nasihat ini dilakukan dalam berbagai-bagai cara seperti menggambarkan bagaimana Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riaayat Shah dan Sultan Mahmud memberi nasihat dan amanat kepada putera-putera mereka yang bakal menjadi menjadi raja, supaya mereka menjalakan pemerintahan dengan adil. Pengarang juga menyelitkan beberapa cerita yang bercorak teladan. Walaupun berbentuk dongeng, namun maksud halusnya untuk memberI tunjuk ajar kepada raja-raja Melayu.
4.0  UNSUR-UNSUR SEJARAH DALAM SULALATUS SALATIN
Sastera sejarah merupakan satu cabang daripada kesusasteraan Melayu lama yang membicarakan tentang sejarah berbagai-bagai tempat dan kerajaan di Alam Melayu. Bentuk sastera sejarah terbahagi kepada dua iaitu bentuk sastera sejarah yang bercorak prosa dan puisi (Dr. Ismail Hamid, 1988:196). Karya yang berbentuk prosa itu merupakan riwayat sejarah sebuah kerajaan atau negeri yang memakan masa sehingga beberapa abad, sementara sastera sejarah yang berbentuk puisi pula hanya mengisahkan peristiwa bersejarah yang berlaku dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, Sejarah Melayu turut menggarapkan sedikit unsur puisi didalamnya yang berbentuk pantun.
4.1  SALASILAH RAJA-RAJA MELAYU
Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin turut dikenali sebagai peraturan segala raja-raja. Karya ini turut menceritakan tentang salasilah Raja-Raja Melayu Melaka. Menurut seorang sarjana Inggeris Roolvink, Sejarah Melayu ini asalnya dari Sulalatul Salatin yang bermakna salasilah raja-raja. Berdasarkan kenyataan ini, Sulalatul Salatin itu dahulunya merupakan daftar keturunan raja-raja yang lengkap dengan tarikh lahir, ditabalkan dan mangkatnya (Muhd Mansur Abdullah, 1988:198).
 Sultan Muzaffar Syah yang telah memerintah lebih kurang tiga belas tahun. Baginda mangkat pada tahun 1459M dan telah digantikan oleh putera sulung baginda yang bernama Raja Ibrahim. Antara sebab pengarang mengaitkan keturunan raja-raja Melayu Melaka dengan Raja Iskandar Zulkarnain kerana beliau merupakan tokoh lagenda dan sejarah serta dikaitkan dengan agama Islam. Walau bagaimanapun, keturunan raja-raja Melayu Melaka adalah satu fakta sejarah walaupun disaluti dengan unsur-unsur mitos.
   RAJA ISKANDAR SYAH
RAJA BESAR MUDA
RAJA TENGAH
RAJA KECIL BESAR (SULTAN MUHAMMAD SYAH)
SULTAN ABU SYAHID (RAJA IBRAHIM)
SULTAN MUZAFFAR SYAH (RAJA KASSIM
)SULTAN MANSUR SYAH(RAJA ABDULLAH)
SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH (RAJA HUSSAIN)
SULTAN AMHMUD SYAH (RAJA MAMAD@MUHAMMAD)
SULTAN AHMAD SYAH (RAJA AHMAD)
RAJAH : Salasilah Raja-Raja Melaka

4.2  NAMA-NAMA TEMPAT
Unsur-unsur sejarah nama tempat turut terdapat di dalam karya Sejarah Melayu. Nama tempat yang dikarangkan oleh Tun Seri Lanang nyata wujud sehingga ke hari ini. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan perbincangan Tun Seri Lanang itu sejajar dengan kedudukan raja-raja berasal dari pahlawan dan yang berdaulat. Sejarah Melayu menceritakan tentang pembukaan tempat atau negeri seperti Melaka, Pasai dan Singapura.
Di dalam cerita berhubung pembukaan negeri Pasai, nama samudera dikisahkan lahirnya daripada kewujudan semut yang amat besar. Yusoff Iskandar mengatakan peristiwa pemberian nama Pasai dari nama seekor anjing, Si Pasai dan terjumpanya seekor semut besar (samudera) di mana tempat tersebut di panggil Samudera kemudiannya.
Di dalam Sejarah Melayu juga, Temasik telah digantikan namanya menjadi Singapura berdasarkan kepada nama binatang singa yang amat gagah tubuhnya yang dilihat oleh Sanh Nila Utama. Namun, menurut Hsu Tun Tsio tentang asal usul Singapura dinamakan, adalah kerana terlihatnya seekor yang maha tangkas lakunya, merah warna tubuhnya, hitam kepalanya, dan putih dadanya, dan sikapnya terlalu pantas dan perkasa, besar sedikit daripada kambing randok, kononnya ia adalah binatang singa, maka dinamakanlah tempat itu sebagai Kota Singa.
Akan tetapi, bukan sahaja di Singapura, tetapi di seluruh alam Tanah Melayu, tidak pernah terdapat binatang singa (Zahrah Ibrahim, 1986:52). Katanya lagi, kebanyakkan tempat-tempat yang menggunakan binatang singa sebagai namanya ialah kebanyakan yang terdiri daripada pulau-pulau. Manakala, Melaka pula mengambil nama sempena kejadian pelanduk menedang anjing buruan dan secara kebetulan pohon tempat Raja Iskandar berteduh itu bernama Melaka.
‘Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah Baginda “apa nama kayu itu?” Makasembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah,”jika demikian,“Melakalah nama negeri ini?’
(Sulalatus Salatin/ Sejarah Melayu, 1996: hlm. 71)

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga menceritakan tentang riwayat asal nama negeri Perak dan Petani. Walaupun riwayat pembukaan negeri mempunyai unsur-unsur mitos, tetapi kewujudan negeri ini adalah realiti dan wujud hingga hari ini.
            4.3 TOKOH BERSEJARAH
Sejarah Melayu mempunyai watak-watak yang merupakan tokoh sejarah. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat pada asal usul keturunan raja-raja Melaka. Pada dasarnya, menurut beberapa orang sarjana sejarah dan sastera, unsur-unsur lagenda yang digunakan berhubungan dengan asa usul keturunan raja-raja Melaka ini dibina dari fakta sejarah yang sebenarnya. Menurut Yusoff Iskandar dalam buku yang diselenggarakan oleh Zahrah Ibrahim, Raja Iskandar Zulkarnain adalah watak dan tokoh bersejarah sebenar Iskandar Agung (Alexendar The Great) dari negeri Mekadonia (Babylon).
Baginda dikatakan pernah menakluk seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah hingga ke Utara India. Raja Suran sebenarnya adalah tokoh bersejarah Raja Rajendra Chola iaitu seorang raja dari Selatan India yang dibuktikan oleh sebuah batu bersurat di Tanjore, India yang pernah menakluk beberapa daerah persisir pantai Semenanju8ng Tanah Melayu hingga ke Selatan ke arah Genggayu yang sekarannya dipercayai sebagai Hulu Sungai Johor sekarang, lalu mengalahkan Empayar Srivijaya di sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi.
Kedua-dua tokoh politik dan penakluk agung dalam sejarah awal rantau ini dijadikan satu bentuk cerita tokoh legenda pada bahagian pendahuluan Sejarah Melayu, tujuannya untuk mengatakan bahawa raja-raja Melayu merupakan nasab keturunan dari Iskandar Zulkarnain, tokoh legenda Islam dan Raja Chola, sebagai tokoh legenda Hindu. Perkara-perkara seperti ini sengaja dimasukkan sebagai alat dan cereka untuk memperkenalkan raja-raja Melaka dan dari mana asa- usul mereka.
4.4  STRUKTUR MASYARAKAT
Sejarah Melayu juga mempamerkan gambaran tentang struktur masyarakat Melaka yang terdiri daripada berbagai-bagai peringkat dan golongan masyarakat. Antaranya termasuklah masyarakat dari golongan pemerintah dan kerabat-kerabat diraja, yang kemudiannya diikuti oleh golongan pentadbir-pentadbir yang terdiri daripada pembesar-pembesar yang menduduki kelompok bangsawan Melayu.
      Golongan dalam kalangan ulama turut menduduki taraf istimewa di sisi kerajaan Melaka. Walaupun mereka bukan sebahagian daripada keluarga istana, namun ramai antara para ulama ini mempunyai hubungan rapat dengan raja-raja Melaka. Golongan yang dianggap paling rendah sekali kedudukannya dalam struktur masyarakat pada masa itu ialah hamba abdi.
Disamping itu, orang-orang asing juga digambarkan oleh Tun Seri Lanang berdamping rapat dengan istana Melaka. Ramai di antara mereka ialah saudagar-saudagar Keling seperti Nila Sura Dewana, Kitul, Aki Manu Nayan yang menjadi seorang pedagang dan seorang saudagar Keling yang paling kaya, juga menjadi Syahbandar, iaitu Raja Mendaliar. Terdapat juga orang jawa yang mempunyai kedudukan yang sama ialah Patih Adam iaitu seorang pangeran dari Surabaya.
4.5  SEJARAH ADAT ISTIADAT DAN KEBUDAYAAN
Kebudayaan masyarakat Melayu turut digambarkan oleh pengarang Sejarah Melayu sebagai pengetahuan kita. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan lain-lain. Terdapat beberapa adat antaranya adalah adat yang sebenar-benar adat iaitu adat yang betul-betul berteraskan islam itu sendiri, tetapi sebelum kedatangan islam banyak dipengaruhi oleh hindu dan budha, namun apabila islam telah timbul, maka apa yang bertentangan dengan islam diketepikan.
Yang kedua adalah adat yang diiadatkan iaitu adat yang berteraskan adat yang sebenar-benar adat. Yang ketiga adalah adat yang teradat iaitu adat yang dicipta oleh pemimpin itu sendiri iaitu raja. Seterusnya, adat istiadat iaitu peraturan-peraturan yang biasa dilakukan setiap hari, setiap ketika yang ada dalam istana dan luar istana. Akhir sekali ialah adat resam iaitu adat yang diamalkan oleh masyarakat tersebut.
Justeru mengenai adat menderhaka kepada raja yang pasti dihukum bunuh.  Muhd Mansur Abdullah mengungkap perkara ini dengan mengupas naskhah W.G Shellabear dalam cerita ke 14, 15 dan 16 tentang cerita mengenai Hang Tuah dan pengkhianatan Hang Kasturi. Kisah akhir dalam bab ini yang mengisahkan kejayaan Hang Tuah yang Cuma disorokkan oleh Bendahara di hulu Melaka, membunuh Hang Hasturi yang dianggap penderhaka kepada raja (Muhd Mansur Abdullah, 1988:203).
      Hubungan individu dalam kalangan masyarakat turut digambarkan oleh pengarang. Rasa hormat-menghormati juga terdapat dalam kalangan mereka. Seorang rakyat biasa umpamanya tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar di atasnya. Hal ini digambarkan tatkala mengetahui bahawa Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Tetapi penentangan tersebur dilarang oleh Tun Mutahir kerana perbuatan itu disifatkan oleh beliau sebagai menderhaka kepada Sultan. Pengikut-pengikut ini kemudiannya tidak jadi menentang.
Selain itu, seorang ulama juga sangat dihormati sehingga sultan Melaka sendiri menghormatinya. Hal ini berlaku apabila guru baginda Sultan Mahmud Syah iaitu Maulana Yusoff enggan membenarkan baginda mengadap guru tersebut dengan menunggang gajah, dan akhirnya baginda mematuhi kehendaknya.
Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi bahasanya. Hal ini digambarkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adat Istiadat diraja juga dikarang oleh Tun Seri Lanang bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-Raja Melayu .Oleh hal yang demikian, Sejarah kebudayaan masyarakat Melayu turut dipaparkan di dalam Sejarah Melayu bagi tatapan masyarakat dewasa ini.


4.6  HUBUNGAN DIPLOMATIK
Melaka merupakan pusat tumpuan pedagang-pedagang yang melalui Selat Melaka. Melaka adalah pusat perdagangan utama pada ketika itu dan barang dagangan yang paling utama adalah rempah ratus. Antara pedagang-pedagang yang berdagang di pelabuhan Melaka adalah seperti pedagang Arab, China, Siam, Jawa,dan lain-lain. Oleh itu, untuk mengukuhkan Melaka sebagai pelabuhan utama di Selat Melaka, kerajaan Melaka ketika itu turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara ini.
Selain itu, Sanusi bin Ahmad mengatakan Melaka turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelang, Beruas, Pahang, Sulawesi dan Kampar. Kebanyakan negara-negara ini menghantar ufti sebagai tanda mengakui kedaulatan kerajaan Melaka dan ada juga negeri yang menghantar ufti sebagai tanda negeri tersebut di bawah jajahan takluk kerajaan Melaka (Zahrah Ibrahim, 1986:70). Contohnya kerajaan Siam telah menganugerahkan seorang puteri yang bernama Onang Minang Lang kepada Tun Telanai yang dihantar oleh Sultan Mansor Syah sebagai utusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam. Penganugerahan ini diberi kerana Tun Telanai dan rombongannya telah Berjaya menolong Raja Siam mengalahkan negeri jirannya .Sebagai balasan kepada kerajaan Melaka, Raja Siam membalas utusan Melaka dengan mengirim surat dan hadiah tanda persahabatan.
Jalinan hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan Negara China merupakan hubungan diplomatik yang paling penting. Hubungan ini kekal hingga ke hari ini. Hubungan kerajaan Melaka dengan kerajaan China bermula setelah kerajaan China menghantar utusan ke Melaka dengan membawa bingkisan jarum sarat sebuah pilau (kapal) untuk menunjukkan bilangan penduduk China yang ramai.
Selain itu dikirimkan juga beberapa barang berharga yang luar biasa. Hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan negara-negara tersebut adalah untuk kepentingan kedudukan dan kedaulatan kerajaan Melaka. Oleh kerana itulah mereka perlu menghantar ufti sebagai tanda kedaulatan kerajaan Melaka. Terdapat juga sesetengah negeri ini adalah jajahan takluk kerajaan Melaka seperti Pahang. Dengan hubungan diplomatik ini juga dapat mewujudkan hubungan perdagangan seperti China yang sehingga hari ini adalah rakan dagangan Malaysia yang penting.
5.0  KESIMPULAN
Sejarah Melayu adalah satu sumber sejarah yang berguna untuk menuliskan sejarah Malaysia di antara tahun 1400-1511, terutama sekali mengenai sejarah Melaka sebelum penaklukan oleh Feringgi. Menurut Sanusi Ahmad, hanya dengan membaca Sejarah Melayulah kita dapat menggambarkan cara hidup dan sejarah Melaka tahun 1511, seperti kebudayaan, tradisi, adat istiadat dan masyarakat serta keadaan pelabuhannya yang menjadi tumpuan para pedagang dari pelbagai negeri. Pengarang menulis Sejarah Melayu yang bertemakan kemegahan dan kesultanan Melayu, dan secara keseluruhan ceritanya berpusat kepada golongan raja-raja serta pembesar-pembesar yang berlatar berlakangkan istana dan kawasan pemerintahan. Pengarang juga menyelitkan kisah-kisah bercorak mitos, lagenda, cerita rakyat dan kisah-kisah sejarah yang dikatakan adalah unsur-unsur sastera walaupun ada yang bercorak sejarah. Tanpa sumbangan besar daripada tokoh terkemuka seperti Tun Sri Lanang ini, pastinya masyarakat dan generasi pada masa kini masih terkapai-kapai dan kekaburan dalam meneliti sejarah bangsa dan selok belok kebudayaan Melayu itu sendiri.

Friday, 24 May 2013

UNSUR-UNSUR ISLAM DALAM SULALATUS SALATIN - SEJARAH KEDATANGAN ISLAM DI PASAI DAN MELAKA

Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimetoskan Di Pasai, Merah Silu diislamkan oleh Fakir Muhammad. Pada malamnya bermimpi berpandangan dengan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda menganga mulut. Diludahinya, pada keesokannya badannya berbau narawastu Baginda dapat membaca al-Quran tanpa diajar, kemudian menukar namanya kepada Sultan Malikul Salleh.

Di Melaka, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan keelokkan Rasulullah. Rasulullah meminta baginda mengucap dua kalimah syahadat dan meminta Raja Kecil Besar menukar namanya kepada Raja Muhammad. Keesokan harinya didapati badannya berbau narawastu dan kalam sudah dikhatankan. Baginda dapat membaca al-Quran.Mimpi baginda menjadi kenyataan dimana pada waktu asar kapal Syed Abdul Aziz turun ke pantai Melaka dan beliau bersembahyang di situ.

Tujuan dimetoskan kedatangan Islam iniadalah bertujuan mengagungkan Islam. Ia memberi gambaran bahawa Islam benarbenar berkembang di Melaka, bermula di istana Melaka dan terus berkembang di kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Sultan Muhammad Syah.Gelaran Sultan digunakan setelah Melaka memeluk Islam.

PENYEBUTAN DAN PENONJOLAN TOKOH-TOKOH ISLAM

Tokoh Iskandar Zulkarnain adalah pahlawan Islam yang terkenal gagah berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja. Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah Tokoh-tokoh pendakwah Islam,ulama-ulama Islam dari Asia Barat datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka.Tokoh-tokoh tersebut seperti : Syed Abdul Aziz Maulana Abu Bakar Kadi Yusuf Maulana Sadar Jahan Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.

ADAT ISTIADAT DAN PERUNDANGAN

Unsur-unsur Islam terdapat dalam adat istiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. Ia meliputi : Upacara akad nikah kahwin Perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Korban Adat-adat seperti berkhatan.
Amalan wasiat menjadi suatu amalan kepada raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan putera mahkota. Misalnya, wasiat kepada Raja Ahmad. Juga wasiat Sultan Alauddin Riayat Syah kepada Sultan Mahmud. Melalui wasiat ini ia terselit serta kaya dengan unsur-unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.

KARYA-KARYA KESUSASTERAAN ISLAM

Istana Melaka meyimpan karya-karya sastera Islam seperti pahlawan Islam yang terkenal iaitu Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglimapanglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh/Peringgi. Penceritaan diselit dengan puisi Arab iaitu syair. Penggunaan puisi atau bidlan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut.
Contohnya; menggambarkan keadaan Sultan Mahmud Syah ketika melihat kecantikan Tun Fatimah.

PENDIDIKAN DAN PERKEMBANGAN ILMU KEISLAMAN

Istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Contohnya : Pasai sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah menikut mazhab Shafie Istana merupakan pusat pengajaran Islam di mana sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama,guru-guru agama dan pendakwh berkumpl di istana. Contohnya Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusof mengajar tasawuf.

Kitab-kitab agama seperti Kitab Darul Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab itu. Utusan Melaka ke Pasai menyelesaikan masalahmasalah berkait ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulamaberkumpulbermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.

TEKNIK PENULISAN SULALATUS SALATIN

Mukadimmah dimulai dengan Bismillahirrahmanir-rahim. Dalam mukadimah juga disertakan ayat-ayat alQuran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu. Bagi menjelaskan sesuatu atau sebagai perbandingan,pengarang memasukkan syair dan bidalan Arab dengan disertakan terjemahannya sekali. Struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleretleret dalam wasiat.

Penggunaan kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahara, sahibul hikayat dan lain-lain.

Thursday, 23 May 2013

Konsep karya agung Melayu


Karya agung  ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
            Karya agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun. Karya ini dianggap warisan bangsa dalam erti kata bahawa ia mewakili ‘minda’ dan pengalaman bersama bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi ilmu, adat, bahasa, seni, dan pekerti budaya dan sosial yang membentuk citra identiti ketamadunan bangsa itu.
            Karya agung dunia Melayu pula membawa tafsiran kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Banyak terdapat karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranya I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis dan  Nagarakertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa. Menurut takrif Yayasan, karya-karya agung ini boleh disesuaikan dan boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu. Karya-karya seperti ini boleh dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan yang dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan.
            Yayasan Karyawan telah memainkan peranan penting dalam menerbitkan sesebuah karya agung yang bermutu tinggi. Oleh itu, sejak penubuhan Yayasan Karyawan ini telah berjaya menerbitkan 14 judul karya agung. Dengan adanya penerbitan seperti ini telah memberi pendedahan kepada para pembaca tentang sesuatu kerya agung tersebut. Justeru itu, tidak dapat dinafikan, penekanan terhadap aspek kualiti dalam menghasilkan karya agung meninggalkan impak yang mendalam dalam karya tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah penterjemahan karya agung ini dilaksanakan secara teliti oleh pakar dalam bidang pengkhususan masing-masing dan  pelbagai penyelidikan oleh para sarjana yang berwibawa. Berikut merupakan antara senarai karya agung yang dikeluarkan oleh Yayasan Karyawan.

1)       Sulalat al-Saltin
Karya ini juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Naskhah tertua pernah ditemui ini dikarang di Johor pada tahun 1612, atas titah raja oleh Bendahara Paduka raja (Tun Seri Lanang). Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya.
2)       Hikayat Hang Tuah
Karya ini telah dikarang pada sekitar tahun 1641 hingga 1736. karya ini merupakan antara satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini iaitu dengan kata keramat seperti ”Takkan Melayu Hilang di Dunia’.
3)       Tuhfat Al-Nafis
Karya ini telah menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga. Karajaan Riau-Lingga ini merupakan sebuah kerjaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi kronologi, latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19.  Dari segi geografi, Tuhfat Al-Nafis meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di Semenjung Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura), di Siak (Sumatera Timur), di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan, dan di Betawi.
4)        Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa ini merupakan hasil penulisan yang menceritakan tentang sejarah tradisional. Hilayat ini terkarang pada sekitar tahun 1800-an, yang menyumbang keterangan tentang asal-usul keturunan raja-raja Kedah dari sudut mitos dan lagenda.  Kehandalan pujangga tidak bernama dari istana Kedah ini ialah menggembelengkan kedua-dua unsur mitos dan realiti sejarah dalam penulisannya.
5)       Hikayat Raja Pasai
Karya ini berkemungkinan dikarang dalam jangka waktu dari tahun 1211 hingga 1400.  Hikayat ini mencakupi suatu zaman dalam sejarah Pasai, sebuah tempat di Sumatera Utara, di situ agama Islam mula bertapak di Gugusan Pulau-pulau Melayu, iaitu pada abad ke-13.
6)       Hikayat Acheh
Karya ini dihasilkan pada zaman  pemerintahan Sultan Iskandar Muda di Acheh (tahun 1606-1636) sewaktu berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah dan kesusasteraan Melayu.  Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar dan kuat selepas kejatuhan kerajaan Melaka pada tahun 1511.
7)       Undang-undang Melaka
Karya ini merupakan karya undang-undang Melayu yang tertua ditemui setakat ini dan belum pernah dicatatkan dalam mana-mana katalog naskhah Melayu lama.  Undang-undang ini dipercayai digubah pada zaman pemerintahan sultan Melaka pada pertengahan abad ke-15 sebagai usaha mensistematikkan segala peraturan yang diamalkan kerajaan Melaka.
8)       Hikayat Abdullah
Hikayat Abdullah merupakan hasil karya Abdullah Munsyi yang selesai dikarang pada 3 Mei 1843 di Kampung Melaka, Singapura, pada zaman dunia Melayu di rantau ini sedang menghadapi cabaran politik, ekonomi, dan budaya yang luar biasa dari dunia Barat (Eropah).  Abdullah Munsyi dianggap sebagai pengkritik sosial zamannya yang cuba membawa wawasan baharu supaya orang Melayu mengubah acuan fikiran dan kepercayaan lama yang tidak progresif.
9)       Cerita Lipur Lara
Lima buah cerita lipur lara yang dimuatkan dalam buku ini adalah cerita lisan yang dirakamkan oleh pegawai-pegawai Inggeris terutama W.E. Maxwell dan R.O. Winstedt seawal tahun 1886, bertujuan mendalami ilmu tentang manusia Melayu di kalangan pegawai serta sarjana Barat. (Cerita Seri Rama, Cerita Malim Dewa, Malim Deman, Cerita Anggun Cik Tunggal, Cerita Raja Muda).
10)   Bustan Al-Katibin
Bustan al-Katibin ialah sebuah karya paling awal tentang Bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu yang ulung, Raja Ali Haji.
11)   Cerita Jenaka Melayu
Sebelas buah cerita jenaka, iaitu Hikayat Sang Kancil, Pelanduk Dengan Anak Memerang, Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Musang Berjanggut dan Hikayat Abu Nawas.   Sebagai salah satu genre penting kesusasteraan tradisional Melayu, cerita Jenaka Melayu mempunyai dua fungsi atau tujuan.  Pertama, tujuan untuk menghibur, dan kedua untuk menyampaikan “ilmu” atau pengajaran kepada khalayak yang cuba disampaikan oleh “tukang cerita” samada secara sedar atau tidak disedari melalui cerita hiburan tersebut.
12)   Hikayat Panji Jayeng Kusuma
Hikayat Panji Jayeng Kusuma  merupakan sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa Melayu.  Unsur-unsur utama yang diketengahkan dalam karya ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan.  Percintaan dalam karya ini adalah di kalangan anak-anak raja daripada beberapa buah kerajaan seperti Kuripan, Daba, Gagalang, Singasari, Manjapahit (Majapahit) dan Laseri.

Hikayat Inderaputera
Karya agung Melayu genre cerita lipur lara yang sangat terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga abad ke-19, terbukti dengan terdapatnya naskhah karya ini dalam versi-versi Aceh, Jawa, Lombok, Bugis, Makasar, Cam (Kemboja) dan Mindanao (Filipina).  Sejumlah 30 naskhah diketahui masih ada, terpelihara di Perpustakaan Belanda, Great Britain, Jerman, Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia

Wednesday, 15 May 2013

Asal Usul Melayu


Bila disebut perkataan ‘Melayu’, terus tergambar dalam benak fikiran bahawa orang Melayu berkulit gelap atau sawo matang, tubuh badan bersaiz sederhana dan berambut hitam. Gambaran yang hampir sama juga pernah diceritakan oleh Frank Swettenham dalam bukunya “The Real Malay” yang menggambarkan lelaki Melayu adalah rendah, berambut hitam lurus, berkulit cokelat gelap serta mempunyai bentuk hidung dan bibir yang besar. Namun asal-usul bangsa Melayu masih lagi dibincangkan dan dari mana datangnya perkataan Melayu juga masih belum dapat disahkan oleh sejarawan secara tepat.
Asal-usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu. Secara amnya terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu. Teori mereka menyatakan bahawa yang pertama bangsa Melayu berasal dari Yunnan ( Teori Yunnan ), dan  yang kedua bangsa Melayu berasal dari Nusantara ( Teori Nusantara ). Selain itu juga ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti berikut:
1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Palembang, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Sejarah Asal Usul Bangsa Melayu dalam buku Sejarah Melayu disebut bahawa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir disekitar Bukit Seguntang dekat Palembang. Seguntang merupakan tempat kemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka adalah asal dari keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Hal ini dicatat oleh Tun Seri Lanang pengarang buku Sejarah Melayu dalam Bab III seperti berikut :
            “Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Syulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.” (Sejarah Melayu : 20)
Penulisan oleh Tun Seri Lanang dalam buku Sejarah Melayu telah menguatkan lagi pendapat bahawa asal usul Melayu itu diambil daripada nama sebatang sungai yang dikenali sebagai sungai Melayu. Sungai Melayu ini terletak berhampiran Bukit Seguntang, Palembang, Sumatera. Kenyataan mengenai Bukit Seguntang merupakan tempat kemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu turut ditulis oleh pengarang Sejarah Melayu adalah seperti berikut :
            “ Maka syahut orang muda-muda tiga orang itu, “Adapun kami ini bukan daripada bangsa jin dan peri. Bahawa kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Nis{i}ab kami daripada Raja Nusyirwan, raja masyrik maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihissalam. Nama kami Mancitram seorang, Paladutani seorang, Nila Tanam seorang.”
 ( Sejarah Melayu : 21)


Diceritakan bahawa kemunculan tiga orang raja ini telah bertemu dengan Uwan Empuk dan Uwan Malini yang mendiami Bukit Seguntang dan pekerjaanya menanam padi huma di lereng bukit. Kemunculan tiga orang raja ini telah menjadikan padi yang ditanam oleh mereka bertukar berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa. Kenyataan yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang adalah seperti berikut :

            “ Maka dilihatnya tanah nagarah bukit itu menjadi emas. Pada suatu ceritera datang sekarang pun tanah nagarah  bukit itu seperti warna emas rupanya. Maka dilihanya oleh Uwan Empuk dan Uwan Malini di atas tanah itu menjadi emas itu tiga orang manusyia muda-muda, terlalu baik parasnya. Ketiganya memakai pakaian kerajaan dan memakai mahkota bertatahkan ratna mutu manikam. Ketiganya duduk di atas gajah putih. Maka Uwan Empuk dan Uwan Malini pun khairan tercengang, syahadan dengan ta’jubnya melihat rupa orang muda terlalu amat baik parasnya dan sikapnya, syahdan pakaiannya pun terlalu amat indah-indah. Maka pada hatinya, ‘Sebab orang muda tiga orang ini geran(an) padi kita berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa dan tanah bukit itu pun menjadi emas” (Sejarah Melayu : 21)

Sejarah Melayu merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang merupakan sumber untuk mendapatkan maklumat mengenai ke-Melayu-an. Disusun sekitar tahun 1612 berdasarkan catatan-catatan yang lebih awal. Sejarah Melayu ada menyebut bahawa anggota kerajaan Melaka berasal dari keturunan Melayu di daerah Palembang. Hal ini seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan iaitu Yang Dipertuan Ali Alam syah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir. Tun Seri Lanang menulis dalam buku sejarah Melayu tentang kerajaan Palembang dan Raja di Minangkabau yang berasal daripada tiga orang raja berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain ini. Tun Seri Lanang menulis seperti berikut :
“ Sebermula dihikayatkan oleh orang yang empunya hikayat ini bahawa negeri Palembang itu Palembang yang ada sekarang {ini} inilah; dahulu negeri itu terlalu besyar, sebuah negeri di tanah Andalas tiada sepertinya.
Setelah Raja Palembang yang bernama Demang Lebar Daun itu menengar khabar Uwan Empuk dan Uwan Malini mendapat anak raja turun dari keinderaan maka Demang Lebar Daun pun datang ke rumah Uwan Empuk dan Uwan Malini mendapatkan rajai itu. Maka oleh Demang Lebar Daun ketiga anak raja itu dibawanya kembali ke negerinya. Maka mashurlah pada segala negeri bahawa anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain turun dari Bukit Seguntang (Maha)meru, sekarang ada di negeri Palembang. Maka segala raja-raja daripada segala pihak negeri pun datanglah mengadap raja itu. Maka anak raja yang tuha sekali itu dijemput oleh orang Andalas, maka dirajakannya di Minangkabau. Adapun gelar baginda di atas kerajaan Sang Seperba. Kemudian dari itu maka datang orang Tanjung Pura. Maka (di) jemputnya anak raja yang tengah itu, dirajakannya di Tanjung Pura. Gelar baginda di atas kerajaan Sang Maniaka. Yang bongsu tinggal di Palembang pada Demang Lebar Daun. Maka oleh Demang Lebar Daun anak raja yang bongsu itu dira(ja)kannya di Palembang. Adapun gelar baginda di atas kerajaan Sang Uratama. Maka Demang Lebar Daun turun menjadi mangkubumi.”        (Sejarah Melayu : 22)

Begitulah bagaimana asalnya  keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Diceritakan oleh Tun Seri Lanang bahawa mereka ini keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang agung pada suatu masa dahulu. Oleh itu semua kerajaan dan rakyat mahukan mereka menjadi raja. Begitulah bagaimana asal usul raja Melayu diangkat sebagai raja yang agung lagi tinggi martabatnya oleh pengarang Sejarah Melayu. Kita juga dapat mengetahui bagaimana asal usul orang Melayu itu diperkatakan. Tun Seri Lanang dengan bijaknya telah menulis Buku Sejarah Melayu yang  kini merupakan satu karya agung di alam Melayu ini.

Friday, 10 May 2013

Etimologi “Melayu” dalam Sejarah Melayu/Sulalatus Salatin

Maksud Etimologi
Etimologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:402) bermaksud cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata. Sementara, Pusat Rujukan Persuratan Melayu pula menyatakan “etimologi” itu sebagai cabang ilmu bahasa mengenai asal-usul perkataan serta perubahan pada bentuk dan maknanya ataupun cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal-usul dan perkembangan sesuatu kata.
Etimologi “Melayu”
Perbincangan perkataan “Melayu” akan dilihat dari segi asal usul dan perkembangan perkataannya. Walau bagaimanapun, perkara utama yang harus ditekankan ialah perbincangan ini hanya meliputi kajian perkataaan tersebut terhadap karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sahaja. Justeru, dapat kita lihat bahawa sejauh mana perbincangan tentang asal usul perkataan “Melayu” itu sendiri dalam karya agung Sulalatus Salatin oleh Bendahara Tun Sri Lanang.
Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya yang tercipta dari titah raja:
“Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh seseorang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita  yang kemudian daripada kita dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, dan mudah-mudahan beroleh faedah  ia daripadanya.”
(Ismail Hussein:119:1988)

            Karya ini membincangkan tentang sejarah negeri Melaka, asal-usul raja-raja Melayu dan pembukaan negeri-negeri Melayu, corak kebudayaan Melayu tradisi, kepolitikan, sosial dan ekonomi Kerajaan Melayu Melaka pada masa itu, serta beberapa cerita yang berbentuk mitos dan dongeng yang tujuannya sebagai pengajaran kepada raja-raja Melayu seterusnya. Oleh itu, dapat gambarkan tentang perbincangan dalam karya Tun Sri Lanang, yakni beliau hanya banyak menyentuh tentang kehidupan raja-raja dan golongan istana, atau pendapat sarjana lain mengatakan bahawa Tun Sri Lanang menuliskan karya ini dengan sifat mengagung-agungkan raja-raja Melayu pada ketika itu.
            Namun, terdapat satu petikan pembukaan dalam bab III versi Muhammad Haji Salleh (1997:20) berbentuk;
            “Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Sulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.”
(Sulalatu Salatin, 1997:20)
Walaupun Tun Sri Lanang sendiri tidak mengatakan bahawa perkataan “Melayu” itu asalnya dari nama sebatang sungai, sebaliknya hanya sekadar ingin mengatakan terdapat sebatang sungai disana yang terdapat di Andalas, Palembang. Namun, secara tidak langsung beliau telah memberikan gambaran kepada masyarakat pada masa kini tentang keberadaan nama atau perkataan “Melayu” itu serta usia perkataan tersebut walaupun tidak secara terperinci.
            Hal ini dapat kita katakan bahawa tiada perbincangan langsung tentang asal-usul perkataan “Melayu” dalam karya Tun Sri Lanang. Beliau hanya menekankan cerita-cerita mengenai kehidupan raja-raja Melayu pada ketika itu serta hal-hal seperti yang dinyatakan tadi.