Thursday 4 April 2013

BAB I

Bab I : Bismillah-Rahmannir-Rahim.
Buku dimulakan dengan memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w..

Menjunjung Titah Raja.
Pada 12 Rabiul awal tahun 1221H, Tun Muhamad @ Tun Seri Lanang, Bendahara Paduka raja telah diperintahkan oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah, Yang Dipertuan Di Hilir supaya mengarang sebuah buku mengenai kisah raja-raja Melayu dan istiadatnya supaya dapat diingat dan diambil faedah daripadanya. Kitab ini dinamai Sulalatus salatin yang bermaksud “Pertuturan segala raja-raja”. Namun ia lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu.

Penaklukan Iskandar Zulkarnain.
Raja Iskandar Zulkarnain, berkerajaan di Makaduniah, Rom telah berusaha meluaskan tanah jajahannya ke arah timur, arah matahari terbit. Baginda berjaya sampai ke Benua Hindi dan mengalahkan Raja Kida Hindi.

Perkahwinan Puteri Syahrul Bariyah,
Iskandar Zulkarnain telah mengahwini Puteri Syahrul Bariyah. Perkahwinannya diakadkan oleh Nabi Khidir dengan mas kahwin sebanyak 300 ribu dinar emas. Setelah kahwin Iskandar Zulkarnain telah meneruskan pengembaraan untuk melihat matahari terbit. Dalam perjalanan pulang baginda singgah untuk mengambil isterinya pulang ke Rom tetapi diminta tinggalkan oleh Raja Kida Hindi. Jadi Puteri Syahrul Bariyah ditinggalkan di negeri Kida Hindi.

Zuriat Iskandar Zulkarnain.
Puteri Syahrul Bariyah melahirkan seorang anak bernama Aristun Syah, hasil perkahwinannya dengan Iskandar Zulkarnain. Aristun Syah menggantikan datuknya Raja Kida Hindi memerintah kerajaan selama 355 tahun.

Perjalanan hendak menakluk negeri Cina.
Dari keturunan Iskandar Zulkarnain itu juga lahirlah Raja Suran. Beliau menakluki semua negara kecuali negara Cina, jadi baginda mahu menakluk pula negara Cina. Dalam perjalanan itu, baginda sempat menawan negara Gangga Negara. Raja Gangga Syah Johan dikalahkan dan saudara perempuan raja yang bernama Puteri Dara Segangga dikahwini. Raja Suran juga mengalahkan negeri Langgiu, di hulu Sungai Johor. Rajanya bernama Raja Chulan berjaya di bunuh. Anak Raja Chulan iaitu Puteri Onang Kiu telah dikahwininya. Baginda meneruskan perjalanan hinggalah sampai ke Temasik.

Usaha Raja Suran untuk menyerang Cina telah diketahui oleh Raja Cina. Baginda menghantar satu rombongan untuk menipu raja Suran. Negara Cina dinyatakan sangat jauh dari Temasik. Untuk sampai ke negara Cina seorang yang berumur 12 tahun akan menjadi tua, hingga gugurlah giginya. Besi sebesar lengan akan haus menjadi seperti sepucuk jarum sahaja. Pepohon yang dimakan kiranya ditanam akan berbuah. Mendengar tipu muslihat itu Raja Suran membatalkan hasratnya untuk menyerang negara Cina.

Hendak mengetahui isi laut.
Raja Suran masuk ke dalam laut dengan menggunakan peti kaca yang berpesawat. Baginda tiba di negeri Dika. Kaumnya berbangsa Bu Sum. Setengah Islam dan setengah kafir. Kaum itu kehairanan melihat Raja Suran.

Zuriat Raja Suran.
Berjumpa Raja Aktabul Ardh dan menikahi Puteri Mahtabul Bahri. Hasil perkahwinan mendapat 3 orang anak lelaki iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Raja Suran telah menyuruh raja jin Asmaghiah Peri mendapatkan 3 mahkota dari perbendaharaan Nabi Sulaiman untuk diberikan tanda kepada anak-anaknya itu sebagai keturunan Raja Islandar Zulkarnain. Raja Suran telah keluar dari dalam laut dengan menunggang kuda semberani jantan bernama Farasul Bahri. Baginda mendarat di Pantai Baniras. Selepas itu Raja Suran kembali ke Benua Keling dan membina negara bernama Bijaya Negara.

No comments:

Post a Comment