Monday 8 April 2013

BAB V

Bab V : Bakat kepimpinan Tun Perak.
Raja Negeri Siam atau negeri Syahrun Nuwi iaitu Paduka Bubunya mahukan negeri Melaka menyembah kepadanya. Sultan Muzaffar Syah enggan menyembah. Jadi paduka Bubunya menitahkan panglimanya yang bernama Awi Chakri menyerang Melaka. Tun Perak telah membawa tenteranya untuk mempertahankan Melaka bersama-sama orang perempuan masing-masing. Pengikutnya tidak puas hati dan mengadu kepada raja. Tun Perak menyatakan bahawa orangnya akan berperang dengan lebih bersungguh-sungguh dari orang lain kerana mahu menjaga keselamatan isteri mereka masing-masing di samping berperang untuk raja. Sultan berpuas hati dengan jawapan tersebut dan telah melantik Tun Perak menjadi bentara di istana. Tidak lama kemudian dilantik pula menjadi menteri bergelar Paduka Raja.

Satu cara mengelakkan pecah belah.
Setelah Tun Perak menjadi menteri, orang-orang Melaka berpecah dua. Keadaan ini merunsingkan Sultan Muzaffar Syah. Untuk merapatkan hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, Sultan telah menceraikan Tun Kudu untuk dikahwini oleh Seri Nara Diraja. Tun Kudu ialah anak Bendahara Seri Wak Raja iaitu kakak Paduka Raja Tun Perak. Dengan itu SND telah melepaskan jawatan Bendahara untuk diberikan kepada PR. Tun Perak dikatakan sama taraf dengan Patih Aria Gajah Mada di Pajapahit dan Orang Kaya Senayan di Pasai.

Langgaran Siam dipatahkan.
Angkatan Siam telah datang menyerang Melaka sekali lagi, diketuai oleh Awi Dicu. Paduka Raja diarahkan menghalang angkatan Siam bersama Seri Bija Diraja Tun Hamzah atau Datuk Bongkok. Angkatan mereka bertemu di Batu Pahat. Anak SBD iaitu Tun Omar disuruh menjadi suluh. Semasa dia menyiasat kapal-kapal Siam itu dua tiga buah perahu telah dikalahkannya.

Pada waktu malam, Bendahara Paduka Raja telah menyuluh dipasangkan api pada pohon-pohon bakau, nyireh, tumu dan api-api ditepi pantai. Angkatan Awi Dicu tersalah anggap yang angkatan Melaka terlalu ramai. Kerana gerun merekapun cabut lari. Melihat itu angkatan Melaka telah mengejar angkatan Siam hingga ke Singapura. Sultan Muzaffar Syah sangat gembira. Raja Siam iaitu Paduka Bubunya sangat marah. Dia sendiri bercadang akan menyerang Melaka. Mendengar itu Cau Panden anaknya menghalang dan berjanji akan menyerang Melaka. Perkhabaran Cau Panden akan menyerang Melaka itu terdengar ke Melaka. Seorang Arab yang dikenali sebagai Tuan Saidi Arab telah memanah Cau Panden itu dari Melaka yang menyebabkannya terbunuh.


Pemerintahan Sultan Mansur Syah.
Setelah memerintah selama 42 tahun, Sultan Muzaffar Syah pun meninggal dunia. Beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Abdullah yang bergelar Sultan Mansur. Pada masa menaiki takhta berumur 27 tahun. Isterinya ialah Tun Putih, anak Seri Nara Diraja. Mempunyai seorang anak gundik bernama Puteri Bakal. Baginda memerintahkan Bendahara Paduka raja dan Seri Bija Diraja menyerang negeri Inderapura yang diperintah oleh Maharaja Dewa yang berada di bawah taklukan Siam. Bendahara pula dapat menawan Puteri Onang Sari.

Raja Indera Pura Ditawan.
Maharaja Dewa Sura berjaya ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa balik ke Melaka. Atas jasanya Seri Bija Diraja dinobatkan di Pahang oleh Sultan Mansur. Puteri Onang Sari dikahwini oleh Sultan Mansur dan mendapat dua anak iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad.

Hubungan muhibbah Melaka – Sulawesi.
Sultan Mansur Syah mahu hubungan dengan Makasar dipereratkan. Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja telah diutuskan untuk ke sana. Mereka berjaya mengadap raja di Goa dan baginda sangat suka hati untuk bermuafakat dengan Melaka. Apabila mereka mahu kembali ke Melaka, raja Goa telah berusaha mendapatkan seorang budak untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur.

Dari Mana Hang Tuah berasal.
Raja di Goa telah berjaya mendapatkan anak Raja Bajung yang bernama Daeng Mempawah untuk dihadiahkan kepada Sultan Mansur Syah. Budak ini berumur 12 tahun dan diberikan nama Hang Tuah oleh sultan. Dia seorang yang berani dan telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk. Di Melaka pada masa itu terdapat 9 orang “Perhangan” iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin.

Maharaja Dewa Sura dibebaskan.
Gajah Sultan Mansur Syah yang dibawa Kemanci telah terlepas dan lari ke hutan. Panglima gajah iaitu Seri Rama telah gagal mencarinya semula. Maharaja Dewa Sura telah dicadangkan untuk menangkap gajah itu. Tapi baginda mensyaratkan supaya dia dibebaskan dahulu. Sultan Mansur bersetuju dan beliau telah berjaya menangkap gajah itu semula. Sekalian anak-anak muda di Melaka disuruh belajar ilmu gajah dengan MDS itu. Seri Nara Diraja yang beristerikan Tun Kudu telah berjaya mendapat 3 orang anak iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan Tun Mutahir. Bila Tun Kudu mati, SND kahwin lain dan mendapat 2 orang lagi anak iaitu Tun Bongsu dan Tun Sadah.

Hubungan berbaik-baik Melaka-Siam.
Sultan Mansur Syah ingin hubungan dengan Siam dipulihkan. Tun Telanai dan Menteri Jana Putera telah diutuskan ke sana. Mereka telah berjaya mengadap Paduka Bubunya dan mengangkat martabat dan menjaga maruah raja Melaka. Sultan Mansur diberikan makna sebagai raja yang dimenangkan akan Allah taala daripada segala seteru. Bila ditanya kenapa Melaka tidak dapat dikalahkan oleh Siam, Tun Telanai telah menyuruh Suir, seorang tua yang untut tetapi belakangnya tidak lut dtikam oleh lembing. Sekalian orang Melaka dikatakan seperti Suir itu, iaitu tidak lut ditikam dengan lembing. Paduka Bubunya telah percaya dengan tipu helah itu.

Paduka Bubunya juga telah menyuruh angkatan Melaka membantu Siam menewaskan musuhnya dalam satu peperangan di sana. Mereka diminta berperang dengan pasukan yang kuat. Kebetulan di arah kiblat. Menteri Jana Putera telah mengatakan orang Islam tidak boleh berperang mengadap kiblat kerana itu adalah arah untuk sembahyang. Tipu helah itu dipercayai oleh Raja Siam. Mereka disuruh berperang ke hala matahari terbit dan berjaya dalam perang tersebut. Paduka Bubunya telah memberi hadiah kepada semua ahli rombongan dari Melaka itu. Tun Telanai diberikan seorang puteri bernama Onang Minaling Lang. Dari perkahwinan itu melahirkan Tun Ali Haru.

No comments:

Post a Comment