Wednesday 10 April 2013

BAB VI

Bab vi : Malang membawa tuah.
Anak raja Tanjung Pura telah hanyut ke pantai Begawan dan diselamatkan oleh seorang penyadap. Namanya Raden Perlan Langu. Dia diberi nama gelaran Ki Mas Jaya. Si penyadap selalu menyatakan bahawa Ki Mas Jaya bakal berkahwin dengan Puteri Galoh Awi Kesuma, puteri Ratu Majapahit. Ki Mas Jaya pula menyatakan akan mengangkat si Penyadap menjadi Patih Gajah Mada. Kebetulannya Awi Kesuma telah besar dan Patih Gajah Mada sendiri ada mendengar bisikan dari rakyatnya yang dia sendiri akan mengahwini puteri tersebut. Lalu Patih Gajah Mada mencadangkan supaya Awi Kesuma berkahwin. Untuk itu segala rakyat diminta berkumpul untuk Awi Kesuma sendiri memilih bakal suaminya.


Bakal ratu Majapahit.
Setelah Awi Kesuma memandang Ki Mas Jaya iapun berkenan lalu mereka dikahwinkan. Ki Mas Jaya diangkat menjadi betara Majapahit. Si Penyadap pula menuntut Betara Majapahit menunaikan janji untuk mengangkatnya menjadi Patih Gajah Mada. Ki Mas jaya membuka rahsia dirinya yang dia anak raja Tanjung Pura dan tuntutan si penyadap. Atas cadangan Patih Gajah Mada, si penyadap telah dijadikan ketua para penyadap dan diberi gelar Patih Adi Kara. Didudukkan sama taraf dengan PGM. Berita tentang Ki Mas Jaya sebagai anak raja Tanjung Pura telah kedengaran kepada ayahandanya. Utusan telah dihantar dan mereka sangat gembira melihat Raden Perlan Langu masih hidup dan menjadi Betara Majapahit pula. Hasil perkahwinan Ki Mas Jaya dengan Raden Awi kesuma lahirlah Raden Galuh cendera Kirana yang amat masyhur kecantikannya itu. Telah ramai anak raja yang datang meminang tetapi tidak diterima oleh Betara Majapahit itu.


Menjalin muhibah Melaka-Majapahit.
Sultan Mansur Syah juga turut jatuh berahi pada Raden Galuh Cendera Kira itu. Satu rombongan untuk meminang ke sana segera bertolak. Bendahara Paduka raja ditugaskan mentadbir negara. Dia ke sana dengan diiringi oleh 40 orang “Perawangan” dan semua “Hanghang” yang sembilan orang itu yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah. Hang Tuah telah beroleh gelaran Laksamana dari Sultan yang mengenang jasanya membunuh seorang orang tua Jawa yang mengamuk di Melaka. Hang Tuah sebelum itu telah berjaya membunuh 74 orang, orang mengamuk di Melaka.

Sultan Mansur Syah juga diiringi oleh raja-raja dari Inderagiri (Sultan Nara Singa), Tungkal (Raja Merlang), Jambi (Adipati Sira Sela Sida), Palembang (Demang Mangku Raja) dan dari Lingga (Maharaja Isak). Rombongan SMS telah sampai ke Majapahit. Pada masa itu RajaTanjung Pura dan Kediri ada mengadap. Betara Majapahit telah menganugerahkan 40 bilah keris kepada rombongan. Keris yang diberikan kepada raja Kediri dan Tanjung Pura dapat dicuri semula. Keris yang diberikan kepada Raja Melaka tidak dapat. Ini menunjukkan raja Melaka lebih cerdik dari raja-raja yang lain.

Telatah budak-budak Raja Melaka.
Di Majapahit, Hang Tuah telah mencabar Tun Bijaya Sura menunjukkan kebolehannya. Tun Bijaya Sura telah menari di hadapan Betara Majapahit. Digertaknya anjing yang ada dibalai itu, terkejut ketakutan dan terus lari ke hutan. Dia juga bermain “Sapu-sapu rengit”. Dalam permainan itu dia dan pembantunya dapat duduk dan melunjurkan kaki ke arah Betara Majaphit. Kelakuannya itu dapat dikesan oleh Betara Majapahit sebagai mahu membalas perbuatannya yang menambatkan anjing di hadapan raja Melaka, seolah raja Melaka itu menyembah anjing tersebut.

Tun Bijaya Sura pula mencabar Hang Tuah naik menceroboh ke balai larangan Betara Majapahit. Hang Tuah dan kawan-kawannya telah naik ke balai tersebut lalu segera ditombak orang. Beratus tombak dilempar tetapi habis semuanya diparang oleh Hang Tuah. Setelah diketahui oleh Betara Majapahit, dibiarkan sahaja oleh baginda. Mata tombak yang beratus-ratus berkas itu diberikannya pula kepada Hang Tuah. Kehebatan Hang Tuah telah menjadikan dirinya kegilaan kepada perempuan-perempuan di tanah Majapahit itu. Sehinggakan terdapat pantun dibuat orang untuk menggambarkan kehebatan Hang Tuah tersebut. Tun Bijaya Sura telah diminta oleh Betara Majapahit menunjukkan tariannya lagi. Dia telah menarikan “berkeliling gelagat”. Dalam permainan ini dia telah mengayunkan sapu tangan yang dipinjamnya dari Raja Melaka. Habis muka para penjawat Majapahit itu disapunya. Mereka hendak marah tidak dapat kerana Tun Bijaya Sura bermain itu dititahkan oleh Betara Majapahit sendiri.

Untuk memperkenakan Tun Bijaya Sura, Betara Majapahit telah memberikan persalinan cara Jawa iaitu dengan berkeris di belakang. Disuruhnya seorang pencuri mencuri semula keris itu dari Tun Bijaya Sura ketika beliau sedang asyik melihat orang menyabung. Bila TBS menyedari kerisnya dicuri, dia pula mencuri keris dalam puan Betara majapahit. BM sengaja menunjukkan keris yang dicari dari TBS dengan berpura-pura untuk menunjukkan keelokannya. TBS pula menunjukkan keris yang dicurinya. Jadi sedarlah BM yang kerisnya sendiri juga telah dicuri oleh TBS. Jadi keris itu dikembalikan kepada TBS dan keris kedua itu dihadiahkan kepada TBS juga. Setelah genap kerja berjaga-jaga selama 40 hari 40 malam, maka Sultan Mansur pun dikahwinkan dengan Raden Galoh Cendera Kirana.

Memohon jajahan sebelum kembali.
Sebelum kembali ke Melaka, Tun Bijaya Sura disuruh Raja Melaka mintakan daerah Inderagiri. Hang Tuah meminta daerah Siantan. Hasil perkahwinan SMS dengan RGCK, lahirlah Raden Di Kelang. Hasil perkahwinan dengan anak Seri Nara Diraja mendapat dua anak iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendana. Dari perkahwinannya dengan saudara Paduka Raja yang bongsu, lahir pula Raja Hussein.

Hang Tuah dihukum bunuh.
Satu ketika kuda Sultan Mansur Syah jatuh ke dalam telaga tahi. Beratus-ratus orang yang melihat peristiwa itu. Seorangpun tidak mahu turun. Lalu Hang Tuah Terjun kedalam telaga dan menambat kuda dengan tali. Barulah kuda dapat ditarik naik ke atas. Hang Tuah telah dituduh bermukah dengan seorang dayang istana. Sultan telah menyuruh Seri Nara Diraja menjalankan hukum bunuh. Bagaimanapun Seri Nara Diraja tidak menjalankan hukum itu sebaliknya Hang Tuah telah dihantarkan ke dusunnya di hulu Melaka. Dipasungkan.

Perhubungan dengan negeri China.
Raja benua China telah menghantar utusan ke Melaka untuk menjalinkan hubungan persahabatan. Dihantarkan juga hadiah seperti kain-kain sutera dan juga sebuah pilau yang sarat dengan jarum. Jarum itu menunjukkan ramainya rakyat China. Sebagai balasan Tun Perpatih Putih, adik bendahara Paduka Raja dihantar pula ke China. Dia membawa sagu rendang sarat sekapal. Ragu rendang itu kononnya diambil sebiji seorang dari rakyat Melaka lalu digelek-gelek. Raja China kagum dengan kebesaran negeri Melaka, lalu berkenan untuk menjadikan raja Melaka sebagai menantunya.

Untuk melihat Raja China, Tun Perpatih meminta dihidangkan sayur kangkung yang dipotong panjang-panjang. Untuk makan dibimbit hujung kangkung itu ke atas. Jadi dapatlah mereka melihat Raja China yang berada di atas kerusi dalam mulut naga pada mungkur kacanya. Raja China meminta Sultan Mansur datang ke China bagi dikahwinkan dengan puterinya. TPP menyatakan Sultan tidak dapat datang kerana ada permusuhan. Jadi baginda bersetuju supaya puterinya itu dihantarkan ke Melaka.

Puteri Raja China ke Melaka.
Raja China menghantarkan puterinya bernama Hang Liu ke Melaka. Puteri itu bersama 500 dayang dan 500 pengiring lelaki telah diislamkan oleh Raja Melaka. Puteri itu dikahwininya. Mereka disuruh diam di Bukit China. Bila Laksamana Lak Di Po ingin kembali ke negeri China, Menteri Jana Putera dan Tun Telanai pula disuruh pergi ke negeri China. Dalam perjalanan mereka terbias ke Brunai kerana ribut. Raja Brunai juga berkirim sembah ke Melaka.

Kedal kerana tulah.
Selepas 2 hari menerima sembah raja Melaka, raja China telah didatangi penyakit kedal anjing. Seluruh tubuhnya telah menjadi gatal-gatal. Beratus-ratus tabib cuba mengubati tetapi gagal. Sehinggalah seorang tabib tua mengatakan penyakit itu berpunca dari menerima sembah raja Melaka. Utusan pun dihantar ke Melaka memohonkan air basuh kaki dari Raja Melaka. Bila air itu diminum dan dibuat basuh muka. Penyakit kedal itupun hilang. Dengan sebab itu Raja China bersumpah tidak lagi mahu disembah oleh Raja Melaka. Begitu juga dengan keturunannya takut terkena tulah.

No comments:

Post a Comment