Friday 31 May 2013

BAB XV

Bab XV : Sultan Mahmud mangkat di Kampar.
Sultan Mahmud semasa sakit hendak mati telah mewasiatkan Bendahara menjaga anaknya Sultan Muda. Sultan Mahmud juga sempat berpesan kepada Sultan Muda supaya :
ð Bersabar.
ð Jangan tinggalkan bendahara dan menteri dalam sebarang urusan.
ð Berlaku adil terhadap rakyat dan tentera.
ð Jangan mudah mendengar fitnah (sembah orang). Siasat dahulu kerana rakyat sangat mengharapkan keadilan dan kemurahan raja.

Setelah Sultan Mahmud mangkat, Sultan Alaudin pun pindah ke Pahang semula.

Bertapak semula di bumi semenanjung.
Di Pahang, Sultan Alaudin telah berkahwin dengan anak Sultan Mansur yang bernama Raja Kesuma Dewi. Setelah kahwin, mereka pindah pula ke Johor. Dengan diketuai Laksamana Hang Nadim, merekapun pindah ke Johor.

Berbuat negeri di Johor.
Sultan Alaudin memerintahkan berbuat kota di Kuala Johor hingga ke Kuala Sungai Kerting. Laksamana Hang Nadim duduk di Bintan. Sultan mendapat dua orang anak iaitu Raja Muzaffar dan Raja Fatimah. Kedua-duanya belajar mengaji dengan Tun Kamal Wangsa.

Surat Meminang dari Pahang.
Bila Sultan Pahang mengetahui Sultan Johor telah mendapat anak perempuan, dikirimnya utusan ke Johor untuk meminang Raja Fatimah untuk Raja Omar. Atas nasihat Bendahara, peminangan itu diterima.

Hasrat Sultan Pahang tercapai.
Seri Akar Raja dan Seri Nara Wangsa segera balik memberitahu Sultan Pahang akan kesediaan Sultan Alaudin itu. Mereka juga melapurkan yang kawalan sentiasa dibuat oleh laksamana terhadap Peringgi. Angkatan Peringgi sentiasa diserang. Setelah siap, Sultan Pahang berangkat ke Johor bersama Raja Omar. Mereka diberikan sebuah istana.

Istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
Antara istiadatnya ialah :
ð Menghantar sirih dan emas belanja.
ð Pekerjaan berjaga-jaga selama 40 hari. Pelbagai permainan dimainkan.
ð Kenduri kerbau, lembu, kambing, itik, ayam disembelih.
ð Raja Omar diarak dengan gajah, lengkap dengan segala alat kebesaran kerajaan. Diiringi dengan pelbagai alat muzik seperti gendang, serunai, nafiri, nagara dan madeli.
ð Tuan Kadi menikahkan.
ð Makan beradap-adapan.
ð Jamuan untuk tamu diawasi oleh Temenggung dan para bentara. Bendahara santap satu hidangan seorang diri kecuali boleh ditemani oleh anak raja yang bakal menjadi raja.

Selepas Mangkat Sultan Alaudin.
Tidak lama selepas perkahwinan Raja Omar-Raja Fatimah, dikahwinkan pula Raja Muzaffar dengan cucu Bendahara, Tun Emas Jiwa iaitu anak Tun Hassan Temenggung. Kemudian Sultan Alaudin pun mangkat dan disebut orang Marhum di Johor Lama. Raja Muzaffar dilantik menjadi raja dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Ketika itu baru berusia 19 tahun. Sultan Mansur di Pahangpun mangkat dan diganti oleh Raja Ismail dan bergelar Sultan Jamal Syah.Setelah beberapa lama di Johor Lama, Sultan Muzaffar pindah ke Seluyud. Raja Omar pula menjadi benci pada isterinya yang dari Pahang, iaitu emak Raja Mansor. Ditalaknya dan dihantar ke rumah Seri Nara Diraja, sebab emak Raja Mansur adalah saudara Seri Nara Diraja.

Nikah dalam sunyi.
Satu hari Sultan Muzaffar pergi ke rumah Seri Nara Diraja dan dia terpandang pada emak Si Mansur dan terus jatuh berahi. Setelah muafakat dengan Bendahara dan Seri Nara Diraja, Sultan Muzaffarpun nikahlah dengan bonda Sultan Mansur secara senyap-senyap. Bila Bonda Raja Mansur hamil, Seri Nara Diraja memberitahu Raja Omar dan isterinya raja Fatimah. Kononnya dia takut memeliharakan bonda Raja Mansur sebab hamil. Raja Omar sendiri menganggap anak itu sebagai anaknya. Jadi raja Fatimah suruh hantar padanya, biar dia peliharakan. Raja Fatimah sendiri juga hamil, dapat seorang anak lelaki dinamakan Raja Abdul Jalil. 10 bulan kemudian, bonda Raja Mansur beranak dan dinamakan Raja Abdullah. Kedua-dua bayi itu diangkat anak oleh Sultan Muzaffar.

Wasiat Sultan Muzaffar Syah.
Bila Sultan Muzaffar Syah hendak mangkat diwasiatkan agar Raja Abdul Jalil dijadikan sultan. Dipangku oleh Bendahara. Ini tidak sukai oleh Raja Omar dan Raja Fatimah. Raja Abdul Jalil pula sangat erat hubungannya dengan Raja Abdullah. Rahsia Raja Abdullah sebagai anak Sultan Muzaffar Syah tidak diketahui sesiapa kecuali Bendahara dan Seri Nara Diraja sahaja.

Wasiat Sultan Abdul Jalil diketepi.
Raja Abdul Jalil setelah berusia 9 tahun telah jatuh sakit dan meninggal dunia. Sebelum mati baginda sempat mewasiatkan agar takhta diperturunkan kepada Raja Abdullah. Ianya dibantah oleh emaknya, Raja Fatimah tetapi tidak diendahkan. Bila Raja Abdullah hendak dinobatkan Raja Fatimah mengancam mahu melarikan diri. Ini menyebabkan Bendahara terpaksa tunduk kepada permintaannya. Dia juga takut dianggap mahu berkuasa, memangku raja. Raja Omar dinobatkan dengan gelaran Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah. Terlalu kasihkan pula pada bendahara.

Tun Seri Lanang jadi Bendahara.
Bendahara Paduka Raja gering dan meninggal dunia. Tun Seri Lanang pula diangkat menjadi bendahara. Bergelar Bendahara Paduka Raja juga. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil pindah pula dari Seluyud ke Tanah Putih atau Batu Sawar. Diserang oleh Portugis tapi tidak dapat dikalahkan. Malangnya ramai orang sakit dan mati di Tanah Putih. Pindah pula ke hulu Sungai Damar atau makam Tauhid. 2 kali Portugis menyerang. Negeri Makam Tauhid tidak dapat dikalahkan. Bila Laksmaana Hang Nadim mati, dia digantikan oleh orang besar Cempa. Raja fatimah juga mangkat dan dikebumikan di Seluyud bersama kuburan kekandanya Sultan Muzaffar Syah. Selang setahun kemudian suaminya pula meninggal. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil dimakamkan di Batu. Raja Abdullah hendak dinobatkan tetapi baginda menolak. Bagaimanapun oleh kerana Raja Mangsur cuai menjalankan tugas, Raja Abdullah terpaksa menjalankan tugas sultan. Raja Mangsur sekali lagi mahu pindah ke Hulu Kuala Sungai Riun iaitu di Pasir Raja. .....tamat.

BAB XIV

Bab XIV : Di saat akhir kesultanan Melayu Melaka.
Alfonso d’Albuquerque setelah turun daripada wizurai Goa telah kembali ke Portugal meminta armada untuk menyerang Melala. Dari Goa dia telah menyerang Melaka dengan 43 buah kapal. Cubaan pertama Alfonso dapat dipatahkan oleh Sultan Ahmad. Pada waktu malam, dibacakan Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah untuk membangkitkan semangat perang. Dalam perang keesukan harinya, tangan sultan telah terluka.

Sultan Mahmud, Sultan Ahmad berlepas diri.
Akhirnya Portugis berjaya menewaskan angkatan Melaka. Sultan Ahmad, Sultan Mahmud lari meinggalkan Melaka. Pada mulanya ke Muar dan seterusnya ke Pahang dan akhirnya ke Johor. Di Johor berkota di Pekan Tua dan seterusnya ke Bintan. Perangai Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar menyebabkan dia akhirnya disuruh bunuh oleh Sultan Mahmud. Ditanamkan di Bukit Batu.

Melantik orang-orang besar kerajaan.
Sultan Ahmad digantikan dengan Sultan Muzaffar. Sultan Muzaffar masih lagi kanak-kanak. Tun Khoja Ahmad anak Bendahara Lubuk Batu dijadikan Bendahara bergelar Paduka Tuan. Tun Abu Ishak dijadiikan Perdana Menteri bergelar Seri Amar Bangsa. Tun Hamzah anak Seri Nara Diraja dijadikanBendahari.Tun Abdul Karim dan Tun Jenal juga diberikan gelar. Bila Laksamana Khoja Hasaan mati, dia ditanamkan di Bukit Pantar dan digantikan pula oleh Hang Nadim.

Anak Raja Bakal Kerajaan.
Bila Tun Fatimah hamil dan melahirkan anak lelaki, Sultan Mahmud sangat gembira. Anak itu dinamakan Raja Ali dengan timangannya Raja Kecil Besar. Peterana dan permaidani Sultan Muzaffar diambil untuk digunakan oleh Raja Ali. Setelah genap 40 hari, acara pertabalan dijalankan. Raja Ali ditabalkan sebagai Sultan Alaudin Riayat Syah dan digelar juga Sultan Muda.

Tun Ali Hati lebih rela mati.
Semasa kematian Sultan Ahmad, semua kawan-kawan Sultan Ahmad dikumpulkan oleh Sultan Mahmud dan mereka diminta taat setia pada Sultan. Semua orang lain datang kecuali Tun Ali Hati. Dia tidak datang dan minta dibunuh sahaja. Akhirnya dia dibunuh juga oleh Sultan Mahmud.

Raja Abdullah ditawan Peringgi.
Raja Abdullah adalah pemerintah Kampar. Saudara Sultan Mahmud. Bila Sultan Mahmud kalah, Raja Abdullah cuba berbaik-baik dengan Portugis dengan harapan dia akan diangkat menjadi sultan yang baru di Melaka. Belaiu telah ditangkap, dibawa ke Melaka dan seterusnya dibawa ke Goa.

Angkatan Peringgi menyerang Bintan.
Sultan sangat mengharapkan Temenggung Seri Udani turun berperang menentang Portugis. Beliau hanya turun bila Portugis sudah di kuala, tanpa mengadap raja dahulu. Terus ke Kota Kara. Berperang dengan Portugis di situ sehingga mati.

Pusaka dari Temenggung Seri Udani.
Temenggung sebenarnya berkecil hati terhadap Sultan kerana tidak memberikannya biaya. Hartanya yang disuratkan kepada raja hanyalah talam, periuk, belanga, bokor, pinggan, mangkuk yang telah retak dan sumbing. Budak tiga orang iaitu Si Berkat, Si Lamat dan Si Tuakal. Bila Sultan membaca surat Temenggung itu dia tertunduk sedih. Baginda segera menyuruh menghantarkan satu persalinan kepada Temenggung seperti pakaian anak raja-raja.

Membalas kasih raja.
Peringgi telah mengalahkan kota Kopak. Seri Nara Diraja berjaya membawa Sultan Mahmud lari. Beliau berjumpa Seri Wak Raja. Dia ikut sama. Diajaknya Seri Wak Raja membantu Raja dengan menyindir untuk membalas jasa Sultan Mahmud yang telah membunuh saudara mereka berdua (Bendahara Seri Maha Raja dan Seri Nara Diraja). Ini membuatkan Sultan bersedih. Untuk mendapatkan makanan, Seri Wak Raja terpaksa menyamun, mencuri nasi yang sedang ditanak oleh seorang perempuan.

Dari Bintan pindah ke Kampar.
Setelah Peringgi balik ke Melaka, Sultan dan rombongannya pergi ke Kampar. Di sana beliau terkejut mendengar berita Raja Abdullah yang ditangkap Portugis itu. Sultan menduduki istana Raja Abdullah. Malangnya permaisuri telah meninggal dunia di Kampar. 40 hari Sultan tiada nobat.

Masalah Tiada mempunyai Putera lelaki.
Raja Pahang iaitu Sultan Mansur Syah (Anak Sultan Abdul Jamal) tidak mempunyai anak lelaki. Satu ketika, Raja Muhamad, raja Terengganu yang berasal dari anak raja Kelantan telah datang ke Pahang. Dia didudukkan dengan dua pupu Sultan. Dapat seorang anak lelaki. Dinamai Raja Ahmad dan dijadikan anak angkatnya. Bila sudah besar, Raja Ahmad dikahwinkan dengan anakanda baginda Raja Puspa Dewi. Dapat seorang anak dinamakan Raja Omar.

BAB XIII

Bab XIII : Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja.
Kecantikan Tun Fatimah diumpamakan laut madu, bertasik susu dan berpantaikan sakar (gula). Tun Fatimah ditunangkan dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja, sepupunya. Raja Di Baruh iaitu bapa saudara Sultan Mahmud menasihatkan supaya perkahwinan ditangguhkan kerana Tun Fatimah itu sepatutnya ditunjukkan kepada Sultan dulu, lagipun Permaisuri Tun Teja telah mati. Bendahara tidak endahkan nasihat itu. Pada hari perkahwinan Sultan datang dan dia sangat tertarik dengan Tun Fatimah dan menuduh Bendahara sebagai jahat. Sultan berdendam dengan Bendahara.

Kekayaan Bendahara Seri Maharaja.
Bendahara sangat kaya. Mempunyai simpanan emas sebanyak 6 bahara. Lebih satu bahara dari kepunyaan Raja Mendaliar, Syahbandar Melaka. Anak-anak cucunya diberikan emas, jikalau hilang diberinya yang lain. Kerbau pemeliharaannya di Kayu Ara juga banyak. Jikalau anak buahnya pergi berburu tapi tidak dapat, maka kerbau dikandang itulah yang disembelih mereka.

Tun Hassan Temenggung cuba dibeli.
Semua orang besar-besar datang ke rumah Ali Manu Nayan, seorang kaya di Melaka. Mereka semua diberikan hadiah. Hanya Tun Hassan Temenggung saja yang tidak datang. Ali Manu Nayan pernah menyatakan ; Kiranya Tun Hassan berdiri sahaja di hadapan kedainya, dia akan memberikan 10 tahil emas.

Punca mencetuskan sekejam-kejam hukuman.
Nina Dewa Sura telah bertelingkah dengan Raja Mendaliar. Mereka pergi berhukum pada Bendahara. Kerana hari telah petang, mereka disuruh datang keesukan harinya. Malam itu, Nina Sewa Sura telah merasuahkan emas sebanyak sebahara kepada Bendahara supaya dia menang dalam kesnya dengan Raja Mendaliar. Kitul, seorang yang ada berhutang dengan Raja Mendaliar telah pergi memberitahu Raja Mendaliar tentang perihal Nina Dewa Sura itu. Dikatakan Nina Dewa Sura merasuahkan emas 10 kati supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar dan dikatakan bahawa Bendahara telah bersetuju. Segala hutang Kitul telah dihalalkan. Pada malam itu juga, Raja Mendaliar telah pergi mengadu kepada Laksamana Khoja Hassan. Dirasuahnya dengan emas sebahara disamping permata dan kain baju yang indah-indah. Dikatanya Bendahara mahu merampas takhta kerajaan. Bendahara telahpun menempah takhta kerajaan, piu dan kaus emas. Kerana termakan pujuk, Laksamana bersedia memberitahu raja.

Tamat riwayat tiga orang besar negara.
Sebaik menerima aduan Laksamana, Sultan Mahmud telah mengarahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pergi membunuh Bendahara. Tun Hassan Temenggung ingin menentang tapi dihalang oleh Bendahara. Tun Hassan juga mahu membuang peti-peti emasnya, itupun dihalang oleh Sutan. Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan suami serta sepupunya Tun Alipun dibunuh orang. Tun Abdul Karim, Tun Jenal dan Tun Fatimah tidak dibunuh. Sebaliknya Tun Fatimah dijadikan isterinya. Bila kahwin, segala harta Bendahara dibawa ke dalam. Raja mendapati tuduhan yang Raja mahu merampas takhta tidak benar kerana alatan seperti takhta, piu dan kasut emas tidak ada. Sultan jadi menyesal. Kitul telah disula dan Raja Mendaliar dibunuh. Harta Laksamana dirampas. Dia tidak dibunuh kerana Sultan pernah bersumpah mengharamkam darah laksamana.

Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok).
Paduka Tuan iaitu anak Bendahara Paduka Raja telah dilantik menjadi Bendahara. Dia sudah tua, giginya telah tanggal dan kakipun telah tepok.Bila dinyatakan dia akan diangkat menjadi Bendahara, dia menolak tapi dipaksakan juga oleh Sultan. Dia juga dikenali sebagai Bendahara Lubuk Batu. Seorang yang kuat makan dan bila mahu berjalan sepasu minyak wangi digunakannya.

Tun Biajid sasar.
Dia adalah anak Bendahara Paduka Tuan. Sasar bahasa. Bila berjalan ke pasar, diambilnya segala barang yang diperkanannya. Bendahara terpaksa menyuruh seseorang mengekori Tun Biajid dan membayar harga barangan yang diambilnya. Tun Biajid telah dihadiahkan seekor gajah oleh ayahnya. Gajah ini selalu dijual tapi ditebus semula oleh Bendahara. Bila dilihatnya gajah itu diambilnya semula konon gajah itu adalah gajahnya. Tun Biajid pernah ditambat dan dhantar kepada Raja untuk dibunuh kerana dia membunuh orang tetapi tidak dilaksanakan oleh Sultan.

Zuriat bendahara Lubuk Batu.
Anak Bendahara ramai antaranya ialah Tun Khoja Ahmad atau gelarnya Tun Pikrama dan Tun Pauh. Anak Tun Khoja Ahmad bernama Tun Isap Berakah, dia menjadi Datuk Bendahara Johor.

Sultan Mahmud membuang kerajaan.
Sejak diperisterikan Sultan Mahmud, Tun Fatimah tidak pernah senyum. Dia sentiasa berdukacita. Sultan Mahmud juga sangat menyesal membunuh Bendahara Seri Maharaja. Sultan Mahmud telah turun takhta dan diserahkan pada anaknya Sultan Ahmad Syah. Baginda membawa diri ke Kayu Ara dengan ditemani oleh Sang Sura.

Sultan Ahmad pula tidak kasih akan orang-orang besar. Dia hanya kasih kepada beberapa orang tertentu sahaja seperti Tun Ali Hati, Tun Mai Ulat Bulu, Tun Muhammad Unta, Tun Ali Berudu dan Tun Ali Kenyal. Orang-orang muda tiga empat belas orang dan hamba raja dua tiga puluh orang. Itulah sahaja teman-temannya.

Tun Fatimah pula bila hamil dibuangkannya. Alasannya kerana pengganti raja telah ada. Sultan Mahmud berjanji akan merajakan anaknya, barulah kandungan itu dibelanya. Malangnya Tun Fatimah hanya mendapat anak perempuan iaitu Raja Putih dan Raja Khatijah. Sultan Mahmud pula asyik belajar tasawuf dengan Makhdum Sadar Jahan.

BAB XII

Bab XII : Raja Legor gagal menyerang Pahang.
Raja Legor yang bernama Maharaja Dewa Sura telah dititahkan oleh Raja Siam untuk menyerang Pahang. Berita ini didengar ke Melaka. Setelah bermesyuarat, Sultan Mahmud telah bersetuju menghantar tentera Melaka bagi membantu Pahang. Bendahara Seri Maharaja telah diarahkan ke sana. Dia juga meminta Laksamana turut sama. Dengan bantuan Melaka, Pahang tidak berjaya ditewaskan oleh Legor.

Biadap di hadapan Bendahara.
Seorang pembesar bernamaTun Perpatih Hitam, dia mempunyai seorang anak bernama Tun Hussin. Dia pernah bersumpah akan mengamuk sekiranya bapanya dibicarakan orang. Satu kali bapanya itu dipanggil bicara di hadapan Bendahara kerana berselisih faham dengan seorang dagang. Pada masa perbicaraan itu berlansung, Tun Hussin telah datang. Melihat kedatangan anaknya itu, Tun Perpatih hitam telah menguis tikar dihdapan Bendahara. Perlakuan ini dianggap biadab oleh Laksamana dan dia segera dibunuh. Tun Hussin yang mahu mengamuk juga dibunuh. Laksamana segera melapurkan pada Sultan dan Sultan bersetuju dengan tindakan Laksamana itu.

Zuriat Laksamana Hang Tuah.
Laksamana mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama iaitu saudara Seri Bija Diraja Datuk Bongkok ada 3 anak iaitu Tun Sirah (Isteri temenggung Khoja Hussin), Tun Biajid dan Tun Daerah (isteri Sultan Mahmud). Dengan isterinya yang kedua dari keluarga Bendahara Paduka Raja ada 2 orang anak iaitu Sang Guna dan Tun Emas Jiwa (Isteri Hang Nadim).

Raja Petani dan Raja Kedah dinobatkan.
Anak raja Siam Cau Seri Bangsa telah menyerang Kota Mahligai yang diperintah oleh Raja Sulaiman Syah. Dia berjanji kiranya dia berjaya, dia akan memeluk agama Islam. Takdir Allah dia menang. Diapun memeluk Islam. Mendirikan kota di Petani. Dia meminta dinobatkan oleh Melaka. Melaka telah menobatkannya dengan gelaran Sultan Seri Ahmad Syah. Raja Kedah juga telah ke Melaka untuk dinobatkan. Beliau juga dinobatkan oleh Sultan Mahmud.

Kebesaran Melaka dan kedatangan Poortugis.
Penduduk negeri Melaka semakin ramai hingga mencapai 19 laksa ramainya. Ramai dagang yang datang termasuklah orang Portugis dari Goa, India. Hairan orang Melaka melihat mereka dan dikatakan sebagai Benggali Putih. Setelah kembali ke India, dia membuat laporan kepada wizurainya di Goa iaitu Alfonso d’ Albuquerque. Dengan segera dia memerintahkan tenteranya datang menyerang Melaka. Penduduk Melaka pada masa itu kehairanan melihat peluru meriam. Bagaimanapun angkatan Portugis berjaya dikalahkan. Alfonso mahu Melaka diserang lagi tetapi Kapitan Mor melarang menyerang Melaka selagi Bendahara masih hidup. Alsonso bersumpah setelah dia turun dari menjadi wizurai , dia akan datang menawan Melaka.

Makhdum dipersenda muridnya.
Satu ketika seorang pendita dari Jeddah telah datang ke Melaka, beliau bernama Maulana Sadar Jahan. Sultan dan pembesar Melakapun berguru dengannya. Ketika berada di rumah Bendahara, datanglah Seri Rama. Beliau baru kembali dari meminum arak di istana. Beliau memang seorang yang kuat minum. Bila tiba di hadapan Makhdum, Makhdum telah memberitahunya yang “Al-Khamru ummul al-khabaith” (Arak itu ibu segala najis). Seri Rama pula menjawab “AL-Hamku ummul Khabaith” (Hamak itu ibu segala najis). Maksudnya dia telah memperli Makhdum yang dikatakannya datang ke Melaka untuk mencari harta. Marahlah Makhdum padanya.

Tun Mai Ulat Bulu juga telah mempersendakan Makhdum. Puncanya dia dikatakan keras lidah. Sebaliknya Tun Mai Ulat Bulu telah menyuruh Makhdum menyebutkan perkataan seperti “kunyit, nyiru dan kucing”. Makhdum gagal menyebutnya. Tun Mai Ulat bulu mengatakan ; begitulah halnya sendiri yang gagal untuk menyebut huruf-huruf arab.

Bertanya satu masalah agama ke Pasai.
Orang Kaya Tun Muhammad dititahkan ke Pasai untuk bertanyakan masalah agama tentang rezeki. Ada pendapat mengatakan ketetapan rezeki adalah sejak azali. Ada pula mengatakannya tidak. Untuk menjawab masalah itu, raja telah menyuruh Tun Hassan menyelesaikannya. Jawapan itu dipersetujui oleh Tun Muhammad. Selepas itu diapun kembali ke Melaka.

BAB XI

Bab XI : Seri Wak Raja dengan Gajah Pahang.
Setelah Sultan Muhammad, raja Pahang yang pertama meninggal. Beliau digantikan oleh anak sulungnya yang bernama Abdul Jamal. Abdul Jamal menghantar utusan ke Melaka minta ditabalkan. Sultan Mahmud telah menghantar Seri Wak Raja ke Pahang bagi menabalkan Abdul Jamal dengan gelaran Sultan Abdul Jamal. Di Pahang, ilmu Seri Wak Raja dan anaknya Tun Umar mengenai gajah teruji. Bagaimanapun mereka berjaya.

Peri cantiknya paras anak Bendahara Pahang.
Seri Wak raja telah pulang ke Melaka dan menceritakan tentang cantiknya paras anak Bendahara Pahang yang bernama Tun Teja Ratna Benggala. Ini membuatkan Sultan Mahmud berahikannya. Baginda bersumpah, sesiapa yang dapat mendatangkan TunTeja akan diberikan hadiah yang besar, sekalipun dia meminta sekerat daripada negeri Melaka. Berita ini didengar Hang Nadim. Untuk menebus dosanya, beliau segera ke Pahang.

Tun Teja dilarikan ke Melaka.
Hang Nadim telah berbuat baik dengan seorang perempuan tua, tukang pelulut dan juga dengan Nakhoda Saiyid Ahmad. Dengan bantuan mereka, Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja ke Melaka.

Pertempuran di Laut Pulau Keban.
Sebaik Sultan Abdul Jamal, mendengar tunangannya dilarikan Hang Nadim, Dia segera mengejar. Hang Nadim diserang oleh angkatan Sultan Abdul Jamal. Bagaimanapun dia berjaya melepaskan diri ke Melaka. Sultan Melaka sangat gembira. Hang Nadim dihadiahkan emas dan perak yang tidak terkira. Saiyid Ahmad dijadikan bentara. Hang Nadim sendiri dianugerahkan Puteri Cau Pauk, anak raja Kelantan.

Gajah Sultan Pahang pula dilarikan.
Sekembalinya Sultan Abdul Jamal ke istana, dia sangat marah, dengan menunggang gajahnya yang bernama Ai Kening dilanggarnya balairung istananya sendiri. Kononnya begitulah dia akan melanggar istana Melaka. Khabar ini didengar oleh Sultan Mahmud di Melaka. Disuruhnya pula curi gajah tersebut. Laksamana Khoja Hassan telah pergi ke Pahang. Dengan tipu helahnya, Ai Kening telah berjaya dilarikan ke Melaka.

Bersyaikh diri di Lubuk Pelang.
Sultan Abdul Jamal dengan segera memerintahkan panglima Pahang mengejar Laksamana Khoja Hassan. Mereka diketuai oleh Seri Akar Raja. Bagaimanapun usaha mereka gagal. Sultan Abdul Jamal telah turun takhta dan membawa diri bersyaik di Lubuk Pelang. Anakanda baginda bergelar Sultan Mansur Syah dirajakan.

Rahsia pembunuhan Raja Zainal.
Dia adalah saudara Sultan Mahmud sendiri. Kecantikannya tiada tara pada waktu itu. Dia menjadi kegilaan orang-orang perempun di Melaka. Bila dia berkuda, habislah gempar sekalian orang perempuan mahu melihatnya. Berebutan mereka mahu memberikan hadiah kepadanya. Mendengar hal ini, Sultan Mahmud murka dan secara senyap-senyap dia telah menyuruh Hang Berkat pergi membunuh Raja Zainal. Hebohlah orang mengatakan Raja Zainal telah mati dibunuh oleh pencuri. Hang Berkat dianggap saudara oleh Sultan dan dia diberikan gelar Sang Sura.

Sultan Mahmud Syah serba salah.
Satu hari isteri Sang Sura telah berzina dengan Sang Guna. Sang Sura mahu Sang Guna dibunuh. Akibatnya sultan serba salah kerana Sang Guna adalah tukang keris istana yang mahir. Bagaimanapun Sang Guna telah dihukum berkurung dalam rumah. Untuk berdiri di muka pintupun tidak dibenarkan. Tidak dibenarkan ke mana-mana. Akhirnya Sang Guna minta dikat dan diserahkan kepada Sang Sura supaya dibunuhnya sekali.

BAB X

Bab X : Tun Mutahir dijadikan Bendahara.
Setelah Bendahara Putih meninggal terdapat 9 orang yang layak untuk dilantik sebagai bendahara. Bonda Sultan Mahmud adalah saudara Tun Mutahir. Dia telah mempengaruhi Sultan Mahmud agar melantik saudaranya itu sebagai Bendahara. Beliau bergelar Bendahara Seri Maharaja. Satu perangainya yang buruk ialah belaiu seorang yang kuat bergaya. Dalam sehari enam tujuh pasang persalinannya. Bagaimanapun setelah beliau menjadi Bendahara, Negeri Melaka semakin makmur.

Titisan keturunan Bendahara Seri Maharaja.
Anak Bendahara Seri Maharaja sangat ramai. Anaknya yang sulung ialah Tun Hassan Temenggung. Anaknya Tun Biajid Rupat bergelar Seri Petam. Seri Nara Diraja iaitu kakak Bendahara Seri Maharaja pula dilantik sebagai Penghulu Bendahari. Mempunyai 5 orang anak. Tun Abdul, adik Bendahara Seri Maharaja pula bergelar Seri Nara Wangsa.

Peristiwa Patih Adam dengan Tun Minda.
Patih Adam adalah Pangeran Surabaya, dia telah bertamu ke rumah Seri Nara Diraja. Tun Minda yang masih kecil dan baru tahu berlari-lari telah berlari-lari di depan Patih Adam. Seri Nara Diraja sambil bergurau mengatakan Tun Minda berkata mahu berlakikan Patih Adam.Setelah Tun Minda besar, Patih Adam telah datang semula ke Melaka bersama 40 peria untuk menuntut janji Seri Nara Diraja. Pada mulanya Seri Nara Diraja tidak bersetuju. Pateh Adam menjalankan helah untuk menangkap Tun Minda di rumahnya. Setelah pengawal dirasuah dapatlah dia masuk dan menangkap Tun Minda. Tun Minda diikat dan dia sendiri menindih peha Tun Minda. Setelah semua pengikutnya mati terbunuh, Tun Minda tidak dilepaskan. Akhirnya dapatlah dia mengahwini Tun Minda dan kembali ke Surabaya.

Meminang “Puteri Gunung Ledang”.
Setelah Bonda Raja Ahmad meninggal, Sultan Mahmud ingin kahwin lagi. Beliau berhajat untuk mengahwini Puteri Gunung Ledang. Laksamana dan Sang Setia disuruh meminang. Tun Mamad penghulu orang Inderagiri juga ikut serta. Setelah sampai separuh gunung, Laksamana dan Sang Setia disuruh berhenti.

Tun Mamad telah naik dengan 2 orang lain. Bila sampai di had buluh perindu, beliau telah berjumpa seorang perempuan tua dalam sebuah taman. Beliau mengaku bernama Dang raya Rani iaitu pengetua Puteri Gunung Ledang.Tun Mamad telah menyatakan hajat Sultan Mahmod. Tidak lama kemudian muncul seorang tua yang lain. Dia memberitahu syarat Tuan Puteri Gunung Ledang untuk menerima pinangan Sultan Mahmud iaitu baginda dikehendaki membina jambatan emas dan perak ke gunung Ledang dari Melaka, hati nyamuk 7 dulang, Hati kuman 7 dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan darah anak raja semangkuk. Bila syarat-syarat ini dinyatakan kepada Sultan Mahmud belaiu mengaku dapat menyediakan semua permintaan kecuali darah Raja Ahmad yang semangkuk itu.

Tepuk berbalas, alang berjawat.
Sultan Nara Singa, raja Inderagiri dijadikan menantu Sultan Mahmud. Setelah bernikah dia tidak dibenarkan balik ke Inderagiri. Bila dapat kesempatan balik, Inderagiri telah diperintah oleh Maharaja Isap. Bila Sultan Nara Singa balik, Maharaja Isap lari ke Lingga. Dijadikan menantu Raja Lingga dan kemudian menggantikan mertuanya sebagai raja Lingga. Semasa Maharaja Isap datang mengadap ke Melaka, Sultan Nara Singa telah menyerang Lingga. Sebaliknya bila Sultan Nara Singa mengadap ke Melaka, Maharaja Isap pula menyerang Inderagiri dan lekas-lekas dia ke Melaka. Di Melaka, mereka didamaikan oleh Sultan Mahmud.

Hang Nadim dititahkan ke Benua Keling.
Hang Nadim, menantu Laksamana Hang Tuah, telah dititahkan ke Benua Keling untuk membeli kain batik. 40 bagai, satu bagai 40 helai, 1 helai 40 jenis bunga. Beliau pergi dengan kapal Hang Isap. Cuma 2 orang pelukis sahaja yang mampu menyediakan corak kain yang dikehendaki oleh Hang Nadim itu. Setelah kain batik siap, Hang Nadim segera bersiap untuk pulang.

Malangnya Hang Isap telah berkelahi dengan seorang peniaga saiyid. Hang Isap didakwa tidak menjelaskan semua bayarannya dan dia mengatakan kepada Saiyid itu sebagai “wali pelir”. Kerana marah dia bersumpah bahawa Hang Isap akan karam dalam perjalanan pulang nanti. Sumpahnya menjadi kenyataan bila kapal Hang Isap telah karam dipukul ribut. Bagaimanapun Hang Nadim berjaya menyelamatkan diri ke Pulau Selon. Dia berjaya pulang ke Melaka dengan membawa kain 4 helai sahaja. Sultan murka dengannya. Laksamana Hang Tuah telah meninggal dunia, dikebumikan di Tanjung Keling. Dia digantikan oleh menantunya iaitu Laksamana Khoja Hassan

BAB IX

Bab IX : Membunuh tanpa memberitahu ke Melaka.
Sultan Ibrahim telah menyuruh Tun Jana Pakibul membunuh seorang pesalah di Siak. Hal ini diketahui ke Melaka. Hang Tuah telah diarah untuk pergi ke Siak. Tun Jana Pakibul dimarahinya dalam majlis Sultan Ibrahim. Sultan dan Tun Jana Pakibul terdiam. Bila Hang Tuah mahu pulang ke Melaka, Sultan Ibrahim telah berkirim surat memohon kemaafan dari Sultan Alaudin. Pada masa itu, tidak dibenarkan hukuman bunuh dalam taklukan Melaka melainkan dengan pengetahuan Sultan Melaka.

Seorang anak Sultan Alaudin yang bernama Raja Menawar telah dirajakan di Kampar. Bila Sultan Alaudin mangkat, tempatnya digantikan oleh Raja Mamad. Pada masa itu Raja Mamad masih lagi seorang kanak-kanak. Wasiatnya supaya Raja Mamad menggantikannya disampaikan di hadapan Bendahara Paduka Raja, Kadi, Paduka Tuan, Seri Nara Diraja, Temenggung dan Laksamana Hang Tuah.

Pemerintahan Sultan Mahmud Syah.
Kepada Raja Mamad, Sultan Alaudin berpesan supaya :
ð Banyak bersabar.
ð Memaafkan kesalahan hamba sahaya.
ð Utamakan pekerjaan akhirat dari kerja dunia.
ð Berserah diri atau bertawakkal kepada Allah.
ð Jangan mengaibkan pesalah, kalau perlu bunuh, boleh dibunuh.
ð Patuh pada wasiat supaya dapat berkat Allah.

Setelah berwasiat kepada Raja Mamad, Sultan Alaudin pun mangkat. Baginda digantikan oleh Raja Mamad dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Sekali peristiwa Sultan Mahmud sakit perut buang-buang air. Terpaksalah Bendahara Paduka Raja dan Laksamana mengasuhnya. Bendahara membasuh beras, Laksamana memasaknya. Bila masak bendahara yang menyuapkan. Bila buang air, Laksamana membasuhnya. Nenda baginda yang bergelar Raja Tua telah datang untuk melihat Sultan Mahmud. Dia tidak dibenarkan hampir oleh bendahara. Ini kerana dia lebih kasihkan Raja Menawar dan dia bercadang untuk membunuh Sultan Mahmud dengan menindihnya sambil pura-pura menangis. Rancangannya tidak berjaya.

Bendahara Paduka raja dengan Laksamana.
Setelah sembuh dari sakit, Sultan Mahmud menganugerahkan Bendahara dan Laksamana akan usungan. Laksamana menggunakannya tetapi bendahara tidak. Bila anak-anak buahnya mengomen, Bendahara mengatakan dia tidak mahu dipandang sama taraf atau lebih mulia dari Raja. Bendahara juga selalu memberikan apa-apa hadiah istimewa yang diterimanya kepada laksamana seperti perahu, gajah, kuda atau alat senjata. Alasannya supaya Laksamana dapat memanfaatkan alat-alat itu untuk negara.

Wasiat Bendahara Paduka Raja.
Bila bendahara jatuh sakit, dia mengumpulkan semua anak cucunya. Untuk mereka dia berwasiat. Nasihatnya kepada Tun Mutahir, Tun Zainal Abidin, Seri Nara Diraja Tun Tahir, Tun Pauh dan juga Tun Isap. Sultan Mahmud juga datang menziarahi Bendahara. Setelah Bendahara Paduka Raja meninggal dunia dia digantikan oleh saudaranya yang bernama Tun Perpatih Putih. Bergelar Bendahara Putih. Bendahara ini sangat boros. Jikalau lilin panjang sejengkal dibuangnya kerana dianggapnya puntung.

Nyaris lembing diterbangkan ke dada.
Sultan Mahmud telah berlaku curang dengan isteri Tun Biajid ketika Tun Biajid pergi ke Merba. Semasa mahu pulang di waktu dinihari, dia terserempak dengan Tun Biajid. Tun Biajid hampir melembing Sultan Mahmud kalaulah tidak dingatnya yang Sultan Mahmud adalah tuannya. Isterinya itu diceraikan. Sebagai ganti, Sultan memberikannya seorang gundik baginda yang bernama Tun Iram Sendari. Pada satu malam, Sultan Mahmud pergi ke rumah Tun Dewi, Di sana di dapati telahpun ada Tun Ali Sandang. Dia memberikan sirih dalam puan kepada Tun Isap sebagai isyarat supaya Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang itu.

Peristiwa pembunuhan Tun Ali Sandang.
Setelah menerima sirih, Tun Isappun pergi membunuh Tun Ali Sandang. Seri Wak Raja (anak bongsu Bendahara Paduka Raja) sangat marah, dia mahu Tun Isap dibunuh tetapi Sultan Mahmud arahkan Tun Isap berlepas diri. Tun Isap lari membawa diri ke merata tempat termasuklah ke Pasai, Haru dan Brunai. Akhirnya dia kembali ke Melaka. Bila pulang Sultan menyuruhnya pergi mohon maaf dengan Seri Wak Raja tetapi Tun Isap dibunuh sebaik dia sampai ketika Seri Wak Raja masih lagi di atas gajah.

Pada waktu terdapat 4 orang yang sangat dikasihi oleh Sultan iaitu Seri Wak Raja sendiri, Tun Umar, Hang Isa pantas dan Hang Hussin Cengang. Baginda berjanji akan menunaikan apa sahaja permintaan mereka. Bagaimanapun bila Seri Wak Raja memohon jadi panglima gajah, tidak ditunaikan kerana Seri Rama masih hidup. Tun Umar mohon jadi raja di laut itupun tidak ditunaikan kerana Laksamana masih hidup. Permintaan Hang Isa mahukan emas dan kain baju, segera ditunaikan. Hang Hussin pula mohonkan kerbau 15 kelamin dan hamba 50 orang. Segera juga ditunaikan.

Telatah orang-orang yang dikasihi raja.
Seri Wak Raja sendiri bila dipanggil oleh raja, sengaja dia melewat-lewatkannya. Kecuali bila Tun Isap yang datang kerana Tun Isap akan meminta pelbagai perkara sambil menantikan Seri Wak Raja siap. Sebenarnya Seri Wak Raja adalah sangat mahir tentang gajah dan kuda. Kerana kemahirannya itu dia berjaya mengahwini anak Kadi Menawar. Hang Isa Pantas pula mahir dalam permainan layang-layang. Layang-layang Raja Ahmad yang besarpun putus apabila bergesel dengan layang-layangnya. Hang Hussain pantas pula seorang yang kuat makan. Sultan Mahmud seorang yang cepat marah. Dia telah mengarahkan supaya Seri Bija Diraja dibunuh kerana Seri Bija Diraja tidak datang mengadapnya pada hari raya. Sultan Mahmud sendiri tidak dilayan oleh Maulana Yusuf kerana dia datang untuk belajar tetapi sebagai Yang Dipertuan. Dia hanya dilayan bila datang sebagai fakir Mahmud.

Manjong dan Kelantan diserang.
Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan untuk menyerang Manjong kerana Manjong bermusuh-musuhan dengan Beruas. Beruas adalah jajahan Melaka. Paduka Tuan berjaya mengalahkan Manjong. Seri Maharaja pula dititahkan menyerang Kelantan. Kelantan juga berjaya dikalahkan. 3 orang puteri raja Kelantan ditawan dan dibawa balik ke Melaka. Puteri Onang Kinang diperisterikan baginda