Wednesday 15 May 2013

Asal Usul Melayu


Bila disebut perkataan ‘Melayu’, terus tergambar dalam benak fikiran bahawa orang Melayu berkulit gelap atau sawo matang, tubuh badan bersaiz sederhana dan berambut hitam. Gambaran yang hampir sama juga pernah diceritakan oleh Frank Swettenham dalam bukunya “The Real Malay” yang menggambarkan lelaki Melayu adalah rendah, berambut hitam lurus, berkulit cokelat gelap serta mempunyai bentuk hidung dan bibir yang besar. Namun asal-usul bangsa Melayu masih lagi dibincangkan dan dari mana datangnya perkataan Melayu juga masih belum dapat disahkan oleh sejarawan secara tepat.
Asal-usul bangsa Melayu sehingga kini masih kabur tetapi beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern (Belanda) dan Robert von Heine Geldern (Austria) telah melakukan penyelidikan secara kasar latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu. Secara amnya terdapat dua teori mengenai asal usul bangsa Melayu. Teori mereka menyatakan bahawa yang pertama bangsa Melayu berasal dari Yunnan ( Teori Yunnan ), dan  yang kedua bangsa Melayu berasal dari Nusantara ( Teori Nusantara ). Selain itu juga ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti berikut:
1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Palembang, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Sejarah Asal Usul Bangsa Melayu dalam buku Sejarah Melayu disebut bahawa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir disekitar Bukit Seguntang dekat Palembang. Seguntang merupakan tempat kemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka adalah asal dari keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Hal ini dicatat oleh Tun Seri Lanang pengarang buku Sejarah Melayu dalam Bab III seperti berikut :
            “Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Syulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.” (Sejarah Melayu : 20)
Penulisan oleh Tun Seri Lanang dalam buku Sejarah Melayu telah menguatkan lagi pendapat bahawa asal usul Melayu itu diambil daripada nama sebatang sungai yang dikenali sebagai sungai Melayu. Sungai Melayu ini terletak berhampiran Bukit Seguntang, Palembang, Sumatera. Kenyataan mengenai Bukit Seguntang merupakan tempat kemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu turut ditulis oleh pengarang Sejarah Melayu adalah seperti berikut :
            “ Maka syahut orang muda-muda tiga orang itu, “Adapun kami ini bukan daripada bangsa jin dan peri. Bahawa kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain. Nis{i}ab kami daripada Raja Nusyirwan, raja masyrik maghrib, pancar kami daripada Raja Sulaiman ‘alaihissalam. Nama kami Mancitram seorang, Paladutani seorang, Nila Tanam seorang.”
 ( Sejarah Melayu : 21)


Diceritakan bahawa kemunculan tiga orang raja ini telah bertemu dengan Uwan Empuk dan Uwan Malini yang mendiami Bukit Seguntang dan pekerjaanya menanam padi huma di lereng bukit. Kemunculan tiga orang raja ini telah menjadikan padi yang ditanam oleh mereka bertukar berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa. Kenyataan yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang adalah seperti berikut :

            “ Maka dilihatnya tanah nagarah bukit itu menjadi emas. Pada suatu ceritera datang sekarang pun tanah nagarah  bukit itu seperti warna emas rupanya. Maka dilihanya oleh Uwan Empuk dan Uwan Malini di atas tanah itu menjadi emas itu tiga orang manusyia muda-muda, terlalu baik parasnya. Ketiganya memakai pakaian kerajaan dan memakai mahkota bertatahkan ratna mutu manikam. Ketiganya duduk di atas gajah putih. Maka Uwan Empuk dan Uwan Malini pun khairan tercengang, syahadan dengan ta’jubnya melihat rupa orang muda terlalu amat baik parasnya dan sikapnya, syahdan pakaiannya pun terlalu amat indah-indah. Maka pada hatinya, ‘Sebab orang muda tiga orang ini geran(an) padi kita berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan tembaga suasa dan tanah bukit itu pun menjadi emas” (Sejarah Melayu : 21)

Sejarah Melayu merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang merupakan sumber untuk mendapatkan maklumat mengenai ke-Melayu-an. Disusun sekitar tahun 1612 berdasarkan catatan-catatan yang lebih awal. Sejarah Melayu ada menyebut bahawa anggota kerajaan Melaka berasal dari keturunan Melayu di daerah Palembang. Hal ini seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan iaitu Yang Dipertuan Ali Alam syah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir. Tun Seri Lanang menulis dalam buku sejarah Melayu tentang kerajaan Palembang dan Raja di Minangkabau yang berasal daripada tiga orang raja berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain ini. Tun Seri Lanang menulis seperti berikut :
“ Sebermula dihikayatkan oleh orang yang empunya hikayat ini bahawa negeri Palembang itu Palembang yang ada sekarang {ini} inilah; dahulu negeri itu terlalu besyar, sebuah negeri di tanah Andalas tiada sepertinya.
Setelah Raja Palembang yang bernama Demang Lebar Daun itu menengar khabar Uwan Empuk dan Uwan Malini mendapat anak raja turun dari keinderaan maka Demang Lebar Daun pun datang ke rumah Uwan Empuk dan Uwan Malini mendapatkan rajai itu. Maka oleh Demang Lebar Daun ketiga anak raja itu dibawanya kembali ke negerinya. Maka mashurlah pada segala negeri bahawa anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain turun dari Bukit Seguntang (Maha)meru, sekarang ada di negeri Palembang. Maka segala raja-raja daripada segala pihak negeri pun datanglah mengadap raja itu. Maka anak raja yang tuha sekali itu dijemput oleh orang Andalas, maka dirajakannya di Minangkabau. Adapun gelar baginda di atas kerajaan Sang Seperba. Kemudian dari itu maka datang orang Tanjung Pura. Maka (di) jemputnya anak raja yang tengah itu, dirajakannya di Tanjung Pura. Gelar baginda di atas kerajaan Sang Maniaka. Yang bongsu tinggal di Palembang pada Demang Lebar Daun. Maka oleh Demang Lebar Daun anak raja yang bongsu itu dira(ja)kannya di Palembang. Adapun gelar baginda di atas kerajaan Sang Uratama. Maka Demang Lebar Daun turun menjadi mangkubumi.”        (Sejarah Melayu : 22)

Begitulah bagaimana asalnya  keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Melaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura. Diceritakan oleh Tun Seri Lanang bahawa mereka ini keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang agung pada suatu masa dahulu. Oleh itu semua kerajaan dan rakyat mahukan mereka menjadi raja. Begitulah bagaimana asal usul raja Melayu diangkat sebagai raja yang agung lagi tinggi martabatnya oleh pengarang Sejarah Melayu. Kita juga dapat mengetahui bagaimana asal usul orang Melayu itu diperkatakan. Tun Seri Lanang dengan bijaknya telah menulis Buku Sejarah Melayu yang  kini merupakan satu karya agung di alam Melayu ini.

No comments:

Post a Comment