Saturday 25 May 2013

MENELUSURI UNSUR SEJARAH DALAM KARYA AGUNG TUN SRI LANANG ‘SULALATUS SALATIN’


1.0  TUN SRI LANANG
Sebelum mengupas dengan lebih lanjut dari segi unsur sejarah yang terkandung dalam karya seseorang, adakalanya lebih baik kita mengenali siapakah tokoh penulisnya. Beliau yang di angkat karyanya sebagai sebuah karya yang hebat, karya yang agung perlu kita kenali siapakah penulisnya karya Sejarah Melayu ini.
      Nama sebenar Tun Seri Lanang ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau dilahirkan di negeri Johor daripada keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor yang hidup pada akhir abad ke-16 dan hingga awal abad ke-17. Beliau anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad Temenggong Johor. Pengetahuannya dikatakan sangat luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor, demikianlah pengetahuan tersebut mendorong beliau menjadi seorang pengarang.
Ringkas mengenainya, pada masa Sultan Abdul Jalil (1570-1597T.M), Tun Sri Lanang telah diangkat oleh Sultan menjadi Bendahara Kerajaan Johor. Namun, setelah Sultan Abdul Jalil mangkat, Tun Sri Lanang hendak menabalkan Raja Abdullah tetapi baginda telah menolak atas alasan baginda tidak minat dalam bidang pemerintahan ini. Lalu ditabalnya Raja Mansur dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah (1597-1613T.M).
PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU LAMA, Dr.Ismail Hamid(1988:260-261) mengatakan bahawa pada tahun 1612 Masihi, Tun Sri Lanang yang bergelar Bendahara Paduka Raja telah diminta oleh Raja Abdullah untuk mengarang ‘Sejarah Melayu’.
Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh seseorang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita  yang kemudian daripada kita dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, dan mudah-mudahan beroleh faedah  ia daripadanya.”
(Ismail Hussein:119:1988)
Ketika Johor ditawan Acheh, Tun Sri Lanang telah dibawa ke negeri tersebut, dan disanalah beliau meneruskan kegiatan penulisannya sebagaimana yang diminta oleh Raja Abdullah supaya menuliskan Sejarah Melayu. Di samping itu juga beliau menemui Syekh Nuruddin al-Raniri serta sempat mempelajari ilmu agama bersamanya, sementara Syekh Nuruddin al-Raniri pula mempelajari bahasa Melayu dengannya. Syekh Nuruddin al-Raniri juga menyebutkan kegiatan Tun Sri Lanang ini dalam bukunya Bustan Al-Salatin fasal 12 bab II.
Pada umumnya, persoalan tentang pengarang buku Sejarah Melayu ini telah menimbulkan banyak kontroversi dalam kalangan para sarjana seperti Winstedt dan W.G. Shellabear. Awal kajian Winstedt yang menyelenggarakan naskhah Raffles berpendapat bahawa pada permulaannya, karya itu ditulis oleh Tun Bambang anak kepada Seri Akar Petani, akan tetapi dia membuat pembetulan mengenai pendapatnya itu, dengan mengatakan pula bahawa Raja Bongsu yang sebenar-benarnya menjadi pengarang Sejarah Melayu. Kenyataan itu diterima W.C. Shellabear,  Walau bagaimanapun, sarjana ini berpendapat pula Raja Bongsu yang disebutkan itu ialah gelaran bagi Sultan Abdullah Maayar Shah, dan bagindalah yang telah menitahkan kepada bendaharanya Tun Sri Lanang untuk menulis Sejarah Melayu. (Dr. Ismail Hamid,1988:196)


2.0 SUMBANGAN
Antara sumbangan besar yang dilakukan oleh Tun Sri Lanang dalam perkembangan kesusasteraan Melayu Tradisional ialah mengarang dan menyusun Sulalatus Salatin pada tahun 1612, iaitu atas perintah Raja Abdullah Maayah Shah berdasarkan naskah Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang bertindak memperbaiki naskah tersebut dan menyusun semula Sulalatus Salatin. Pelbagai perubahan dan penambahan dilakukan beliau sehingga lengkap Sulalatus Salatin menggambarkan sejarah orang Melayu dan pemerintahan Melayu terutama pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.
Tun Seri Lanang berusaha untuk mengangkat dan martabat kedudukan raja-raja Melaka pada ketika itu. Beliau merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara dan raja-raja Melayu sejak zaman Raja Iskandar pada abad ke-15 sehinggalah ke era pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah pada abad ke-17.
Tun Seri Lanang menghasilkan karya ini dalam bentuk yang sangat menarik. Beliau menggambarkan kebijaksanaannya, pengetahuannya yang luas serta kreatif dan estetik dalam kepengarangannya itu. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini telah menjadi perhatian dan rujukan sastera bagi orang Melayu sejak zaman berzaman. Tun Sri Lanang akhirnya meninggal dunia di Samalanga, Acheh pada 1659 Masihi.
3.0  SULALATUS SALATIN ATAU SEJARAH MELAYU
Sejarah Melayu merupakan sebuah karya sastera sejarah yang sangat terkenal sehingga terdapat benyak salinan dan versinya sehingga kini yang disimpan di perpustakaan di alam Melayu dan Eropah. Malah, beberapa buah naskhah daripada buku ini telah pun diterbitkan dan diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa seperti bahasa Inggeris, Perancis, Belanda, Cina dan sebagainya.
      Sejarah Melayu telah memberi gambaran tentang sejarah negeri Melaka pada abad ke-15. Melaka digambarkan sebagai sebuah negara kota pelabuhan yang terbesar di Alam Melayu pada ketika itu. Oleh sebab pelabuhan tersebut besar, peraturan dan undang-undang Melaka telah digubal demi menjaga ketenteraman dan keamanan negeri itu. Sejarah Melayu menyatakan undang-undang tersebut telah disusun semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1456 T.M).
      Sejarah Melayu juga menggambarkan tentang asal usul raja-raja Melayu dan pembukaan negeri-negeri Melayu seperti Pasai, Samudra, dan Melaka. Karangannya turut menyatakan tentang keagungan dan kebesaran pemerintahan Kesultanan Melaka dengan cara yang dipengaruhi oleh kemasukan agama Islam. Dalam bidang politik pula, Sejarah Melayu mengisahkan bahawa bagaimana perhubungan Melaka dengan negeri China. Melalui perhubungan inilah menyebabkan Siam tidak berani menganggu negeri Melaka. Di samping itu, Melaka juga menjalinkan hubungan baik dengan Majapahit.
      Selain itu, buku ini juga menitipkan corak kebudayaan Melayu tradisi dalam konteks sejarah kemasyarakatan bangsa Melayu, iaitu tentang keagungan golongan pemerintah dengan segala peraturan dan adat istiadat yang menarik seperti peraturan kedudukan para pembesar kerajaan yang diaturkan mengikut gelaran dan pangkat seseorang itu dalam Kerajaan Melaka.

      Menurut Sanusi  bin Samid, sejarah Melayu memberi gambaran tentang politik, sosial dan ekonomi kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Melayu menunjukkan struktur politik Melaka dimana sultan mentadbir dan memerintah ddengan kuasa mutlak ke atas rakyatnya. Baginda mempunyai beberapa orang pegawai diberi kuasa untuk mentadbir negeri seperti, Bendahara, Temenggong, Laksamana, Bendahari, dan Syahbandar (Zahrah Ibrahim 1986:70).
      Oleh kerana pengarang ini seorang cendekiawan yang menjawat jawatan sebagai Bendahara di negeri Johor, sememangnya banyak unsur-unsur pengajaran telah dimasukkan dalam buku ini iaitu dengan tujuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada raja-raja Melayu. Penyampaian nasihat ini dilakukan dalam berbagai-bagai cara seperti menggambarkan bagaimana Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riaayat Shah dan Sultan Mahmud memberi nasihat dan amanat kepada putera-putera mereka yang bakal menjadi menjadi raja, supaya mereka menjalakan pemerintahan dengan adil. Pengarang juga menyelitkan beberapa cerita yang bercorak teladan. Walaupun berbentuk dongeng, namun maksud halusnya untuk memberI tunjuk ajar kepada raja-raja Melayu.
4.0  UNSUR-UNSUR SEJARAH DALAM SULALATUS SALATIN
Sastera sejarah merupakan satu cabang daripada kesusasteraan Melayu lama yang membicarakan tentang sejarah berbagai-bagai tempat dan kerajaan di Alam Melayu. Bentuk sastera sejarah terbahagi kepada dua iaitu bentuk sastera sejarah yang bercorak prosa dan puisi (Dr. Ismail Hamid, 1988:196). Karya yang berbentuk prosa itu merupakan riwayat sejarah sebuah kerajaan atau negeri yang memakan masa sehingga beberapa abad, sementara sastera sejarah yang berbentuk puisi pula hanya mengisahkan peristiwa bersejarah yang berlaku dalam waktu-waktu tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, Sejarah Melayu turut menggarapkan sedikit unsur puisi didalamnya yang berbentuk pantun.
4.1  SALASILAH RAJA-RAJA MELAYU
Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin turut dikenali sebagai peraturan segala raja-raja. Karya ini turut menceritakan tentang salasilah Raja-Raja Melayu Melaka. Menurut seorang sarjana Inggeris Roolvink, Sejarah Melayu ini asalnya dari Sulalatul Salatin yang bermakna salasilah raja-raja. Berdasarkan kenyataan ini, Sulalatul Salatin itu dahulunya merupakan daftar keturunan raja-raja yang lengkap dengan tarikh lahir, ditabalkan dan mangkatnya (Muhd Mansur Abdullah, 1988:198).
 Sultan Muzaffar Syah yang telah memerintah lebih kurang tiga belas tahun. Baginda mangkat pada tahun 1459M dan telah digantikan oleh putera sulung baginda yang bernama Raja Ibrahim. Antara sebab pengarang mengaitkan keturunan raja-raja Melayu Melaka dengan Raja Iskandar Zulkarnain kerana beliau merupakan tokoh lagenda dan sejarah serta dikaitkan dengan agama Islam. Walau bagaimanapun, keturunan raja-raja Melayu Melaka adalah satu fakta sejarah walaupun disaluti dengan unsur-unsur mitos.
   RAJA ISKANDAR SYAH
RAJA BESAR MUDA
RAJA TENGAH
RAJA KECIL BESAR (SULTAN MUHAMMAD SYAH)
SULTAN ABU SYAHID (RAJA IBRAHIM)
SULTAN MUZAFFAR SYAH (RAJA KASSIM
)SULTAN MANSUR SYAH(RAJA ABDULLAH)
SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH (RAJA HUSSAIN)
SULTAN AMHMUD SYAH (RAJA MAMAD@MUHAMMAD)
SULTAN AHMAD SYAH (RAJA AHMAD)
RAJAH : Salasilah Raja-Raja Melaka

4.2  NAMA-NAMA TEMPAT
Unsur-unsur sejarah nama tempat turut terdapat di dalam karya Sejarah Melayu. Nama tempat yang dikarangkan oleh Tun Seri Lanang nyata wujud sehingga ke hari ini. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan perbincangan Tun Seri Lanang itu sejajar dengan kedudukan raja-raja berasal dari pahlawan dan yang berdaulat. Sejarah Melayu menceritakan tentang pembukaan tempat atau negeri seperti Melaka, Pasai dan Singapura.
Di dalam cerita berhubung pembukaan negeri Pasai, nama samudera dikisahkan lahirnya daripada kewujudan semut yang amat besar. Yusoff Iskandar mengatakan peristiwa pemberian nama Pasai dari nama seekor anjing, Si Pasai dan terjumpanya seekor semut besar (samudera) di mana tempat tersebut di panggil Samudera kemudiannya.
Di dalam Sejarah Melayu juga, Temasik telah digantikan namanya menjadi Singapura berdasarkan kepada nama binatang singa yang amat gagah tubuhnya yang dilihat oleh Sanh Nila Utama. Namun, menurut Hsu Tun Tsio tentang asal usul Singapura dinamakan, adalah kerana terlihatnya seekor yang maha tangkas lakunya, merah warna tubuhnya, hitam kepalanya, dan putih dadanya, dan sikapnya terlalu pantas dan perkasa, besar sedikit daripada kambing randok, kononnya ia adalah binatang singa, maka dinamakanlah tempat itu sebagai Kota Singa.
Akan tetapi, bukan sahaja di Singapura, tetapi di seluruh alam Tanah Melayu, tidak pernah terdapat binatang singa (Zahrah Ibrahim, 1986:52). Katanya lagi, kebanyakkan tempat-tempat yang menggunakan binatang singa sebagai namanya ialah kebanyakan yang terdiri daripada pulau-pulau. Manakala, Melaka pula mengambil nama sempena kejadian pelanduk menedang anjing buruan dan secara kebetulan pohon tempat Raja Iskandar berteduh itu bernama Melaka.
‘Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar, “benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka titah Baginda “apa nama kayu itu?” Makasembah orang, “kayu Melaka namanya, Tuanku,” Maka titah Raja Iskandar Syah,”jika demikian,“Melakalah nama negeri ini?’
(Sulalatus Salatin/ Sejarah Melayu, 1996: hlm. 71)

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga menceritakan tentang riwayat asal nama negeri Perak dan Petani. Walaupun riwayat pembukaan negeri mempunyai unsur-unsur mitos, tetapi kewujudan negeri ini adalah realiti dan wujud hingga hari ini.
            4.3 TOKOH BERSEJARAH
Sejarah Melayu mempunyai watak-watak yang merupakan tokoh sejarah. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat pada asal usul keturunan raja-raja Melaka. Pada dasarnya, menurut beberapa orang sarjana sejarah dan sastera, unsur-unsur lagenda yang digunakan berhubungan dengan asa usul keturunan raja-raja Melaka ini dibina dari fakta sejarah yang sebenarnya. Menurut Yusoff Iskandar dalam buku yang diselenggarakan oleh Zahrah Ibrahim, Raja Iskandar Zulkarnain adalah watak dan tokoh bersejarah sebenar Iskandar Agung (Alexendar The Great) dari negeri Mekadonia (Babylon).
Baginda dikatakan pernah menakluk seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah hingga ke Utara India. Raja Suran sebenarnya adalah tokoh bersejarah Raja Rajendra Chola iaitu seorang raja dari Selatan India yang dibuktikan oleh sebuah batu bersurat di Tanjore, India yang pernah menakluk beberapa daerah persisir pantai Semenanju8ng Tanah Melayu hingga ke Selatan ke arah Genggayu yang sekarannya dipercayai sebagai Hulu Sungai Johor sekarang, lalu mengalahkan Empayar Srivijaya di sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi.
Kedua-dua tokoh politik dan penakluk agung dalam sejarah awal rantau ini dijadikan satu bentuk cerita tokoh legenda pada bahagian pendahuluan Sejarah Melayu, tujuannya untuk mengatakan bahawa raja-raja Melayu merupakan nasab keturunan dari Iskandar Zulkarnain, tokoh legenda Islam dan Raja Chola, sebagai tokoh legenda Hindu. Perkara-perkara seperti ini sengaja dimasukkan sebagai alat dan cereka untuk memperkenalkan raja-raja Melaka dan dari mana asa- usul mereka.
4.4  STRUKTUR MASYARAKAT
Sejarah Melayu juga mempamerkan gambaran tentang struktur masyarakat Melaka yang terdiri daripada berbagai-bagai peringkat dan golongan masyarakat. Antaranya termasuklah masyarakat dari golongan pemerintah dan kerabat-kerabat diraja, yang kemudiannya diikuti oleh golongan pentadbir-pentadbir yang terdiri daripada pembesar-pembesar yang menduduki kelompok bangsawan Melayu.
      Golongan dalam kalangan ulama turut menduduki taraf istimewa di sisi kerajaan Melaka. Walaupun mereka bukan sebahagian daripada keluarga istana, namun ramai antara para ulama ini mempunyai hubungan rapat dengan raja-raja Melaka. Golongan yang dianggap paling rendah sekali kedudukannya dalam struktur masyarakat pada masa itu ialah hamba abdi.
Disamping itu, orang-orang asing juga digambarkan oleh Tun Seri Lanang berdamping rapat dengan istana Melaka. Ramai di antara mereka ialah saudagar-saudagar Keling seperti Nila Sura Dewana, Kitul, Aki Manu Nayan yang menjadi seorang pedagang dan seorang saudagar Keling yang paling kaya, juga menjadi Syahbandar, iaitu Raja Mendaliar. Terdapat juga orang jawa yang mempunyai kedudukan yang sama ialah Patih Adam iaitu seorang pangeran dari Surabaya.
4.5  SEJARAH ADAT ISTIADAT DAN KEBUDAYAAN
Kebudayaan masyarakat Melayu turut digambarkan oleh pengarang Sejarah Melayu sebagai pengetahuan kita. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan lain-lain. Terdapat beberapa adat antaranya adalah adat yang sebenar-benar adat iaitu adat yang betul-betul berteraskan islam itu sendiri, tetapi sebelum kedatangan islam banyak dipengaruhi oleh hindu dan budha, namun apabila islam telah timbul, maka apa yang bertentangan dengan islam diketepikan.
Yang kedua adalah adat yang diiadatkan iaitu adat yang berteraskan adat yang sebenar-benar adat. Yang ketiga adalah adat yang teradat iaitu adat yang dicipta oleh pemimpin itu sendiri iaitu raja. Seterusnya, adat istiadat iaitu peraturan-peraturan yang biasa dilakukan setiap hari, setiap ketika yang ada dalam istana dan luar istana. Akhir sekali ialah adat resam iaitu adat yang diamalkan oleh masyarakat tersebut.
Justeru mengenai adat menderhaka kepada raja yang pasti dihukum bunuh.  Muhd Mansur Abdullah mengungkap perkara ini dengan mengupas naskhah W.G Shellabear dalam cerita ke 14, 15 dan 16 tentang cerita mengenai Hang Tuah dan pengkhianatan Hang Kasturi. Kisah akhir dalam bab ini yang mengisahkan kejayaan Hang Tuah yang Cuma disorokkan oleh Bendahara di hulu Melaka, membunuh Hang Hasturi yang dianggap penderhaka kepada raja (Muhd Mansur Abdullah, 1988:203).
      Hubungan individu dalam kalangan masyarakat turut digambarkan oleh pengarang. Rasa hormat-menghormati juga terdapat dalam kalangan mereka. Seorang rakyat biasa umpamanya tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar di atasnya. Hal ini digambarkan tatkala mengetahui bahawa Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Tetapi penentangan tersebur dilarang oleh Tun Mutahir kerana perbuatan itu disifatkan oleh beliau sebagai menderhaka kepada Sultan. Pengikut-pengikut ini kemudiannya tidak jadi menentang.
Selain itu, seorang ulama juga sangat dihormati sehingga sultan Melaka sendiri menghormatinya. Hal ini berlaku apabila guru baginda Sultan Mahmud Syah iaitu Maulana Yusoff enggan membenarkan baginda mengadap guru tersebut dengan menunggang gajah, dan akhirnya baginda mematuhi kehendaknya.
Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi bahasanya. Hal ini digambarkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adat Istiadat diraja juga dikarang oleh Tun Seri Lanang bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-Raja Melayu .Oleh hal yang demikian, Sejarah kebudayaan masyarakat Melayu turut dipaparkan di dalam Sejarah Melayu bagi tatapan masyarakat dewasa ini.


4.6  HUBUNGAN DIPLOMATIK
Melaka merupakan pusat tumpuan pedagang-pedagang yang melalui Selat Melaka. Melaka adalah pusat perdagangan utama pada ketika itu dan barang dagangan yang paling utama adalah rempah ratus. Antara pedagang-pedagang yang berdagang di pelabuhan Melaka adalah seperti pedagang Arab, China, Siam, Jawa,dan lain-lain. Oleh itu, untuk mengukuhkan Melaka sebagai pelabuhan utama di Selat Melaka, kerajaan Melaka ketika itu turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara ini.
Selain itu, Sanusi bin Ahmad mengatakan Melaka turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelang, Beruas, Pahang, Sulawesi dan Kampar. Kebanyakan negara-negara ini menghantar ufti sebagai tanda mengakui kedaulatan kerajaan Melaka dan ada juga negeri yang menghantar ufti sebagai tanda negeri tersebut di bawah jajahan takluk kerajaan Melaka (Zahrah Ibrahim, 1986:70). Contohnya kerajaan Siam telah menganugerahkan seorang puteri yang bernama Onang Minang Lang kepada Tun Telanai yang dihantar oleh Sultan Mansor Syah sebagai utusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam. Penganugerahan ini diberi kerana Tun Telanai dan rombongannya telah Berjaya menolong Raja Siam mengalahkan negeri jirannya .Sebagai balasan kepada kerajaan Melaka, Raja Siam membalas utusan Melaka dengan mengirim surat dan hadiah tanda persahabatan.
Jalinan hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan Negara China merupakan hubungan diplomatik yang paling penting. Hubungan ini kekal hingga ke hari ini. Hubungan kerajaan Melaka dengan kerajaan China bermula setelah kerajaan China menghantar utusan ke Melaka dengan membawa bingkisan jarum sarat sebuah pilau (kapal) untuk menunjukkan bilangan penduduk China yang ramai.
Selain itu dikirimkan juga beberapa barang berharga yang luar biasa. Hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan negara-negara tersebut adalah untuk kepentingan kedudukan dan kedaulatan kerajaan Melaka. Oleh kerana itulah mereka perlu menghantar ufti sebagai tanda kedaulatan kerajaan Melaka. Terdapat juga sesetengah negeri ini adalah jajahan takluk kerajaan Melaka seperti Pahang. Dengan hubungan diplomatik ini juga dapat mewujudkan hubungan perdagangan seperti China yang sehingga hari ini adalah rakan dagangan Malaysia yang penting.
5.0  KESIMPULAN
Sejarah Melayu adalah satu sumber sejarah yang berguna untuk menuliskan sejarah Malaysia di antara tahun 1400-1511, terutama sekali mengenai sejarah Melaka sebelum penaklukan oleh Feringgi. Menurut Sanusi Ahmad, hanya dengan membaca Sejarah Melayulah kita dapat menggambarkan cara hidup dan sejarah Melaka tahun 1511, seperti kebudayaan, tradisi, adat istiadat dan masyarakat serta keadaan pelabuhannya yang menjadi tumpuan para pedagang dari pelbagai negeri. Pengarang menulis Sejarah Melayu yang bertemakan kemegahan dan kesultanan Melayu, dan secara keseluruhan ceritanya berpusat kepada golongan raja-raja serta pembesar-pembesar yang berlatar berlakangkan istana dan kawasan pemerintahan. Pengarang juga menyelitkan kisah-kisah bercorak mitos, lagenda, cerita rakyat dan kisah-kisah sejarah yang dikatakan adalah unsur-unsur sastera walaupun ada yang bercorak sejarah. Tanpa sumbangan besar daripada tokoh terkemuka seperti Tun Sri Lanang ini, pastinya masyarakat dan generasi pada masa kini masih terkapai-kapai dan kekaburan dalam meneliti sejarah bangsa dan selok belok kebudayaan Melayu itu sendiri.

2 comments:

  1. Saya mencari buku hikayat sulatus salatin tun sri lanang...klu ada pm sy di 0137876363

    ReplyDelete