Friday 31 May 2013

BAB VIII

Bab VIII : Raja Cempa dan zuriatnya.
Raja Campa telah memperolehi seorang budak dari mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Dia dikahwinkan dengan Pau Bania. Pau Gama dari keturunanannya telah datang mengadap ke Majapahit. Dia dikahwinkan dengan Raden Galuh Ajeng. Anaknya dinamakan Raja Jakanak. Pada masa Pau Cin memerintah telah berlaku perang antara Cempa dengan Kuci. Raja Kuci telah merasuah Penghulu Bendahari menyebabkan Cempa dapat dikalahkan. Dua orang anak raja Cempa iaitu Syah Indera Berma dan Syah Pau Ling telah pergi ke Melaka dan Aceh. Syah Indera Berma telah memeluk agama Islam. Dia dijadikan menteri di Melaka oleh Sultan Mansur Syah.

Gema peristiwa rampas kuasa di Pasai.
Pemerintah Pasai bernama Sultan Zainal Abidin. Saudaranya telah merampas kuasa. Dia lari ke Melaka. Sultan telah menyuruh Bendahara Paduka Raja, Seri Bija Diraja dan Laksamana serta 2 laksa tentera pergi merajakan semula Sultan Zainal Abidin. Setelah beberapa kali perang, Sultan Zainul Abidin berjaya ditabalkan semula. Dia enggan menyembah ke Melaka. Belumpun angkatan Melaka sampai ke Melaka , sultan itu berjaya dikalahkan semula. Laksamana cadangkan supaya angkata berpatah balik untuk merajakan semula Sultan Zainal abidin tetapi Bendahara enggan. Bila kembali ke Melaka, Bendahara telah dimurkai Sultan. Bila ditanya Sultan, Laksamana telah menyatakan keburukan Bendahara semasa di Pasai sedangkan bila Bendahara dipanggil, dia telah memuji-muji laksamana. Ini menyebabkan laksamana malu sendiri. Dia segera pergi ke rumah bendahara dan menyembah, meniarap di kaki bendahara.

Wasiat Sultan Mansur Syah.
Hasrat Sultan Mansur Syah mahu melantik Raden Kelang, anakanda baginda dengan Raden Galuh Cendera Kirana menggantikannya, Malangnya Raden Kelang mati terbunuh oleh orang mengamuk. Paduka Mimat, anakanda baginda dengan Puteri Hang Liu juga sudah meninggal. Saudaranya Paduka Seri Cina dirajakan di Jeram, hampir Langat. Bila SMS hampir meninggal dia mewasiatkan agar Raja Ahmad atau nama timangannya Raja Hussain dilantik menjadi sultan. Pesan baginda pada Raja Hussain ;
- Dunia tidak kekal, setiap yang hidup akan mati.
- Iman yang sempurna dan pekerti yang baik akan kekal disebut orang.
- Hendaklah adil.
- Jangan mengambil hak orang tanpa izin.
- Jangan lalai dari tugas (dihadap orang).
- Setiap kesukaran atau kesakitan hendaklah ditolong.
- Setiap yang teraniaya disiasat.
- Muafakat dengan menteri dan orang besar.
- Patuh pada wasiat supaya dapat berkat.

Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah.
Sultan Alauddin beristeri dua orang. Isteri pertama ada 2 anak iaitu Raja Menawar dan Raja Zainal. Isteri kedua ada 3 anak iaitu Raja Hitam, Raja Muhammad dan Raja Zainal. Dalam negeri banyak berlaku kes kecurian. Bagi mengatasi masalah, baginda sendiri telah keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, penjawat sirih santap baginda. Terjumpalah dengan 5 orang pencuri sedang mengusung peti. Diusirnya pencuri itu. Dia berjaya membunuh 2 orang dan Hang Isap membunuh seorang, 2 orang lagi berjaya melarikan diri. Setelah itu ia kembali ke istana.

Langkah membasmi pencuri.
Setelah Temenggung mendengar Sultan sendiri keluar meronda bersama Hang Isap dan Hang Ishak, dia mulai mengeraskan kawalan. Sesiapa yang dijumpai berjalan malam dibunuhnya. Membuatkan pencurian berjaya dibenteras. Sebuah balai dibina di simpang empat di tengah negeri. Seorang penghulu ditugaskan berkawal di situ. Sesiapa yang menjumpai harta orang hendaklah dipulangkan kalau tidak tangannya akan dikerat. Setiap barang yang dijumpai dihantarkan ke balai.

Akibat salam dibacakan sembah.
Maharaja Diraja, raja Haru telah mengutuskan Raja Pahlawan ke Pasai. Surat Maharaja Diraja yang berkirim salam dikatakan berkirim sembah oleh khatib yang bertugas. Bila teguran tidak diendahkan, Raja Pahlawan telah mengamuk. Ramai rakyat Pasai terbunuh. Raja Pahlawan dan rombongannya juga ramai terbunuh. Mulai kes itu, Haru bermusuhan dengan Pasai. Maharaja Diraja telah menyuruh pahlawannya yang bernama Seri Indera mengamuk dalam jajahan Pasai. Seri Indera terlanjur hingga ke jajahan Melaka. Sultan Alaudin telah menitahkan Paduka Tuan, Laksamana Hang Tuah dan Seri Bija Diraja menyekat amukan Haru. Orang Haru kalah dan mengundurkan diri.

Mia Ruzul dengan kambing randuk.
Mia Ruzul adalah seorang keling yang turut serta dalam angkatan perang Melaka. Dia telah ke darat untuk buang air besar. Terpandangkan seekor kambing disangkanya orang tua Haru yang mengintainya. Bila disergah kambing itu melawan, akibatnya Mia Ruzul lari lintang pukang. Bila disiasat ternyata hanyalah seekor kambing. Semua orang ketawa dan marahkan Miz Ruzul. Peperangan berlaku lagi antara orang Melaka dengan orang Haru di Pengkalan Dungun. Orang Haru telah minta diadakan perdamaian dan diterima oleh Paduka Tuan. Tidak lama selepas kembali ke Melaka, Seri Bija Diraja telah meninggal dunia dan dia digantikan oleh anaknya T un Kerunta. Juga bergelar Seri Bija Diraja. Seorang lagi anaknya bergelar Tun Bija Diraja.

Ketiganya sama gagah.
Raja Maluku telah lari ke Melaka bila negerinya dikalahkan oleh Kastilan. Dia sangat pandai bermain sepak raga. Ditimangnya 100 – 200 kali barulah diberikan kepada orang lain. Dia juga sangat gagah, Umbi pokok kelapa diparangnya hingga putus. Begitu juga Telanai Terengganu dan Sultan Alaudin. Telanai Terengganu melembing pokok kelapa tembus ke sebelah. Sultan Alaudin pula gagah memanah. Telanai Terengganu yang pergi mengadap ke Melaka tanpa memberitahu ke Pahang telah menimbulkan kemurkaan Sultan Muhammad (Pahang). Baginda telah mengarahkan Seri Akar Diraja pergi membunuh Telanai Terengganu. Telanai Terengganu mati terbunuh, anak-anak cucunya habis lari ke Melaka. Sultan Melaka pada mulanya ingin menyerang Pahang tetapi atas nasihat Bendahara, Laksamana Hang Tuah sahaja dihantar ke sana.

Gema pembunuhan Telanai Terengganu.
Di Pahang, Hang Tuah telah menyuruh orangnya membunuh saudara sepupu Seri Akar Diraja. Bila orang yang membunuh itu ditangkap, Hang Tuah tidak membenarkan diambil sebarang tindakan kerana katanya, Seri Akar Diraja juga ada salahnya dengan Sultan Melaka iaitu membunuh Telanai Terengganu tanpa memberitahu ke Melaka. Sultan Muhammad mengatakan Telanai Terengganu dibunuh kerana katanya Telanai Terengganu biadab dengan mengatakan negeri Melaka itu terletak di bawah kelangkangannya.

2 comments:

  1. Salam tuan,

    Saya ingin tahu adakah Raden Kelang ini ada meninggalkan waris? Jika ada siapakah warisnya dan di manakah susur galur keturunan mereka ini berada sekarang?

    ReplyDelete
  2. Salam tuan,

    Saya ingin tahu adakah Raden Kelang ini ada meninggalkan waris? Jika ada siapakah warisnya dan di manakah susur galur keturunan mereka ini berada sekarang?

    ReplyDelete