Friday 31 May 2013

BAB XIII

Bab XIII : Tun Fatimah anak Bendahara Seri Maharaja.
Kecantikan Tun Fatimah diumpamakan laut madu, bertasik susu dan berpantaikan sakar (gula). Tun Fatimah ditunangkan dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja, sepupunya. Raja Di Baruh iaitu bapa saudara Sultan Mahmud menasihatkan supaya perkahwinan ditangguhkan kerana Tun Fatimah itu sepatutnya ditunjukkan kepada Sultan dulu, lagipun Permaisuri Tun Teja telah mati. Bendahara tidak endahkan nasihat itu. Pada hari perkahwinan Sultan datang dan dia sangat tertarik dengan Tun Fatimah dan menuduh Bendahara sebagai jahat. Sultan berdendam dengan Bendahara.

Kekayaan Bendahara Seri Maharaja.
Bendahara sangat kaya. Mempunyai simpanan emas sebanyak 6 bahara. Lebih satu bahara dari kepunyaan Raja Mendaliar, Syahbandar Melaka. Anak-anak cucunya diberikan emas, jikalau hilang diberinya yang lain. Kerbau pemeliharaannya di Kayu Ara juga banyak. Jikalau anak buahnya pergi berburu tapi tidak dapat, maka kerbau dikandang itulah yang disembelih mereka.

Tun Hassan Temenggung cuba dibeli.
Semua orang besar-besar datang ke rumah Ali Manu Nayan, seorang kaya di Melaka. Mereka semua diberikan hadiah. Hanya Tun Hassan Temenggung saja yang tidak datang. Ali Manu Nayan pernah menyatakan ; Kiranya Tun Hassan berdiri sahaja di hadapan kedainya, dia akan memberikan 10 tahil emas.

Punca mencetuskan sekejam-kejam hukuman.
Nina Dewa Sura telah bertelingkah dengan Raja Mendaliar. Mereka pergi berhukum pada Bendahara. Kerana hari telah petang, mereka disuruh datang keesukan harinya. Malam itu, Nina Sewa Sura telah merasuahkan emas sebanyak sebahara kepada Bendahara supaya dia menang dalam kesnya dengan Raja Mendaliar. Kitul, seorang yang ada berhutang dengan Raja Mendaliar telah pergi memberitahu Raja Mendaliar tentang perihal Nina Dewa Sura itu. Dikatakan Nina Dewa Sura merasuahkan emas 10 kati supaya Bendahara membunuh Raja Mendaliar dan dikatakan bahawa Bendahara telah bersetuju. Segala hutang Kitul telah dihalalkan. Pada malam itu juga, Raja Mendaliar telah pergi mengadu kepada Laksamana Khoja Hassan. Dirasuahnya dengan emas sebahara disamping permata dan kain baju yang indah-indah. Dikatanya Bendahara mahu merampas takhta kerajaan. Bendahara telahpun menempah takhta kerajaan, piu dan kaus emas. Kerana termakan pujuk, Laksamana bersedia memberitahu raja.

Tamat riwayat tiga orang besar negara.
Sebaik menerima aduan Laksamana, Sultan Mahmud telah mengarahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara pergi membunuh Bendahara. Tun Hassan Temenggung ingin menentang tapi dihalang oleh Bendahara. Tun Hassan juga mahu membuang peti-peti emasnya, itupun dihalang oleh Sutan. Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan suami serta sepupunya Tun Alipun dibunuh orang. Tun Abdul Karim, Tun Jenal dan Tun Fatimah tidak dibunuh. Sebaliknya Tun Fatimah dijadikan isterinya. Bila kahwin, segala harta Bendahara dibawa ke dalam. Raja mendapati tuduhan yang Raja mahu merampas takhta tidak benar kerana alatan seperti takhta, piu dan kasut emas tidak ada. Sultan jadi menyesal. Kitul telah disula dan Raja Mendaliar dibunuh. Harta Laksamana dirampas. Dia tidak dibunuh kerana Sultan pernah bersumpah mengharamkam darah laksamana.

Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok).
Paduka Tuan iaitu anak Bendahara Paduka Raja telah dilantik menjadi Bendahara. Dia sudah tua, giginya telah tanggal dan kakipun telah tepok.Bila dinyatakan dia akan diangkat menjadi Bendahara, dia menolak tapi dipaksakan juga oleh Sultan. Dia juga dikenali sebagai Bendahara Lubuk Batu. Seorang yang kuat makan dan bila mahu berjalan sepasu minyak wangi digunakannya.

Tun Biajid sasar.
Dia adalah anak Bendahara Paduka Tuan. Sasar bahasa. Bila berjalan ke pasar, diambilnya segala barang yang diperkanannya. Bendahara terpaksa menyuruh seseorang mengekori Tun Biajid dan membayar harga barangan yang diambilnya. Tun Biajid telah dihadiahkan seekor gajah oleh ayahnya. Gajah ini selalu dijual tapi ditebus semula oleh Bendahara. Bila dilihatnya gajah itu diambilnya semula konon gajah itu adalah gajahnya. Tun Biajid pernah ditambat dan dhantar kepada Raja untuk dibunuh kerana dia membunuh orang tetapi tidak dilaksanakan oleh Sultan.

Zuriat bendahara Lubuk Batu.
Anak Bendahara ramai antaranya ialah Tun Khoja Ahmad atau gelarnya Tun Pikrama dan Tun Pauh. Anak Tun Khoja Ahmad bernama Tun Isap Berakah, dia menjadi Datuk Bendahara Johor.

Sultan Mahmud membuang kerajaan.
Sejak diperisterikan Sultan Mahmud, Tun Fatimah tidak pernah senyum. Dia sentiasa berdukacita. Sultan Mahmud juga sangat menyesal membunuh Bendahara Seri Maharaja. Sultan Mahmud telah turun takhta dan diserahkan pada anaknya Sultan Ahmad Syah. Baginda membawa diri ke Kayu Ara dengan ditemani oleh Sang Sura.

Sultan Ahmad pula tidak kasih akan orang-orang besar. Dia hanya kasih kepada beberapa orang tertentu sahaja seperti Tun Ali Hati, Tun Mai Ulat Bulu, Tun Muhammad Unta, Tun Ali Berudu dan Tun Ali Kenyal. Orang-orang muda tiga empat belas orang dan hamba raja dua tiga puluh orang. Itulah sahaja teman-temannya.

Tun Fatimah pula bila hamil dibuangkannya. Alasannya kerana pengganti raja telah ada. Sultan Mahmud berjanji akan merajakan anaknya, barulah kandungan itu dibelanya. Malangnya Tun Fatimah hanya mendapat anak perempuan iaitu Raja Putih dan Raja Khatijah. Sultan Mahmud pula asyik belajar tasawuf dengan Makhdum Sadar Jahan.

No comments:

Post a Comment