Friday 12 April 2013

BAB VII

Bab VII : Hang Jebat Kesiangan di istana.
Hang Jebat telah mengamuk di dalam istana raja. Ini menyebabkan Sultan dan permaisuri terpaksa melarikan diri. Bila tiada seorangpun hulubalang yang dapat membunuh Hang Jebat itu, raja mula terkenangkan Hang Tuah. Bila keadaan mengizinkan, Seri Nara Diraja pun menyembah dan memberitahu bahawa Hang Tuah masih hidup di Hulu Melaka. Lalu Hang Tuah disuruh ambilkan. Dia diampuni dan disuruh membuang arang di muka raja.

Pertarungan Hang Tuah – Hang Jebat.
Hang Tuah dengan segera ke istana bertikam dengan Hang Jebat. Dua tiga kali kerisnya terlekat di dinding dan tiang. Dibenarkan oleh Hang Jebat untuk dicabut semula. Sekali keris Hang Jebat terlekat, terus dia ditikam oleh Hang Tuah. Dengan tikaman kedua, Hang Jebatpun meninggal dunia. Mayat Hang Jebat dibuang ke laut. Anak isterinya diumbut. Rumahnya juga dibuang ke laut. Istana tempat Hang Jebat mati itu tidak lagi mahu diduduki. Istana baru minta diperbuatkan. Istana baru sangat hebat. Mempunyai 17 ruang dengan 40 buanh pintu berukir. Istana dinamakan orang “Mahligai Hawa Nafsu”. Pangkat laksamana dikembalikan semula kepada laksamana. Dia didudukkan sama taraf dengan Seri Bija Diraja dan dibenarkan memikul pedang kerajaan. Seri Bija Diraja pula diberikan daerah Sening Ujung.

Istana Sultan Mansur Syah terbakar.
Dengan takdir Allah taala, istana yang baru siap itu telah terbakar. Bagaimanapun banyak harta dapat diselamatkan. Akibat peristiwa ini, ramai pula orang-orang muda yang menerima anugerah raja kerana menyelamatkan harta raja. Sebuah istana baru pula diminta siapkan dalam masa sebulan. Bendahara telah membahagikan kerja-kerja membina istana ini kepada pembesar-pembesar jajahannya. Dengan itu istana baru berjaya disiapkan. Bahkan lebih baik dari istana yang terbakar itu.

Ramalan Bendahara Paduka Raja.
Seri Nara Diraja telah jatuh sakit. Dia memanggil Paduka Raja memintakan Paduka Raja menguruskan anak-anaknya yang masih kecil. Lagipun mereka itu adalah anak-anak saudara Paduka Raja sendiri. Emas sebanyak 5 buah candu peti diminta bahagi-bahagikan antara mereka. Anak-anak SND itupun pindahlah ke rumah Paduka Raja. Pada Satu waktu subuh, Bendahara telah melihat ada cahaya yang terpancar dari kepala Tun Mutahir ke langit. Bendahara meramalkan bahawa Tun Mutahir akan dapat menjadi orang besar. Bahkan lebih dari dirinya tetapi kebesaran itu tidak kekal lama.

Bila Tun Tahir dan Tun Mutahir besar, mereka telah meminta emas yang ditinggalkan oleh ayahnya. Bendahara tidak memberinya. Sebaliknya mereka diberikan 10 tahil emas untuk dibuat berniaga. Setelah cukup setahun, kedua mereka itu datang untuk membayar hutang. Ini membuktikan yang mereka mampu menguruskan harta. Lalu emas itu dan semua emas yang disimpan diberikan kepada mereka. Tun Tahir telah dilantik menjadi Bendahari menggantikan bapanya dan bergelar Seri Nara Diraja, Tun Mutahir dijadikan Temenggung dan bergelar Ser Maharaja. Tun Abdullah pula diberi gelar Seri Nara Wangsa.

Akibat tiada menyembah ke Melaka.
Pemerintah Kampar yang bernama Maharaja Jaya tidak menyembah ke Melaka. Jadi Sultan Mansurpun menitahkan satu angkatan pergi menyerang ke Kampar dengan diketuai oleh Seri Nara Diraja. Dibantu oleh Khoja Baba. Mereka telah berjaya mengalahkan Kampar. Maharaja Jaya dan mangkubuminya yang bernama Tun Demang telah terbunuh. Negeri Kampar diserahkan kepada Seri Nara Diraja dan dia telah melantik seorang adipatinya ke sana.

Sesudah Kampar, Siak pula.
Pemerintah Negeri Siak bernama Maharaja Parameswara juga tidak mahu menyembah ke Melaka. Sultan Mansur memerintahkan Seri Udana untuk menyerang Siak bersama angkatannya. Mereka telah berjaya membunh Maharaja Parameswara. Anaknya yang bernama Megat Kudu dan Tun Jana Pakibul ditawan dan di bawa balik ke Melaka. Megat Kudu telah dikahwinkan oleh Sultan Mansur dengan puterinya yang bernama Raja Mahadewi. Dia dirajakan semula di Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim. Tun Jana dilantik sebagai Mangkubuminya.

Ditolak bumi Melaka.
Raja Muhammad yang bakal menggantikan ayahnya Sultan Mansur telah menyebabkan Tun Besar, anak Paduka Raja meninggal dunia. Anak-anak buah Paduka Raja mahu menderhaka untuk membalas dendam. Bendahara menentang hasrat tersebut tetapi bersumpah tidak mahu berajakan Raja Muhamad. Akibatnya Sultan Mansur telah menghantar Raja Muhammad untuk beraja di Pahang. Bergelar Sultan Muhammad Syah. Raja Muhammad telah berkahwin dengan Mengindera Puteri, cucu Sultan Iskandar, Sultan Kelantan. Mendapat tiga orang anak iaitu Raja Ahmad, Raja Jamil dan Raja Mahmud.

Juara Catur.
Ialah Tun Bahara, orang pasai yang datang ke Melaka. Tiada siapa yang dapat menandinginya. Bermain tanpa berfikir, sambil bersyair, berbait, bergurindam dan berseloka. Cuma yang dapat sedikit menandinginya ialah Tun Pikrama, anak Bendahara Paduka Raja.

Disuruh merompak ke Ujung Tanah.
Raja di negeri Meluluki, Makasar bernama Keraeng Majiko beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh saudara. Anak dari puteri yang tua bernama Semerluki. Apabila dewasa, Semerluki telah berahikan emak saudaranya yang bongsu. Ayahnya mengetahui hasrat Semerluki itu dan menyuruhnya pergi merompak ke Ujung Tanah (wilayah Melaka) untuk mendapatkan perempuan-perempuan yang cantik. Jadi Semerluki telah pergi merompak ke pulau Jawa, wilayah taklukan Siam, Melaka dan juga Pasai. Di Melaka dia ditentang oleh angkatan Laksamana Hang Tuah dan di Pasai oleh Orang Kaya Kenayan. Jawa dan Siam berjaya dialahkannya tetapi dia gagal di Melaka dan juga Pasai.

Kitab Duri’l Mazlum.
Maulana Abu Ishak adalah seorang ulama tasawuf di Mekah. Beliau mengarang kitab Duri’l Mazlum. Beliau telah menyuruh anak muridnya yang bernama Maulana Abu Bakar supaya menyebarkan isi kitab itu ke Melaka. Di Melaka, Maulana Abu Bakar dimuliakan oleh Sultan Mansur yang turut berguru dengannya. Kadi Melaka iaitu Kadi Yusuf pada mulanya tidak mahu berguru dengan Maulana Abu Bakar tetapi selepas dia terpandangkan maulana itu yang dipenuhi cahaya seperti sumbu dian, maka diapun turut berguru sama. Malah dia telah meletak jawatan kadi dan digantikan anaknya Kadi Munawar. Orang-orang Melaka dan Pasai pada masa itu sangat minat untuk belajar ilmu agama. Kitab Duri’l Mazlum dapat diberikan makna (terjemahan) oleh Makhdum Patakan, orang Pasai. Sultan Mansur juga pernah bertanyakan kemusykilan agama kepada Makhdum Mua di Pasai itu.Tentang kekal atau tidaknya penghuni Syurga dan Neraka.

No comments:

Post a Comment